Kenyataan
Media MAPIM
12 hb Januari 2012
12 hb Januari 2012
HKR 112 BERJAYA, MEMBUKTIKAN KEMATANGAN RAKYAT
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengharapkan perubahan murni di atas 10 tuntutan yang diisytiharkan pada HKR 112 petang tadi adalah titik bermula perubahan yang bakal dilakukan oleh rakyat pada PRU 13.
Perhimpunan yang berjalan dengan tertib dan sifar dari kejadian yang tidak diingini itu adalah sangat terpuji kerana inilah realiti yang sebenar bila rakyat diberi ruang untuk berhimpun dengan aman tanpa sebarang provokasi.
Jelas segala tohmahan dan fitnah terhadap HKR 112 oleh pihak yang menganggap ia akan menjejaskan keamanan adalah ternafi.
Penganjur HKR tersebut harus dipuji bukan sahaja dari segi pengawalan keselamatan yang dijalankan yang sangat rapi malah ia merupakan perhimpunan yang murni dari rakyat tanpa sebarang kekecohan.
Kami memperakui bahawa tuntutan 10 perkara yang diisytiharkan adalah wajar sebagai komitment untuk memperbaikki kualiti hidup rakyat.
Sementara tuntutan itu juga adalah janji Pakatan Rakyat jika berjaya mengambil alih kerajaan selepas PRU 13, ia seharusnya menjadi komitment rakyat untuk memastikan semua tuntutan itu dipenuhi oleh sesiapa pun yang akan membentuk kerajaan.
Deklarasi yang mengandungi lapan perkara itu yang meliputi aspek proses pilihanraya, isu Felda, status pembangunan Sabah dan Sarawak, royalti petroleum, profesionalisme kakitangan awam, alam sekitar, martabat bahasa Melayu, pembebasan tahanan ISA, mempertahankan kampung warisan dan kualiti hidup kaum wanita adalah tuntutan yang menyeluruh dan menyentuh soal kepentingan rakyat yang wajar diberi sokongan.
MAPIM menyeru agar PRU 13 yang akan diadakan seharusnya mengenengahkan idea bernas seperti yang dituntut dalam HKR itu dan bukan dengan melemparkan fitnah serta melagakan sentimen kaum dan agama.
Rakyat perlu dididik untuk melaksanakan proses demokrasi dengan matang demi menjadikan Negara ini lebih bermaruah.
Dengan mendengar hujah dan penerangan secara langsung dalam HKR 112 itu, sikap rakyat harus dihormati untuk membuat keputusan tanpa sebarang ugutan dan sogokan.
HKR petang tadi telah melakarkan sejarah yang sangat penting untuk Negara ini. Ia menunjukkan betapa suara rakyat tidak perlu dipandang serong malah semua pihak perlu menghormati tuntutan rakyat.
Sementara perhimpunan itu telah berjalan lancar dan membuktikan kematangan rakyat merayakan kebebasan bersuara dan berkumpul dengan aman, pihak kerajaan pula harus bersikap jujur supaya maklumat yang benar tidak diselewengkan hanya kerana mahu mengekalkan kuasa.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM
No comments:
Post a Comment