MENJADI RAKYAT YANG WASPADA
Cikgu Azmi TERAS 27 hb Safar 1434 / 10 hb Januari 2013 Mudah menjadi rakyat yang hanya menadah. Hanya menerima apa sahaja yang ditentukan oleh pemerintah. Hanya membenarkan, apa yang diandai benar walaupun ia palsu. Tidak perlu banyak berfikir. Tidak perlu bersusah-susah kerah otak. Pilihan kedua ialah menjadi rakyat yang sedar dan waspada. Pilihan ini punya beban. Yang ditentukan oleh pemerintah tidak semuanya betul. Fikiran mesti berjalan terus mencari jawapan kenapa pemerintah melakukan apa yang ia lakukan sekarang? Betulkah roda pemerintah yang berputar ini seperti yang sepatutnya ? Bila seorang rakyat menjadi rakyat yang berfikir dan banyak bertanya, kuasa rakyat tidak semuanya terlepas kepada pemerintah. Bermakna walaupun kerajaan memerintah, namun hakikatnya rakyat yang memegang kuasa. Ternyata inilah yang tidak difahami kebanyakan rakyat. Selepas pilihanraya, rakyat berlepas tangan dan mereka yang menerajui kuasa memegang kuasa secara mutlaq. Rakyat berkesudahannya hanya menjadi subjek yang akan diolah oleh peneraju kuasa. Menjadi rakyat berwaspada sebenarnya adalah tanggungjawab, bukan anugerah. Tatkala rakyat bangkit untuk menyatakan bantahan ia adalah terjemahan dalam menunaikan tanggungjawab itu. Sebab itu rakyat perlu pandai berpetisi kepada pemerintah.Rakyat perlu berbicara mengapa penting, atau tak penting, dan mengapa perlu bersikap dengan kritikal terhadap semua keputusan pemerintah. Sangat jelas, terlalu banyak persoalan yang terbeban keatas rakyat. Sebarang keputusan akhirnya rakyatlah yang menanggung natijahnya. Kerajaan boleh datang dan pergi. Tapi rakyat akan kekal berada di Negara ini. Keadaan kini sudah menunjukkan secara cukup terang mengapa rakyat perlu mengambil sebuah sikap yang lebih kritikal dan lebih berwaspada terhadap pemerintah. Persoalannya bila rakyat bertemu wakil pemerintah , tahukah rakyat berbicara dengan berani. Tidak sedikit kondisi dimana rakyat dalam kehidupan sehari-hari bertemu langsung dengan sikap tak senonoh para pembesar yang kita namakan wakil rakyat dan pegawai pemerintah. Sebab itu rakyat tidak sepatutnya hanya tahu menyebal saja . Terkadang rakyat hanya jadi konyol dan tolol. Ini jenis rakyat yang sepatutnya tidak wujud lagi. Karena jika rakyat tahunya cuma melampiaskan semua kegeraman secara senyap-senyap pada sosok-sosok angkuh wakil rakyat dan pemerintah yang sehari-hari di baca dan dengar , maka keadaan akan terus begini dan tidak begitu . Rakyat perlu faham akibat virus angkuh kekadang sesekali mereka harus diajar adat oleh rakyat. Bebal sendirian tidak akan terongkai masalah. Geram senyap-senyap tidak akan mengubah sejarah. Terlalu banyak pengalaman menunjukkan rakyat harus melakukan ketegasan pada para manusia bejat yang menamakan dirinya wakil rakyat yang berkhianat dan wakil pemerintah yang sombong. Rakyat perlu tahu cara yang efektif mencabut mandat dari mereka yang khianat .Bahwa jalannya cuma satu : Rakyat harus melawan.Jangan lagi rakyat dibiar hanya ikut dan diam dipecundangi wakil rakyat dan pemerintah dengan segala muslihat manipulatif mereka yang berkepentingan peribadi. Perlawanan rakyat perlu diketengahkan melalui sebuah suara yang kuat yang disampaikan langsung. Jangan cuma diudarakan dilingkungan facebook. Gerakan rakyat adalah gerakan "face to face" , jangan hanya facebook. Rakyat mungkin tidak boleh menangkap mereka yang khianat . Namun yang paling penting , rakyat juga sebenarnya tidak boleh hanya diam dan duduk berpangku tangan! Kesadaran bahwa kita hidup dalam sebuah sistem yang simpang perenang , harus menjadi kesadaran kita bersama untuk mengubahnya. Kita punya sistem perwakilan, tetapi ketika perwakilan itu khianat terhadap mandat, kita perlu memiliki sistem untuk mencabutnya. Malangnya kita tidak dibentuk dalam sistem dimana mandat boleh dicabut oleh rakyat secara langsung. Sistem kita pada hakikatnya bergantung kepada siapa memilih siapa. Siapa yang mendudukki ditingkat atas dalam hiraki kuasa nampaknya itulah yang berkuasa memilih. Lantaran itu menanggalkan kuasa dari sipengkhianat dalam sistem ini nampaknya lebih bergantung kepada orang di atas. Sehingga mereka akan selalu boleh mengelak dari pertanggungjawaban akibat orang atas melindungi mereka . Demi kepentingan orang atas juga . Yang atas membela yang dibawah , yang dibawah menyokong yang atas. Malangnya saling menyokong itu hanya untuk tembolok dan perut yang tak pernah puas itu jugalah. Bertambah malang lagi , sistem ini mengatasnamakan rakyat. Justeru disinilah titik pentingnya. Suara rakyat adalah kuasa rakyat. Rakyat harus berani menyatakan dengan lantang: KAMILAH RAKYAT! DAN KAMI MENDAPATI KAMU KHIANAT !! Jadi bagaimana harus rakyat bertindak untuk menekan pihak atasan supaya mendengar tuntutan rakyat supaya pengkhianat tidak diberi tempat dan mereka dipertanggungjawabkan di atas pengkhianatan itu. Sebagai rakyat yang mahu bersuara dan bersuara dengan lantang perlu tahu bagaimana suaranya boleh didengarkan. Menunjukkan kepada para penguasa diatas sana bahawa rakyat berupaya mengisyaratkan mereka tidak setuju dengan tindak tanduk, perilaku dan ucapan yang dikeluarkan penguasa. Menunjukkan bahwa tindak tanduk, perilaku dan ucapan itu tidak pantas mewakili rakyat. Rakyat perlu tahu kecurigaan apakah yang boleh didedahkan untuk menunjukkan berlaku salahguna kuasa oleh mereka yang berkepentingan politik peribadi. Jika ada ketidakadilan rakyat harus sama-sama suarakan. Selanjutnya rakyat harus kawal bersama-sama agar gerakan seperti ini tidak melencong dari kemurnian yang diinginkan.Sosialisasikan kepentingan rakyat. Betapa perlunya rakyat kepada sebuah perlawanan bila berlaku penguasa yang menyeleweng. Rakyat jangan lelah! Jangan berputus asa! Jangan ada yang hanya puas dengan posting facebook setiap hari, padahal hasilnya tidak seperti yang diharapkan menyebabkan rakyat berpikir bahwa perlawanan seperti ini memang tidak perlu lagi. Justru upayakan tambah dukungan ! Dukung secara nyata. Rakyat perlu relakan waktu dan tenaga .Berbaris bersama, tunjukkan identiti sebagai rakyat negara ini yang menghargai erti jiwa merdeka. Yang mahu menyahkan jiwa hamba. Yang mahu meninggalkan sebuah legasi rakyat benar-benar Merdeka dari semua , melainkan hanya kepada Allah Rabbul Jalil. Dan beranilah menanggung risikonya! Perjuangan tidak pernah tanpa beban.Perjuangan tidak pernah tanpa risiko. Kita rakyat, dan kita selama ini yang menghadapi hidup hari per hari.Sementara mereka bergelumang dengan kekuasan yang menjadikan hidup rakyat seperti alas kaki. Jadi, rakyat perlu mengizinkan diri untuk tegas bersuara! Risiko bersuara lebih kecil dari risiko membiar generasi mendatang menanggung petaka akibat penguasa yang curang dan pincang. 10.10 pgi Sambil Berihat di Desa peninggalan Embah Sajadi , Pontian , Johor |