Sunday, October 21, 2012

“ PAH KITO NI NOK WAT GUANO?” (Pas kita nak buat macam mana?)



Taat hanya kepada kerajaan yang dilantik oleh rakyat
(Loyal only to the government of the day)


Dalam Harakah mutakhir iaitu bilangan 1786, dengan tajuk muka depan “ MCA NAIK TOCANG”,  dalam kolumn: Nota Utara, N5, Zulkifli Yahaya, bertanya“Angkara Pegawai Umno dalam kerajaan Negeri?”.  Satu soalan yang pada pandangan kita cukup menarik, relevan dan mungkin selama ini sentiasa ‘memakan hati’ para pemimpin di negeri-negeri Pakatan Rakyat .  Sebenarnya ada soalan susulan yang tidak kurang pentingnya, iaitu: Nak kita apakan pegawai-pegawai kerajaan yang bertindak mengKHIANATi aspirasi dan kehendak rakyat itu?  Ya, bagi orang-orang politik yang bersusah payah berjuang untuk merebutkan kuasa, apa lagi pilihan yang ada sekiranya pegawai-pegawai kerajaan ini memilih untuk bertindak tidak mahu bekerjasama kerana dan setelah parti yang mereka dukungi itu ditolak oleh rakyat?

Saya teringat wawancara kami (Dinsman dan saya) dengan Dato’ Abdul Razak bin Salleh mantan pegawai kewangan negeri Kelantan, kemudiannya dilantik menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, untuk majalah Qiadah, majalah rasmi Perbadanan Menteri Besar Kelantan, bilangan Ramadhan 1431 Hijrah, (muka depan ‘The Land of Dinar & Dirham).  Berikut ialah petikan perenggan pertama majalah tersebut:

“ Hari pertama Tok Guru masuk pejabat, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri pada masa itu, Dato’ Hassan Yusof, pergi berjumpa Tok Guru sebagai kunjungan hormat dan mengalu-alukan ketibaannya ke pejabat.  Impression atau tanggapan pertama saya terhadap Tok Guru ialah: kali pertama kita melihat di pejabat kerajaan, di pejabat Menteri Besar, yang duduk di meja Menteri Besar itu ialah orang yang pakaiannya simple, wajah dan air mukanya nampak bersahaja... dan masih terlekat dalam ingatan saya sampai hari ini ialah Tok Guru pakai baju Melayu, berserban, dan ball-point pen yang kalau tak silap masa tu harganya 30 sen.”

2.

Peristiwa di atas boleh dibaca berlapis-lapis.  Di sana kita melihat profesionalisme yang cukup tinggi dan watak dan perwatakan yang namanya pemimpin di pelbagai peringkat pengurusan sesebuah organisasi besar seperti sebuah kerajaan negeri.   Dalam konteks ini kita juga jadi teringat kepada ungkapan seperti ‘respect has to be earned’ bahawa rasa hormat itu tidak boleh dipaksa-paksakan ke atas diri manusia lain.  Kita juga melihat bagaimana pegawai yang tinggi kesedarannya, mulia pekertinya, taat dalam memegang amanah dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin melihat ketuanya.  Ketua yang diterjemahkan dan diutuskan oleh bahasa demokrasi milik rakyat.  Kita melihat bagaimana pegawai-pegawai tinggi yang biasa berurusan dengan pihak istana, menunjukkan tanggungjawab mereka secara langsung kepada pemimpin yang dipilih rakyat.  Mereka akur dan berkunjung hormat untuk menyatakan kesetiaan masing-masing.  

Di pihak Sang Pemimpin yang baru dipilih rakyat ini, dia memasuki ke dalam struktur organisasi dengan memikul tanggungjawab maha besar.  Lihatlah soalannya kepada pegawai-pegawai tingginya:

“ PAH KITO NI NOK WAT GUANO?”

Demikianlah bicara seorang manusia yang besar jiwanya.

  

No comments: