Sunday, September 15, 2013

Lagi tentang Ulamak PAS



Perang untuk kuasai undi Melayu


Dalam mana-mana sistem yang mengamalkan proses mengundi sebagai kaedah untuk membuat keputusan, pemilihan atau pun lantikan, undi para pengundi sangatlah penting.  Semua orang tahu hakikat itu dan ini  tak perlu penjelasan lanjut.  Oleh kerana itu jika sebuah parti politik misalnya mahu mengadakan pemilihan barisan kepimpinannya, makanya undi para perwakilan amat penting untuk diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh mereka yang bercita-cita mahu dipilih.

Untuk mendapatkan perhatian dan sokongan para perwakilan, calon-calon pemimpin mestilah kelihatan gagah perkasa sebelum mereka memasuki gelanggang.  Salah satu kaedah yang sering digunakan oleh para pedamba@aspiran (the aspirants) ini ialah dengan mengangkat, membicarakan malah lebih bagus jika jelas kelihatan menjaguhi isu-isu tersebut.  Oleh itu sebelum tibanya musim pemilihan,  isu-isu yang dilihat dekat dengan selera pengundi akan dikumpul, disemak, disaring dan disusun-atur mengikut urutan keutamaannya.  Maka oleh kerana itu para calon pemimpin, lebih-lebih para peyandangnya (the incumbent), ‘perjuangan’ mereka dalam menjuarai isu-isu utama itu tersangatlah penting dan mestilah dapat dilihat dengan jelas oleh para perwakilan.

Nah, berdasarkan premis di atas,  mari kita baca isu-isu atau pun ISU utama yang dilihat sangat genting bagi sesebuah parti politik itu.  Misalnya sebagai contoh kita baca mesejnya Dewan Ulamak PAS yang sedang mengadakan Multaqa Ulama Semalaysianya di Kota Sarang Semut, Alor Setar pada 14 September 2013.  Jika kita gunakan sudut pandangan ketuanya ― isu paling genting untuk dikaji oleh Multaqa Ulama Semalaysia ini ialah “Kaji semula hubungan dengan PKR”.  Bagi Dewan Ulamak,  isu ini genting oleh kerana itu "Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi,".  [Nota: Untuk makluman ‘Multaqa’ itu ‘Perhimpunan’ dan ‘tahaluf siasi’ pula bermaksud ‘kerjasama politik’].

Jika benarlah seruan Dewan Ulamak PAS via ketuanya ialah hasil daripada kerja rumah@homework dan juga kerja keras yang telah dibuat oleh Dewan itu selama ini, maka ini bermakna Dewan Ulamak PAS berpendapat bahawa kesepakatan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat sehingga mampu bertahaluf siasi, lalu bertembung dengan UMNO dalam dua pertempuran iaitu PRU12 dan PRU13 sebenarnya ― hanyalah sekadar “setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi”.  Di akhir laporan the Malaysian Insider pada 14 September 2013 ini dinyatakan bahawa “perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi” ialah:


i) “Kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan PKR”.   

ii) “Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi PAS kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberikan perhatian”.

Bolehkah mereka (para penyokong Pakatan Rakyat yang antara lain terdiri daripada ahli-ahli PAS, ahli-ahli DAP, ahli-ahli PKR, orang-orang Melayu, orang-orang bukan Melayu, orang-orang Sabah, orang-orang Sarawak, orang-orang Marang, orang-orang Baling, orang-orang Hindu ―  sekadar satu dua contoh ― yang TELAH mengundi calon-calon PAS (baca: Pakatan Rakyat) dalam PRU 12 dan PRU 13 yang lalu  telan kedua-dua sebab di atas itu?

Apakah mesejnya?

Jika ingin memerintah Malaysia, usahlah berfikir hanya dalam kepompong Melayu atau pun Negeri.  Belajarlah berfikirlah di luar kepompong ― bukan hanya berfikir tentang undi-undi Melayu semata-mata.  Berfikirlah bahawa rakyat Malaysialah yang sentiasa dan selama-lamanya dekat di hati orang-orang politik.   Bukankah itu juga yang diajar oleh Islam?  Ertinya berfikirlah sebagai pemimpin yang besar jiwanya demi masa depan Malaysia.  Usahlah ditiru caranya PM dan TPM dengan agenda Melayunya ― agenda ala BR1Mnya Melayu di ambang musim-musim pemilihan. 






No comments: