Wednesday, October 16, 2013

W? ekslusif!



Aku dan W yang esklusif


“The WORD (setelah ini W) itu milik kami.  Persidangan para wali semalam telah memutuskan kenapa dan mengapa W ekslusif itu ― hak milik kami yang maha mutlak itu ― mestilah selama-lamanya kekal ekslusif.  Barisan wali maha arif itu telah melihat pelbagai aspek ‘mengapa’ W itu perlu dijadikan dan menjadi sesuatu yang ekslusif.  Para wali yang bijaksana itu telah meneliti kenapa ia mestilah esklusif.  Dan Barisan wali telah yakin bahawa demi kesejahteraan, keamanan, kebahagiaan dan kesyumulan se Belantara ini, kemurnian W yang ekslusif itu mestilah dikekalkan begitu ― EKSLUSIF”.

Sang Maha Ranjau Tikus Hutan berhenti sebentar untuk menarik nafasnya dalam-dalam, sambil membetulkan kaca matanya yang sudahpun ‘terlondeh’ ke batang hidung.

Kemudiannya, dia menyambung hujahnya tentang W:

“Sejak W diekslusifkan,  kami ―gerombolan tikus hutan ― menjadi lebih warak, bertambah alim dan semakin taat kepada peraturan Hidup.  W yang ekslusif membuat jatidiri kami, roh kami, jiwa raga kami bersih, suci dan murni.  Sumpah! Sekarang ini kami bukanlah dan bukan  lagi gerombolan tikus yang perasuah, kaki putar belit, penipu dan pentingkan gerombolan tikus hutan semata-mata.  Bgiku kami menjadi murni dek W yang ekslusif itu.

Lalu dia pun menutup hujah pentingnya tentang W, begini:  

Kami yang ragu-ragu dan bimbang kalau-kalau penyalahgunaan W oleh kelompok bukan tikus hutan akan menyesatkan, mengelirukan dan memurtadkan gerombolan tikus hutan menarik nafas lega kerana kebijaksanaan barisan wali yang mahar arif.”

Sejak itu kami se Belantara lebih berhati-hati bila berdepan dengan W yang maha esklusif itu.  Aku yang bukan dari gerombolan tikus hutan akan melencong jauh-jauh pabila melihat walaupun sesuatu yang seakan-akan bayang-bayangnya W.  Sungguh mati,  bagiku W itu ternyata begitu menggerunkan sekali!



 

No comments: