Monday, July 8, 2013

Betulkah Barat (khususnya USA) junjung roh demokrasi?



Benarkah sesungguhnya ‘demokrasi’lah yang diperjuangkan oleh Barat?


Apakah yang dapat kita pelajari daripada Kudeta Tentera di Mesir itu?  Sebagai individu tentulah kita memiliki tanggapan masing-masing berhubung peristiwa ini.  Ramai yang melihatnya sebagai ‘tragedi demokrasi’ terutama sekali sikap munafik mereka yang bercakap dan ‘memperjuangkan’ demokrasi ini.  Makanya ada yang cukup terkejut melihat pelbagai reaksi (termasuklah reaksi mereka yang menzip mulutnya rapat-rapat.  Jangan keliru,  ‘zip mulut’ juga termasuklah satu reaksi rasmi) terhadap Kudeta Tentera Mesir ini.  Aneh tapi benar, ada yang yakin bahawa Kudeta Tentera terhadap Morsi itu benar@absah@legal kerana katanya Morsi telah gagal.  Oleh sebab kegagalannnya mentadbir Mesir dalam tempoh yang singkat itu, maka layaklah dia dinyahkan oleh para demonstran yang marah-marah!  

Sementara itu di kalangan mereka yang mendambakan ‘sistem yang Islam syumul’ dalam seluruh kehidupannya, mereka berdukacita yang amat sangat dan meratapi rampasan kuasa ini. Dan reaksi seterusnya ialah memperlihatkan bahawa tragedi ini semua ini adalah kerja-kerja Barat, khususnya Amerika yang tidak redha Islam menjadi dominan, berpengaruh dan terus berfungsi sebagai model untuk diikuti.  Mereka yang yakin bahawa ini semua adalah kerja musuh berhujah dengan memetik ‘pengalaman Islam’ di Kelantan.  Kata mereka, kita tidak perlu pergi jauh-jauh untuk melihat bagaimana rumus ‘Islam sama sekali tidak boleh dibiarkan berjaya sebagai sesuatu model sistem pentadbiran’ itu, dimusnahkan ― dengan apa cara sekali pun. 

Kata mereka kita hanya melihat sejarah penderaan Umno yang cukup panjang terhadap Pas di Kelantan.  Contoh perbuatan Umno yang jelas ialah rompakan royalti minyak,  khazanah negeri yang terang-terangan milik rakyat Kelantan.  Bandingkan saja perbuatan sengaja Umno di negeri-negeri lain yang dikuasai oleh Umno.  Itu belum lagi cerita tentang gas Kelantan yang dengan segala strategi mala fidenya dialihkan  ke negara jiran! 

Apakah maknanya semua tindakan ini?  Bukankah itu satu perancangan yang tersusun supaya segala kemungkinan yang boleh memperlihatkan kebaikan dan kelebihan sistem Islam ( musuh politik mereka)itu semestinyalah dimatikan ― walau dengan apa cara sekali pun?


Melihat apa yang berlaku di Mesir sehari dua ini, ada sisi lain yang boleh kita pelajari dan renungi untuk kebaikan ummah.  Ada sisi sejarah rantau itu yang boleh direnungi.  Ya, Kudeta Tentera terhadap Morsi di Mesir mengingatkan kita kepada sejarah bagaimana Algeria telah terjerumus ke dalam kancah peperangan saudara yang panjang setelah FIS memenangi pilihan raya umum dan bagaimana tentera ― kemudiannya ― telah merampas kuasa dan kekal sehingga ke hari ini.  Sesungguhnya konflik di Algeria itu adalah kemelut yang telah memakan korban yang cukup banyak. (Sebagai contoh,  dalam http://en.wikipedia.org/wiki/Islamic_Salvation_Front, kita temui “the country inexorably slid into a civil war would claim more than 100,000 lives, from which it only began to emerge at the end of the 1990s).  Dan sekarang ini,  kita sedang menyaksikan bagaimana rakyat jelata yang tidak berdosa itu disembelih dengan kejam di Syria.  Atau apakah sejarah Algeria dan Syria ini sangat berbeza dan oleh kerana itu tidak relevan untuk dijadikan perbandingan dengan apa yang sedang berlaku di Mesir?  

Mungkin para pakar bidang pengajian Timur Tengah di IPTA/S kita dapat memberikan pencerahan yang jujur apakah ini semua adalah akibat langsung kerja buat Barat yang tidak redha dengan kebangkitan model pemerintahan Islam?  Atau apakah apa yang telah terjadi di Algeria dan Syria dan kini Mesir itu sangat berkait-rapat dengan pelbagai faktor sebab dan akibat yang menyelubungi batang tubuh umat Islam sendiri? Dan sekiranya kefahaman puak-puak sosialis dijadikan andalan, segala yang wujud di dunia ini hanyalah berpunca dari perebutan kuasa ― demi nafsu tak terkekang ― demi nafsu mahu membolot segala harta dunia yang ada.  Ertinya,  segala apa yang terjadi itu tidak ada kena mengenanya dengan kepercayaan agama.  Ya, seluruh dunia ini berkisar sekitar perebutan merebut pengaruh dan harta kekayaan dunia.  Agama hanyalah alat untuk memperolehi harta. 

Soalan yang relevan sekarang ini apakah Mesir juga bakal mengikuti sejarah buruk yang pernah dilalui oleh Algeria?  Apakah pengaruh Ikhwan Muslimin terlalu besar untuk dinafikan pengaruhnya terhadap masa depan Mesir?  Ya, apakah telahan ‘profesional’ para pakar bidang berhubung masa demokrasi, Islam dan Timur Tengah, khususnya Mesir?


2.

Dalam konteks sejarah Kudeta Tentera,  khususnya di Timur Tengah apakah yang boleh kita pelajari dan ambil ikhtibarnya?  Jika boleh kita bandingkan ― misalnya apakah perbezaan dan persamaan Kudeta-Kudeta Tentera di republik Algeria dan Mesir dengan Kudetanya Tentera di Thailand ― sebuah negara bermonarki?  Bukankah negara kita juga sebuah negara (yang katanya) demokrasi  ala Westminster juga memiliki sistem monarkinya sendiri?  

Dalam segala usaha dan iltizamnya mahu ‘menegakkan Islam yang syumul’ iaitu sepertimana yang diidam-idamkan oleh sesetengah pihak di negara kita, apakah agaknya ikhtibar yang boleh dipelajari dalam konteks Malaysia yang pelbagai agama, kepercayaan, kaum, adat istiadat, budaya, keturunan, latar dan juga ― sebuah negara bermonarki yang sangat meriah itu?  Apakah peranan dakwah melalui teladan dapat menggilapkan harapan dan masa depan para ‘pejuang Islam yang syumul’ terhadap sistem pemerintahan yang memiliki elemen monarkinya seperti Malaysia ini?  Ertinya apakah harapan dan senario akhirnya ialah monarki yang benar-benar takut dan percaya kepada alam akhiratlah yang boleh diandalkan agar hasrat dan cita-cita demokrasi oleh rakyat itu dapat dikotakan? 

Kata sesetengah sahabat yang hadir dalam sesi perbincangan MAPIM pagi ini (The Egyptian Coup – Analysing Its Implications And Galvanizing World Response From Islamic Movements) di sesetengah negara,  Kudeta oleh Tentera berlaku kerana memang menjadi darah daging dan budaya tentera untuk ‘berniaga’, korup dan memiliki pelbagai kepentingan langsung dan tidak langsung dalam harta dan khazanah negara.  Ya, Tentera yang peniaga juga memusnahkan negara kerana berpotensi menjadi alat pelbagai pihak termasuklah menjadi alatnya kuasa-kuasa asing.  Kenapakah Tentera yang korup dan berkepentingan perlu melihat kehendak dan aspirasi rakyat?  Di negara kita, di bawah naungan siapakah Tentera kita itu?

3.

Sebagai penutup ― seperti biasa ― ada lagi beberapa soalan untuk renungan bersama:

Dalam hujah dan teori “Pas for All”,  kita sering bertanya apakah benar bahawa sesungguhnya dalam amalan Parti yang katanya berteraskan Islam itu ― bukanlah “Pas for All”  itu retorik semata-mata,  umpan untuk memancing undi untuk orang-orang bukan Melayu dan mereka yang bukan Islam?  Apakah benar bahawa “Pas for All” ini diterjemahkan dalam seluruh gerak kerja para pejuang Pas?  Ertinya kerana ia dasar, maka setiap kali seorang pemimpin Parti baik yang kecil apatah lagi yang besar membuka mulutnya,  yang keluar dari rongga mulutnya bukanlah ditujukan kepada khalayak Melayu di depan matanya,  tetapi ditujukan kepada rakyat yang Kadazan, yang Iban yang Kristian dll.  

(Atau apakah “Pas for All” itu membawa maksud ‘Melayu’ didahulukan atau apakah ‘Islam’ yang didahulukan?  Dalam konteks ini, TGNA memang jelas pendiriannya, Islam sentiasa didahulukan dan orang-orang bukan Melayu yang warak pun boleh menjadi Perdana Menteri walaupun dia bukan seorang Melayu.  Lain pula dengan Umno kerana apa yang kita fahami,  Perdana Menteri itu mestilah Melayu, Melayu dan Melayu)

Soalan kedua, soalan penutup:

Katanya DAP itu parti yang berdiri tegak dan berjuang mempertahankan demokrasi.  Dalam konteks Kudeta Tentera yang telahpun menggulingkan Morsi secara haram, apakah reaksi rasmi DAP sebagai satu parti?  Apakah DAP memilih untuk berdiam diri?  Atau DAP telahpun mengutuk dengan sekeras-kerasnya rampasan kuasa rakyat oleh pihak tentera ini?




No comments: