Monday, April 29, 2013

Tertubuhnya Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera)



Dinsman (Artikel 376, 29/4)
Tertubuhnya Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera)


Hari Rabu malam, 17 April, telah berlangsung satu pertemuan beberapa orang ilmuwan dan ahli akademik dari universiti serta beberapa orang sasterawan, penulis dan aktivis sosio-budaya, di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Kebanyakan yang hadir itu dijemput oleh Prof Dr Shaharir Mohd Zain, seorang ilmuwan yang sangat disegani, kini berkhidmat di Universiti Malaya.

Tidak ramai. Sekitar 20 orang begitu. Ada yang biasa dan ada yang baru. Prof Shaharir, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Dr Alinor, Dr Tajul Ariffin, Hasni Abas, Kassim Muhamad, Kamaruzaman Mohamad, Faisal Aziz – ini nama-nama yang pernah aktif dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dulu. (Faisal Aziz kini dalam AJK Abim).

Syed Ibrahim, nama yang dikenali sebagai Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Dr Maszlee Malik, dikenali kerana penglibatannya sebagai moderator dalam forum-forum politik anjuran Karangkraf. Manaka Dr Zaid Ahmad (sarjana ketamadunan) dan Mohd Tarmizi Hasrah (sarjana linguistik) pernah terlibat dalam aktiviti anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Mohd Nasser Mohamad pula memang bendahari Paksi.

Prof Muhammad Hj Salleh, seorang Sasterawan Negara. Ini barangkali orang baru dalam gerakan perubahan (reformasi). Begitu juga Prof Wan Ramli (Presiden Akademi Sains Malaysia – Asasi), Prof Mohd Nazari Ismail (sarjana pentadbiran perniagaan antarabangsa), dan Prof Mokhtar Abdullah (sarjana statistik). Atau mereka memang pernah terlibat sebelum ini. Hanya saya yang tak tahu?

Sasterawan Negara A Samad Said tidak dapat hadir pada pertemuan pertama itu, kerana komitmennya dengan Bersih. Begitu juga Cikgu Azmi Hamid, Presiden Teras, yang sibuk dengan pelbagai programnya. Seorang lagi Sasterawan Negara ialah Prof Emeritus Shahnon Ahmad, kerana masalah kesihatan. Namun mereka bersetuju untuk bersama mendokong perjuangan dan tujuan penubuhan Gatera.

Turut dihubungi beberapa orang lagi Sasterawan Negara yang tidak mengalami masalah kesihatan. Ada yang langsung tidak memberi respons. (Tidak pasti samada dia menerima jemputan atau tidak). Seorang mengatakan dia tidak mahu berpihak, manakala seorang lagi mengatakan “biarlah saya dengan cara saya” dan “saya percaya kepada kunfayakun”. (Tak tahulah apa maksudnya, kerana saya pun percaya juga kepada kunfayakun. Dan itu memang kepercayaan orang Islam, ‘kan!).

Tidak mengapalah. Kita pun bukannya hendak memujuk atau mempengaruhi mereka. Kita sekadar bertanya untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka. Itu sahaja. Maka kita sangatlah mengalu-alukan kehadiran Muhamad Hj Salleh ke dalam gerakan atau kumpulan baru ini.

Tidak lama. Seminggu selepas itu, dalam suasana hangat kempen PRU13, pada Selasa 23 April, Gatera pun menyatakan kehadirannya kepada masyarakat umum, melalui sebuah sidang akhbar yang diadakannya di hotel di Jalan Raja Laut itu. Prof Shaharir bertindak sebagai Ketua kumpulan ini – kumpulan intelektual rakyat.

Mari kita perhatikan isi kandungan kenyataan akhbar yang diedarkannya pada sidang akhbar tersebut:

“Gerakan Intelektual Rakyat ditubuhkan pada hari Rabu, 17 April 2013, pukul 10.45 malam di Kuala Lumpur, oleh sekumpulan ilmuwan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan penggiat masyarakat. Ringkasnya gerakan ini dipanggil GATERA, yang bermakna sudut pandangan. Kumpulan ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.

“Kami melihat persekitaran politik Malaysia kini berada pada tahap yang parah, lebih-lebih lagi pada hari-hari menuju Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 ini. Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuwan dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini.

“Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tidak menghiraukan batasan agama dan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun.

“GATERA bertekad tampil ke medan masyarakat untuk mengemukakan segala kebobrokan di atas dan menolak mereka dan amalan yang menghalalkan budaya ini.”

Gerakan Intelektual Rakyat. Sangat menarik namanya. “Intelektual Rakyat” itu – barangkali ini pertama kali ‘intelektual’ diberi katasifat atau adjektif ‘rakyat’. Biasanya ‘intelektual’ itu cenderung sifatnya kepada elitis atau orang-orang istimewa yang terpelajar. Mereka bukannya golongan rakyat biasa. Mereka orang-orang istimewa yang duduknya di ‘menara gading’.

Tetapi dengan lahirnya istilah ‘intelektual rakyat’ ini, yang dicipta sendiri oleh mereka, nampaknya golongan istimewa terpelajar atau ilmuwan ini sudahpun mengambil sikap yang baru, yang berbeza – yakni ingin turun kepada rakyat, atau turun untuk bersama dengan rakyat, atau bersikap peduli rakyat, atau ‘merakyat’.

Alhamdulillah, syukur, dan tahniah Prof Shaharir! Semoga apa yang selalu saya sebut bahawa golongan intelektual kita sudah lama meletak jawatan atau enggan berperanan kepada masyarakat itu, akan berakhir. Dan akan bermulalah era baru – era intelektual rakyat, atau intelektual yang peduli kepada masalah rakyat.

Ada 17 lagi nama yang disenaraikan dalam kenyataan akhbar itu, menjadikan semuanya 38 orang. Mereka termasuklah Prof Emeritus Ahmat Adam, Dr Aida Idris, Ainon Muhamad (usahawan buku), dan Nur Hanim Kamaruddin (pelukis dan kurator).

Dan beberapa orang baru lagi yang hadir dan ikut serta pada pagi sidang akhbar itu. Nampaknya gerakan ini akan segera berkembang. Insya Allah!




No comments: