Tuesday, October 15, 2013

ABU dan abu



abu yang digeruni


Pada dini hari Raya Korban 1434 hening ini, teringat kepada ABU@abu.

ABU itu boleh dikenali sebagai akronimnya Asia-Pacific Broadcasting Union atau boleh dan sering juga dibaca dengan cara yang agak nakal oleh para pembangkang di Malaysia “Asal Bukan Umno”.   

ABU itu ramad, pepatah Arab yang membawa maksud tuan rumah yang sangat pemurah sehinggakan rumahnya sentiasa berdebu@arang kerana sering dikunjungi tetamu.  Mohon betulkan sekiranya pemahaman ini salah.

ABU itu sebuah nama indah dalam budaya Arab dan juga budaya Melayu.  Maka kita pun temuilah ABU Bakar Al-Siddiq, seorang sahabat dan juga bapa mertunya Nabi Muhammad S.A.W.  Almarhum bapa mertuaku bergelar Abu Bakar Darus.

Kalau ikut cerita ibuku, nama sebenar yang diinginkan untukku oleh arwah Tok Taib Itam datukku di sebelah arwah ayahku,  Abu Qhosim dan bukannya Kassim.  Khabarnya Tok Taib begitu terkesan dengan kelebaian Lebai Abu Qhosim di Kampong Batu Lentang, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, maka aku pun sewajarnya dinamakan,  sebaik-baiknya sedemikian.  Malang sekali ternyata yang ada hanyalah Kassim tanpa keLebaiannya.

Semasa bersekolah di Katholieke Universiteit Leuven, Belgium sahabat-sahabat Arabku di dalam IMSAL (International Muslim Students’ Association Leuven) seperti Brother Sallehuddin (Sudan) dan juga Brother Abu Qhosim (Mesir) menggelarku Qhosim tanpa ABU.

Tatkala menziarahi jenazah mendiang mantan bos dan sahabat JPSku, Ir. Poh Thuan Poon di Gereja Methodist, Trinity Church, Petaling Jaya, Herald Krishna menjelaskan bahawa mayat mendiang akan dibakar keesokannya.  Ertinya Puan Poh dan kedua anaknya akan membawa pulang abu mendiang.  Maka abu akan menjadi sebahagian daripada hidup dan kehidupan keluarga mendiang Ir. Poh Thuan Poon.  Kudoakan mereka diberikan kekuatan tanpa kehadiran Ir Poh itu.

Citra gerunnya terhadap abu ini tidak akan lengkap jika cerita abunya mendiang yang melawan penjajah British dan didokong oleh pejuang Regimen ke 10 yang Melayu-Islam-dan-Komunis seperti Rashid Maidin, Abu Samah dan Shamsiah Fakeh (sekadar menyebut satu dua nama) itu tidak disentuh.  Agaknya Setiawan bakal pekat legamnya jika abu itu dibawa pulang. Bayangkan betapa besarnya orang itu abunya pun digeruni.

Akhir sekali, coba kita kaji makna sebenar dan tersirat sebuah pepatah Melayu, “Menang jadi arang kalah jadi abu” itu.  Rupa-rupanya yang namanya arang yang telah menang itu ternyata masih lagi tersangat dan begitu takut sekali kepada abu walaupun abu ternyata telah ‘kalah’!  Bukankah ini cukup luar biasa?

Ah, sebelum nokhtah terakhir kuketik, mari kita turunkan beberapa sedutan menarik cerpen ABU, Harakah cetak bilangan 1885, halaman F16 karya sahabatku dalam Paksi, Razali Endun:


Ketika dibawa keluar balang itu dari rumahnya, polis bertanya apakah yang berada di dalam balang itu?

“Abu” jawab Nyonya Tan.

Polis ternganga mulutnya.  Ada yang merungut seolah-olah diperbodohkan oleh Tok Penghulu.

“Mahu dibawa ke mana?” soal pegawai polis.

“Mahu dihanyutkan di laut,” jawab Nyonya Tan.

Mulut polis terlopong lagi macam mulut terowong Smart yang ternganga luas.



No comments: