Rakyat mesti didahulukan...
(jauhilah Lim Kit Siang yang anti Melayu dan DAP yang anti Islam)
Kisah benar ‘rakyat didahulukan’ bukanlah cerita rekaan baru kerana sejak negara kita merdeka pada 31 Ogos 1957, sudah berapa buah rancangan pembangunan, Rancangan Malaysia yang telah digubal untuk dilaksanakan oleh Kerajaan. Dalam pelbagai Rancangan Malaysia tersebut, kita temui ― bagaimana misalnya projek-projek jalan raya untuk kawasan luar bandar di seluruh pelosok tanah air kita, dibangunkan dengan begitu agresif sekali.
Di samping itu projek-projek bekalan air, eletrik, pembinaan sekolah, klinik, balai raya juga dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan/Barisan Nasional. Sektor pertanian pula ditingkatkan keluasan dan juga kemampuan pengeluarannya. Untuk itu kita lihat bagaimana di kawasan-kawasan jelapang padi ― prasarana asasnya seperti sistem pengairan dan saliran, jalan ladang dan bekalan benih padi yang baik diberikan fokus oleh pihak Kerajaan. Pendek kata para pemimpin Malaysia, begitu ghairah sekali mahu memberikan kemudahan asas kepada rakyatnya.
Semua ini tidak kekal lama kerana kepimpinan, struktur-dan-isi, dan pendekatan-dan-falsafah parti yang menjadi tunggak pemerintah negara, iaitu Umno telah berubah. Umno secara perlahan-lahan, tapi pasti telah berubah ― berubah dengan meninggalkan rakyat jelata yang selamanya tanpa was-was, tanpa ragu-ragu dan tanpa curiga bertahun-tahun mendukungnya. Dalam konteks ini, yang selalu disebut orang ialah bahawa Umno gagah kerana dalam batang tubuhnya itu, terdapat para guru Melayu yang bersungguh-sungguh mahu membangunkan bangsanya.
ii.
Umno dengan dasar pengswastaannya yang agresif dan penglibatan para niagawan, kontraktor dalam batang tubuh saf kepimpinannya ― cepat sekali berubah.
Semua itu kini sejarah dan semuanya kini menjadi mimpi buruk kepada rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu.
Kita diberikan lebuh raya yang menghubungkan negeri, kawasan, bandar utama di negara ini. Kita diminta supaya membayar sedikit imbuhan kerana memperolehi lebuh raya itu. Malangnya perjanjian kutipan tolnya dibincang, diputuskan dan dilaksanakan oleh pemerintah bersama pemerintah dan para sahabatnya ― kroni, cukong dan niagawan yang tentunya kapitalis; secara bisik-bisk, bersembunyi-sembunyi dan di belakang tabir pula.
Mulanya kita semua memprotes... Lim Kita Siang yang anti Melayu (nota: kita pinjam saja istilahnya) itu pun ikut memprotes, dan protes...protes.
Sekarang bayaran tol yang diputuskan oleh pemerintah bersama para sahabatnya itu terus juga naik, ― dan naik secara berkala ― kerana sesungguhnya “Rakyat didahulukan”
iii.
Mutakhir Kerajaan dengan secara inovatif telah meminda bentuk dan struktur pemilikan air yang selama ini menjadi milik hak kerajaan negeri. Alasannya, sumber air dan khazanah negara yang semakin terhad mestilah diurus dengan lebih baik dan berkesan.
Ditakdirkan PRU12 yang lalu, Selangor telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, maka kita pun mengetahui apa dan bagaimanakah perancangan segala syarikat air yang ditubuhkan untuk mengurus air demi kepentingan negara itu, telah merancang bagaimana sumber air yang terhad dan sangat berharga itu mesti diuruskannya.
Jika Umno/BN yang mendahului rakyat itu, TIDAK KALAH di Selangor, maka rakyat jelata di Selangor dan Wilayah Persekutuan bakal menderma sedikit imbuhan kerana pengurusan air yang lebih baik. Air untuk rakyat itu bakal diurus sepertimana tol lebuh raya telah diurus untuk rakyat.
Sebagai permulaan, sedikit imbuhan yang tidak membebankan rakyat itu akan diselaraskan ke atas sebanyak 37% dan ini diikuti dengan peningkatan (oops, diselaraskan ke atas ) yang berkala seperti dalam kes Lebuh Raya itu.
Lim Kit Siang yang anti-Melayu itu, bersama DAP yang anti Islam, telah mencadangkan dan membentangkan rumus dan formulanya bagaimana membantu rakyat dalam kes beban tol lebuh raya. Umno yang menjadi tuannya Melayu mungkin belum dengar bahawa cadangan ini wujud.
Mungkin Umno, tuannya Melayu itu, juga tidak tahu menahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor ada formulanya berhubung tragedi air ini.
iv.
Agenda dan tragedi gabungan siasahwan-niagawan-cukong yang sangat bijaksana ini belum lagi selesai. Kampung-kampung Melayu di sekitar Kuala Lumpur, bersiap sedialah kamu untuk menemui sebuah pemerintahan yang sangat sayangkan Melayu marhaen itu.
Bersedialah untuk diratah oleh pembangunan.
Lim Kit Siang yang anti Melayu dan DAP yang anti Islam, mohon sediakan satu lagi formula untuk kampung-kampung Melayu ini.
Please...
No comments:
Post a Comment