Pilihan raya itu peperangan ― bukan pesta demokrasi
i. Demokrasi kita: Tempang-buta-pekak dan bisu
Semua orang sedar bahawa dalam mana-mana peperangan, strategi adalah salah satu aspek sangat penting yang mesti diberikan fokus yang mantap-jitu. Trojan horse ― perangkap kuda kayu zaman Greek kuno yang tersohor itu adalah strategi yang kerap diperkatakan orang sehinggakan peristiwa itu menjadi ungkapan dalam bahasa Inggeris. Demikian juga dengan Bukit Uhud atau pengorekan parit, cetusan idea Salman Farisi dalam Perang Khandak ― juga adalah strategi. Bahawa Nabi Muhammad SAW tidak menyatakan ke manakah bala tentera akan bergerak, kecuali di saat-saat akhir, juga adalah strategi.
Pilihan raya itu peperangan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Di negara kita boleh dikatakan semua aspek tidak menyebelahi pembangkang. Hatta tarikh pilihan raya pun menjadi hak mutlak Perdana Menteri. Belum lagi dikira pelbagai jentera, peralatan, tenaga manusia, buah fikiran, institusi awam, jabatan kerajaan, pusat pengajian tinggi, tentera, polis, jabatan pendaftaran negara, sekadar memberikan ‘satu dua’ contoh, ― semuanya dikuasai oleh yang memegang tampuk pemerintahan.
Paling luar biasa, segala alat penyampai maklumat, baik yang cetak maupun elektronik sentiasa saja menerobos ke bilik-bilik tidur seluruh rakyat jelata.
Itu belum lagi dihitung khidmat berbayar oleh APCO.
ii. Kaedah Oposisi menyampaikan mesej kepada pengundi
Apakah senjata yang dimiliki oleh pihak Oposisi? Tatkala pemerintah (tanpa sedikit pun rasa malu) menggunakan pelbagai peralatan yang paling canggih, Pakatan Rakyat kelihatannya memiliki busur dan anak panah yang dipinjamkan oleh Robin Hood atau mungkin juga Taming Sarinya Hang Tuah.
Okeylah, Pakatan Rakyat memiliki ceramah ‘Abang’ Mat Sabu, Harakah, Roket dan laman-laman maya ― termasuk seorang dua penulis nyamuk seperti bloger-bloger yang bersimpati.
Soalannya ialah: Bagaimanakah caranya mendekati para pengundi? Para pengundi yang tidak tahu dan sentiasa dalam kegelapan itu.
Salman pernah mencadangkan parit sebagai strategi dalam Perang Khandak.
Apakah pula senjata ampuh Pakatan Rakyat?
iii. Menmanfaatkan jihadnya tentera semut untuk menyampaikan mesej
Dalam peperangan menawan hati dan pemikiran pelbagai lapisan rakyat jelata ini, apakah strategi, pendekatan dan urutan keutamaan Pakatan Rakyat?
Ya, apakah kaedah dan pendekatan Pakatan Rakyat dalam menyampaikan mesejnya kepada pelbagai lapisan rakyat jelata, lebih-lebih yang di luar bandar dan di daerah-daerah terpencil yang ― hidup dan kehidupannya sentiasa saja diserkup oleh kegelapan yang sangat gulimat itu?!
Bagaimana, agaknya rakyat jelata dan tentera semutnya yang bersimpati itu dapat membantu perbaiki keadaan ini?
iv. Mengutamakan yang lebih utama
Rasanya, sesi perbincangan berhubung tajuk di atas lebih bermanfaat daripada berpolimik sakan tentang Umno yang sangat tidak demokratik, atau berhujah bahawa seorang mantan pemimpin besar kini semakin jelas kenyanyukannya, atau berdiskusi berhari-hari bahawa konsert liar dan tandus budaya itu tidak boleh dibiarkan lagi.
Sementara itu, DAP pula tidaklah perlu sibuk bertempik bahawa ini negara sekular dan mereka sangat alergik dengan Hudud atau Pas berapi-api bersyarah bahawa hidup dan mati kami hanyalah bersama Islam.
Biarlah Umno saja yang bertempik sorak kerana ― sememangnya, itulah bidang kemahirannya.
Lebih afdhal dan lebih elok misalnya, kita sama-sama berfikir persoalan:
Apakah benar, bahawa sekarang ini kem tentera Wataniah itu tumbuh bagaikan cendawan? Atau
Bagaimanakah (SOPnya) Jabatan Pendaftaran Negara dalam memastikan kad pengenalan, sebagai satu dokumen keramat ― tidak memudharatkan keselamatan negara ini.
Atau seperti kata Tok Guru Hadi Awang, kita mestilah menguasai dan mahir dalam ilmu pilihan raya.
Ya, Pakatan Rakyat dan seluruh jentera pilihan rayanya ― belajar, teliti, kupas, bedah, siasat segala sepak terajang, tipu muslihat, baik yang terang-terangan maupun yang tersembunyi, proses pilihan raya kita.
Yakinlah bahawa APCO dan seluruh mesinnya Mesin tidak pernah tidur.
No comments:
Post a Comment