Monday, September 16, 2013

Mudharat? Haram diteruskan.




Sumber: http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=28779


“Namun jika hasil kajian itu didapati tahaluf siasi yang telah berlangsung empat tahun lepas tidak menepati syarat yang telah digariskan oleh para alim ulama Islam yang muktabar, pula mendatangkan keburukan atau kemudaratan buat perjuangan Islam yang didokong oleh Pas maka haram tahaluf itu diteruskan.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda Pas”


Petikan di atas menarik jika direnungi agak mendalam.  Ia membuat kita bersoal jawab dalam diri semacam satu dialog dalaman.  Namun ada seorang Ustaz yang berpesan supaya jangan dibuat hipotesis dalam persoalan atau soal-soal beragama.  Kata Utaz ini lagi,  ada orang yang sengaja mereka-reka soalan-soalan semata-mata untuk dijadikan mental exercise.  Soalan-soalan yang dikemukakan bukanlah contoh-contoh persoalan yang benar-benar berlaku di alam yang nyata.  Lalu guru agama yang satu ketika dulu amat laris ceramahnya di Utara itu memberikan amaran; berdosa jika dibuat-buat atau pun direka-reka persoalan dan soalan.  Kita berharap senarai soalan di bawah ini tidak dikategorikan sebagai berbuat dosa kering kerana sebenarnya ia lebih menjurus kepada persoalan pengurusan organisasi dan berorganisasi.  Kebetulan organisasinya ialah PAS.


Nah, ini senarai soalan contoh untuk renungan team kajian tahaluf siasi  


1) Kenapakah tahaluf siasi itu tidak menepati syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama Islam yang muktabar?

a) Adakah ia tidak menepati kehendak Islam kerana terdapat perkara-perkara tertentu berhubung tahaluf siasi baru saja dikenalpasti tidak mematuhi lunas-lunas Islamik@tidak Islamik? 

b) Atau apakah ketidakpatuhan ini hanya disedari setelah atau semasa empat tahun bertahaluf siasi? 

c) Atau adakah pasukan ulamak muktabar yang telah menggubalkan syarat-syarat sepertimana yang digariskan oleh Islam itu telah terlepas pandang aspek-aspek tertentu sehingga tahaluf siasi asal itu tidak begitu tepat dan oleh kerana itu ia mestilah diperbetulkan?

2) Siapakah yang menyediakan kriteria pematuhan syarat dan kehendak Islam dalam bertahaluf siasi bersama Pakatan Rakyat empat tahun yang lalu itu?

3) Siapakah yang memantau pelaksanaan tahaluf siasi agar ia mematuhi kehendak-kehendak  Islam?

4) Siapakah yang bertanggungjawab untuk memberikan amaran kepada parti bahawa dalam bertahaluf siasi sudah ada aspek-aspek tertentu hukum hakam Islam telah dilanggari?   

5) Setelah dimaklumkan tentang pelanggaran-pelanggaran ini,  apakah yang telah dilakukan oleh parti untuk membetulkan pelanggaran itu?

6) Siapakah juruauditnya yang akan mengaudit pematuhan segala syarat dan kehendak Islam dalam bertahaluf siasi ini?  Adakah tugas ini akan dilaksanakan oleh juruaudit dalaman atau terdapat juruaudit luar yang turut terlibat?


Semoga soalan-soalan bermanfaat untuk direnungi.  Wallahuaklam.



No comments: