Monday, October 22, 2012

Ucapan Soi Lek



Kenyataan Media MAPIM
21hb Oktober 2012


MAPIM MOHON RAJA-RAJA MELAYU BERTINDAK KE ATAS MCA

Ucapan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dalam persidangan MCA semalam yang sekali lagi memuncakkan serangannya kepada hukum hudud sangat melampau dan tidak harus dikompromi lagi.

Hanya beberapa hari sahaja sebelum ini hanya dengan bersandar kepada sebuah tulisan dalam blog yang tidak dikenali, beliau menuduh bahawa jika hudud dilaksanakan lebih sejuta orang akan kehilangan kerja di Malaysia.

Pemimpin wanita MCA juga menyatakan pendirian yang sama bahawa mereka mencurigai bahawa UMNO dikhuatiri akan menyatakan sokongan kepada hudud jika Pakatan berjaya mengambil alih kerajaan Pusat.

Kali Chua Soi Lek menuding bahawa perlaksanaan hudud di Negara-Negara Islam dikaitkan dengan amalan korupsi dan negara-negara yang berada dalam keadaan tidak selamat.

Konotasi beliau sangat jelas. Hudud tidak mengatasi masalah rasuah dan jenayah.  Inilah pendirian yang mahu beliau tegaskan kepada orang Islam khususnya di samping kepada pengundi bukan Islam.

Bermakna beliau mahu mengajar orang Islam bahawa hukum hudud Islam tidak boleh dilaksanakan kerana terbukti Negara-negara yang beliau dakwa melaksanakan hukum hudud adalah antara yang "paling korup".

Apa hak beliau untuk menuding bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan hanya dengan alasan Negara lain yang dikatakan melaksanakannya dijangkiti dengan masalah korupsi. Ini adalah kesimpulan yang sangat simplistik dan berniat jahat untuk memburukkan hukum Islam dikacamata bukan Islam.

Kenapa beliau tidak kaitkan dengan sistem sosialis dan kapitalis yang diamalkan oleh puluhan negara lain yang melaksanakan undang-undang sekular kini penuh dengan kepincangan yang menyebabkan penjenayah semakin meningkat dan penindasan ke atas Negara lain sangat jelas.

Dengan pendirian ini seluruh Umat Islam harus bangkit menyatakan bantahan dan menunjukkan bahawa penghinaan kepada hukum Islam sangat jelas merupakan pendirian rasmi MCA.

Jelas penghinaan itu mencabar bukan sahaja wibawa institusi Islam di Negara ini malah juga mencabar kedudukan dan status Islam di Negara ini.

Kami dengan ini memohon agar Raja-raja Melayu yang menjadi pelindung agama Islam di Negara ini bertindak untuk menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak berhak untuk memberi komentar yang menyentuh soal hukum Islam di Negara ini.  Parti politik seperti MCA sepatutnya diingatkan bahawa mereka jangan menyentuh sensitiviti Umat Islam mengenai hukum Islam yang mereka berhak untuk tuntut dilaksanakan.

Mempersoalkan dan memberi komen secara menghina dan memburuk-burukkan hukum Islam sepatutnya dilihat sebagai satu hasutan yang akan menimbulkan ketegangan agama.

Kami melihat kenyataan seperti ini adalah berpunca daripada kegagalan kesepakatan dalam BN yang tidak pernah dijelaskan mengenai Islam dan hukum-hukumnya dengan baik. Malah kenyataan dari kepimpinan orang Melayu Islam sendiri dalam BN yang mengambarkan bahawa hukum Islam tidak boleh dan tidak akan dilaksanakan.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM


No comments: