Dinsman (Artikel
350, 19/10)
Jualan awal Salina
edisi 50 tahun
Saya diberitahu
melalui SMS, begini: “Pak Samad mengundang teman-teman dari Paksi hadir ke
majlis jualan awal Salina edisi terhad pada hari Ahad 14 Okt, jam 5-7 petang,
di restoran Mydin, Bangsar. Makan dan minum atas perbelanjaan sendiri.”
Restoran Mydin?
Atau pasaraya Mydin? Setahu saya di Bangsar tak ada pasaraya Mydin. Agaknya ada
Restoran Mydin yang baru dibuka di Bangsar. Saya membayangkan sebuah restoran
mamak yang baru dibuka, yang barangkali agak canggih atau mewah daripada
restoran mamak yang biasa. Sesuailah dengan acara ‘pelancaran buku’.
Akhir-akhir ini
ada beberapa acara pelancaran buku yang agak istimewa, dibuat di tempat
istimewa, di hotel, convention center, lake club dan sebagainya. Tokoh yang
merasmikannya pun tokoh pimpinan yang utama. Manakala yang ini pula buku karya
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, bukunya yang paling popular dan yang
mempopularkan nama A Samad Said kira-kira 50 tahun yang lalu itu, Salina, tentulah majlisnya pun tak
kurang hebatnya.
Apatah lagi belum
sebulan A Samad Said dianugerahi Sasterawan Tamu Negeri Selangor oleh Kerajaan
Negeri Selangor, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Selangor dan Ketua
Pembangkang Parlimen Malaysia.
Tetapi waktu
hendak ke majlis itu, apabila ditanya di manakah Restoran Mydin di Bangsar itu,
rupa-rupanya ia sebuah restoran mamak biasa, yang terletak tidak jauh dari
kediaman A Samad Said. Dan apabila sampai di situ saya dapati tak ada sesiapa
pun orang-orang yang biasanya dijemput membuat perasmian acara budaya yang
seperti itu. Yang ada hanya kawan-kawan biasa – Kassim, Hasni, Uthaya, Helmy
dan beberapa orang anak muda peminat sastera, di samping A Samad Said dan
isteri.
Okeylah. Memang
sangat okey. Seperti biasalah. Seperti selalu – berjumpa dengan Samad Said di
restoran di KL Sentral atau di Railway Station. Tak ada yang istimewa. Tetapi
itulah istimewanya.
Dan saya pun
menunggu untuk acara dimulakan. Tidak nampak pun mikrofon di mana-mana untuk
acara berucap. Tak mengapalah, mungkin dibuat secara kecil dan sederhana, tanpa
mikrofon. Dan seketika kemudian, tiba-tiba Helmy membawa empat atau lima naskah
Salina berkulit keras edisi terhad
itu ke meja Samad Said. Dan kemudian beberapa orang bangun berkerumun ke meja
itu untuk mengambil gambar.
Sebentar kemudian Samad Said berpusing ke meja saya
(di belakangnya) menunjukkan buku Salina
yang telah ditandatangan dengan sedikit catatan dan nama saya, sambil berkata:
“Dakwatnya belum kering lagi.” Saya pun menyambut buku istimewa itu, yang
terbuka kerana dakwatnya masih basah, tercatat tulisan tangannya di bahagian
atas: “Siri 060”.
Dan seterusnya
dia menandatangani pula untuk Kassim, untuk Hasni dan kemudian untuk yang
lain-lain, sehinggalah tiba Pyanhabib, Nikbinjidan, dan kemudian Siti Zainon
Ismail dan ramailah lagi. Jadi meriahlah juga. Dan rupa-rupanya memang begitu
sahaja. Tak ada ucapan. Tak ada perasmian.
Alhamdulillah!
Cantik dan sangat istimewa. Sebuah peristiwa seni-budaya yang sepenting itu
dilangsungkan di tempat yang sesederhana itu. Di sebuah kedai mamak biasa, yang
dipilih bukan kerana apa-apa, hanya kerana kebetulan ia paling hampir dengan
kediamannya.
Sungguh tulen.
Sungguh marhaen. Seorang Sasterawan Negara yang juga Sasterawan Rakyat ini
menyambut genap 50 tahun karya ulungnya, (Salina
diterbitkan pertama kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1961), dengan
menerbitkan sendiri edisi khas terhad sebanyak 500 naskah (oleh syarikatnya
bersama anaknya Helmy – Wira Bukit Sdn Bhd), disamping edisi biasa yang akan
diedarkan oleh Kedai Buku Populer.
Ia bukan majlis
pelancaran atau perasmian sebenarnya. Ia hanya majlis ‘jualan awal edisi
terhad’. Namun apa pun, ia sebenarnya adalah suatu saat yang sangat bersejarah
dan bermakna. Ia sambutan 50 tahun penerbitan sebuah karya sastera yang
penting, yang disambut oleh pengarangnya sendiri. “Takkan begini saja?” Saya
berbisik kepada Kassim dan Hasni.
Betul, sambutan
di kedai mamak itu memang sangat istimewa. Tetapi apakah khalayak sastera di
Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk novel sepenting Salina itu, ketika
pengarangnya sendiri menyambut 50 tahun pengkaryaannya? Dan Paksi juga, sebagai
sebuah badan seni-budaya yang menghargai kesenimanan A Samad Said dan
sumbangannya kepada seni-budaya kita selama ini, takkan cukup sekadar begitu
sahaja, tanpa apa-apa aktiviti khas bagi menghargai detik bersejarah itu?
Ya, insya Allah
kita akan usahakan sesuatu. Sementara itu marilah kita melawat semula ke
Kampung Kambing di Singapura pada tahun 50-an abad lalu itu. Nikmatilah sekali
lagi ayat pertama novel yang monumental dan kontroversil tersendiri ini. Ayat
pertama yang telah terpahat dalam
kebanyakan minda peminat sastera Melayu sekian lama:
“Mentari sudah
hampir kesembilan puluh darjah tegaknya ketika sebuah lori kecil dan buruk
masuk perlahan-lahan, tapi bising, ke jalan kecil berlekak-lekuk itu.”
Tentu gambaran
Kampung Kambing itu sudah mula hidup kembali dalam imaginasi kita. Tetapi saya
tersangkut pula pada catatan terkini oleh A Samad Said pada permulaan edisi
baru ini. Katanya:
“Ramai pembaca –
khususnya mereka yang lahir selepas zaman pemerintahan Jepun – tidak tahu
tentang dunia ‘Salina’ ini. Dan kesan yang sangat biasa ialah kesan negatif
seorang watak yang mewarnakan seluruh kehidupan novel tersebut. ‘Salina’
tampaknya sentiasa diingat orang sebagai wanita terhina, padahal dia adalah
wakil daripada penderitaan manusia yang tidak bermaya mengatasi kelemahan atau
kekurangan dirinya.”
Saya kira catatan
pendek Samad selepas 50 tahun karya itu dibaca, dinilai dan dihukum itu adalah
suatu cabaran untuk kita menelaah semula novel itu. Ya, marilah!
No comments:
Post a Comment