Sunday, August 4, 2013

Relevankah doktrin





Dinsman (Artikel 394, 5/8)
Masih relevankah doktrin ekonomi sosialis?

Petang Ahad itu, di Madrasah Tarbiyah Jalam Gombak, ketika melihat Hishamuddin Rais begitu beriya-iya menegaskan apa yang disebutnya perkara paling fundamental perlu difahami mengenai politik dunia hari ini, iaitu bahawa semua perebutan kuasa sebenarnya adalah perebutan ekonomi dan perebutan ekonomi itu berlaku di antara kelas-kelas dalam masyarakat – terlintas dalam fikiran saya beberapa perkara.

Pertama, Hishamuddin barangkali tidak sedar bahawa dia sebenarnya tidak lagi berhujah menentang faham Kapitalis apabila dia terus berpegang dan berusaha meyakinkan orang ramai terhadap doktrin Sosialis itu, kerana sistem politik dunia hari ini sudah berubah. Dunia tidak lagi terbahagi kepada dua kuasa Kapitalis dan Komunis-Sosialis, tetapi sudah ada Islam yang sedang menggugat kuasa Kapitalis; manakala Komunis-Sosialis tidak lagi menjadi ancaman kepada Kapitalis.

Kedua, dia tentunya tidak sedar bahawa dia mungkin sedang beraksi sebagai ‘alat’ kepada para Kapitalis di Amerika, kerana hujah-hujahnya yang cuba menafikan peranan agama (Islam) dalam pergolakan politik dunia hari ini (khasnya di Timur Tengah) itu adalah hujah yang menyebelahi Amerika dan memberi semacam kewajaran kepada peranan yang dimainkan Amerika dalam usaha dan peperangan yang mereka lancarkan untuk mengekang kebangkitan Islam.

Saya bangkitkan perkara ini dalam sesi soal-jawab di hujung forum mengenai “Kudeta Mesir” anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Madrasah Tarbiyah, yang dijayakan oleh Hishamuddin, Cikgu Azmi Hamid, Ahmad Muhajir dan Hasni Abas, dengan Kassim Muhamad sebagai moderator itu. Ia berlangsung di ruang perpustakaan surau tersebut, menjelang waktu berbuka puasa Ahad 28 Julai.

Pada mulanya saya tidak berniat hendak bercakap pun, kerana saya sudah membincangkan perkara berkenaan dalam kolum ini, yang terbit Ahad itu. Tetapi tiba-tiba idea di atas itu melintas dalam fikiran. Saya tiba-tiba melihat suatu keadaan yang paradoks itu. Mungkin saya betul dan mungkin juga saya silap. Maka saya lontarkan idea itu ke dalam gelanggang, sekadar bahan perbincangan.

Saya terfikir begitu. Hishamuddin membawa hujahnya itu (bukan sahaja pada petang itu tetapi kerap juga melalui tulisan-tulisannya) tentulah bukan dengan tujuan untuk menyokong aksi Amerika yang kini berlagak sebagai polis dunia, atau cuba menguasai sumber-sumber ekonomi yang ada di dunia. Tetapi tanpa disedarinya saya rasa hujah Hishamuddin itu menyebelahi Amerika, kerana dia tidak menyalahkan Amerika sebagai faktor utama tercetusnya krisis di Mesir itu.

Kalau pada pendapat saya mudah sahaja. Memanglah di dalam kancah peristiwa berdarah yang kini telah mengorbankan ratusan jiwa itu, banyak pihak yang terlibat, seperti dihuraikan oleh Cikgu Azmi. Tetapi faktor utamanya apa, kalau bukan Amerika? Amerikalah yang berperanan mengawal di sebalik sebahagian besar peristiwa pergolakan di Mesir itu, terutamanya sebagai helah untuk menyekat kebangkitan Ikhwanul Muslimin, kerana Ikhwanul Muslimin adalah kuasa Islam yang akan menggugat Amerika sekiranya ia dibiarkan berkembang sehingga dapat membangunkan kuasa Islam itu.

Proses ini bukanlah satu perkara baru. Ia sudah berlangsung berpuluh tahun. Di belakang Saddam Hussein itu pun, misalnya, siapa kalau bukan Amerika? Dialah yang menaikkan Saddam mengikut keperluannya dan dialah juga yang menjatuhkan Saddam mengikut keperluannya. Sekarang dia melihat Mohamad Morsi itu sebagai pembangun kuasa Islam yang akan mengancam kekuasaannya di Timur Tengah. Maka Morsi mesti segera dijatuhkan.

Memang, tujuan Amerika itu asasnya ialah ekonomi, yakni untuk mengawal sumber ekonomi dunia. Biar dia sahaja yang menjadi pengawal dan penguasanya. Tetapi Islam berbeza. Tujuan Islam sama sekali bukan ekonomi. Tujuan Islam ialah menuju kepada kehidupan yang abadi di Akhirat. Itu doktrinnya Islam.

Namun dalam realiti amalannya, yakni amalan pemimpin-pemimpin politik Islam, tidaklah semuanya membawa tujuan Akhirat itu. Mungkin banyak yang terpengaruh dengan fahaman hidup Eropah dan Amerika, iaitu mengejar kesenangan material, atau ekonomi.

Betul, dan saya bersetuju, kalau maksud Hishamuddin mengatakan perebutan ekonomi adalah asas berlakunya kekacauan dan kudeta di Mesir itu ditujukannya kepada Amerika (dan agen-agennya) sebagai faktor utama yang mencetuskan krisis tersebut. (Terdapat ramai di kalangan sebahagian pemimpin Mesir dan juga rakyat Mesir yang menjadi agen Amerika). Mereka itu memang terlibat dalam krisis itu atas faktor ekonomi.

Tetapi saya melihat dalam masa yang sama Hishamuddin cuba menafikan wujudnya faktor kebangkitan Islam. Baginya faktor itu langsung tidak ada dan tidak timbul. Yang ada hanya faktor perebutan ekonomi, termasuk di kalangan Ikhwanul Muslimin sendiri, yang katanya, menggunakan hujah dan alasan Islam sebagai retorik (alat) untuk mengolah persetujuan orang ramai.

Itu yang saya nampak ketika Hishamuddin begitu beriya-iya cuba meyakinkan khalayak di surau itu pada petang Ramadhan itu. Seperti dia dapat membaca pada wajah-wajah yang hadir di situ terpahat kepercayaan bahawa Islam adalah faktor penting di sebalik peristiwa yang sedang diforumkan itu. Makanya dia terpaksa mengulang-ulang penegasannya akan faktor perebutan ekonomi itu.

Ketika itulah terlintas dalam fikiran saya dua perkara yang saya sebutkan di atas tadi. Mungkin doktrin ekonomi sosialis yang masih dipegang kuat oleh Hishamuddin itu sudah tidak relevan lagi dengan perubahan politik dunia hari ini. Dan mungkin juga hujah-hujah yang dulu menyebelahi Sosialis-Marxis itu kini sudah bertukar menjadi hujah-hujah yang menyebelahi Kapitalis Amerika.

Elok juga Hishamuddin merenung semula asas pemikirannya itu. Sekadar untuk menilai semula kesahihannya sahaja, bukannya apa. Atau kalau memang Hishamuddin mahu terus berpegang dengan doiktrin itu walau atas alasan apapun – itu terpulanglah. Saya sekadar menyatakan fikiran ikhlas saya sahaja. Walau apa pun pilihan Hishamuddin saya menghormatinya, dan menghargainya!

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408) 



No comments: