Monday, October 21, 2013

Mesej Budaya untuk Pimpinan PAS



Dinsman
Mesej Budaya untuk Pimpinan PAS

(Teks ucapan di majlis Dialog Bersama Pimpinan PAS, anjuran Lujnah Kebudayaan PAS Pusat, di hotel de Palma Shah Alam, 20 Okt 2013)


Pertamanya saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS, kerana telah bercakap mengenai budaya di dalam Parlimen pada 15 Julai lalu, iaitu mengenai ‘Kuasa Budaya Dunia’. Berikutan itu Seniman Paksi Rakyat telah mengadakan satu majlis dialog bersama dengan beliau, yang turut juga dihadiri seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayob, di Taman Greenwood pada 19 Ogos. Antara persetujuan yang dicapai ialah mengadakan Majlis Dialog Budaya secara rasmi dengan pimpinan tertinggi PAS. Inilah maka kita bertemu di sini pada malam ini. Bertemu untuk acara budaya. Bukan acara politik seperti selalu.

Datuk Mahfuz antara lain di Parlimen itu telah berkata bahawa: “Untuk memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agak sukar, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menguasai budaya agak mudah, kerana negara ini merupakan sebuah negara yang terkumpul tamadun besar dunia di dalamnya.”

Sekali fikir saya bersetuju dengan kenyataan itu. Sekali fikir. Lebih mudah membangunkan budaya daripada membangunkan ekonomi, atau memulihkan ekonomi yang merudum. Memang. Tetapi kalau kita perhatikan realiti yang berlaku di sekeliling kita – ia sama sekali lain. Walaupun memulihkan ekonomi yang merudum itu kerjanya memang lebih sukar, tetapi melaksanakannya adalah lebih mudah berbanding dengan membangunkan budaya – walaupun sebenarnya kerja membangunkan budaya itu jauh lebih mudah. Sebab apa? Sebab kita lebih mudah mengeluarkan peruntukan walaupun mencecah puluhan billion RM untuk memulihkan ekonomi, tetapi kita sangatlah sukar untuk mengeluarkan peruntukan walaupun hanya beberapa ribu sahaja (bukan juta pun, ribu sahaja) – itu lebih susah daripada mengeluarkan ribuan juta untuk pulihkan ekonomi.

Maka Paksi merumuskan – bahawa faktor yang paling penting sekali dalam usaha merealisasikan idea Datuk Mahfuz mengenai ‘Kuasa Budaya Dunia’ itu ialah pemahaman dan penerimaan oleh pihak pimpinan yang diharap akan menjalankan pelaksanaannya. Dan pemahaman-penerimaan yang dimaksudkan di sini ialah pemahaman-penerimaan yang melibatkan persetujuan untuk mengeluarkan peruntukan kewangan yang mencukupi. Kalau sekadar faham dan setuju sahaja tetapi tak mahu keluarkan peruntukan yang mencukupi – itu bukanlah pemahaman dan penerimaan yang kita maksudkan.

Inilah cabaran utama. Inilah bahagian atau peringkat paling sukar sekali dalam usaha merealisasikan idea Datuk Mahfuz itu. Sebab itulah bercakap mengenai budaya atau, sejak awal-awal penubuhan Lujnah Kebudayaan PAS pada tahun 2010 lagi, Paksi sudah mencadangkan supaya diadakan pertemuan dengan Pimpinan PAS, untuk Dialog Budaya dengan pimpinan. Baru sekarang ia terjadi. Setelah tiga tahun. Dan inipun hampir-hampir ia akan menjadi lain. Demikianlah halnya ‘budaya’ di kalangan kita hari ini. Sesuatu yang sangat tidak difahami, sangat tidak dimengerti, dan sangat disalah-fahami.

Paksi ditubuhkan tidak lama selepas PRU 12, iaitu pada Jun 2008 – menghimpunkan aktivis seni-budaya yang berpihak kepada Reformasi ketika itu. Moto Paksi ialah Berkata Benar, dan berjuang untuk Kebenaran dan Keadilan. Dalam perjuangan seni-budaya Paksi, ada beberapa perkara dasar yang selalu kami suarakan. Saya akan sebut sebahagian daripadanya di sini.

Pertama, kita di Malaysia hari ini terlalu atau keterlaluan berpolitik, yakni berpolitik secara berlebih-lebihan hingga segala-galanya hendak dipolitikkan, hingga setiap waktu disibukkan dengan politik, setiap waktu adalah waktu untuk berpolitik. Tidak ada waktu untuk yang lain daripada politik kecuali yang lain-lain itupun dimasukkan ke dalam agenda politik.

Pendidikan dimasukkan ke dalam agenda politik. Kebajikan dimasukkan ke dalam agenda politik. Agama pun dimasukkan ke dalam agenda politik. (Saya tak kata agama hendaklah dipisahkan dengan politik, tidak. Lain maksudnya tu). Dan budaya juga, tentulah, hendak dilihat sebagai agenda politik. Kalau tak boleh dilihat sebagai agenda politik, ia tak akan diberi perhatian, tidak diambilkira.

Dalam konteks inilah apabila Mahfuz Omar bercakap mengenai budaya di dalam Parlimen, ia terus menarik perhatian Paksi. Budaya, atau kebudayaan, adalah satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan. Paksi bila-bila masa bersedia untuk beri kursus seminggu mengenai pentingnya seni-budaya dalam kehidupan manusia. Pentingnya aktiviti seni-budaya bagi melahirkan kehidupan yang seimbang, yang harmoni, kehidupan yang sihat.

Saya menulis mengenai seni-budaya setiap minggu dalam Harakah, sejak tahun 2008. Tak ramai pimpinan PAS yang baca, saya tahu. Sebab itu saya telah pilih beberapa yang penting, saya bukukan, supaya mudah dibaca. Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, diterbitkan khas untuk para pemimpin di Malaysia. Orang politik tak mahu beli, saya bagi percuma. Demi untuk budaya. Demi untuk merealisasikan idea Datuk Mahfuz – Kuasa Budaya Dunia.

Kita kena faham dulu apa dia seni-budaya yang penting dan relevan dalam konteks kehidupan di Malaysia hari ini. Nak bangunkan Malaysia sebagai ‘Kuasa Budaya Dunia’ – boleh! Tetapi kena fahamlah dulu apa yang perlu kita buat.

Sekarang ini, mulai hari ini 20 Oktober selama enam hari, sampai 25 Oktober, di Ipoh sedang berlangsung 33rd World Congress of Poets. Kongres Penyair Sedunia yang ke-33. Anjuran World Academy of Arts and Culture. Tahun ini dibuat di Malaysia. Tahun lalu khabarnya di Israel dan tahun depan di Peru. Ipoh dan Pulau Pangkor dipilih kerana setiap tahun mereka anjurkan Pesta Puisi. Itu di pihak mereka, UmnoBN. yang menjadi lawan kita itu. Mereka ada macam-macam program seni, sastera dan budaya. Hampir setiap masa mereka ada program seni-budaya. Tetapi kita bagaimana?

Paksi sebenarnya ada banyak program, yang lebih baik dan lebih berkualiti daripada yang mereka ada. Bermula daripada 2009 Paksi menyediakan kalendar program seni-budaya bagi setiap tahun – 2009, 2010 dan seterusnya. Tetapi apa yang terjadi dengan program-program itu? Orang-orang politik yang sentiasa sibuk berpolitik itu terus menunda dan menundanya, tahun bergangti tahun, terus tak ada masa untuk seni-budaya. Mereka ingat buat satu dua program cukuplah untuk mengambil hati orang-orang budaya. Itulah silapnya orang politik. Bacalah buku ini. Semuanya diceritakan dalam buku ini.

Sebagai contoh, setelah berbagai usaha dilakukan akhirnya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bersetuju dengan beberapa program yang dicadangkan oleh Paksi. Satu daripadanya Jelajah Budaya Selangor (JBS). Dibuat di setiap daerah, ada 9 daerah. Ada macam-macam acara seni-budaya di dalamnya. YB Dr Halimah Ali pernah terlibat dengan acara pertama yang dibuat di Klang. Jadi dia tahulah. Sebenarnya Dr Halimah banyak membantu aktiviti seni-budaya Paksi – bicara buku, bengkel penulisan, teater dan sebagainya. Terima kasih Dr Halimah.

Balik kepada cerita Jelajah Budaya tadi. Di dalamnya ada acara puisi, muzik, teater, bicara buku, kuliah ilmu, dialog budaya, bengkel sastera untuk pelajar, anugerah tokoh budaya dan sebagainya. Peruntukan sebanyak RM30 ribu sahaja. Setelah dua kali dibuat, peruntukan dipotong tinggal RM20 ribu. Sebab apa dipotong? Tak ada sebab. Saja. Sebab seni-budaya. RM20 ribu cukuplah.

Dr Halimah tahu RM30 ribu itupun tak cukup, dia tambah lagi sikit. Tetapi mereka yang memegang kuasa itu, kuasawan kata Samad Said, mereka potong saja! Walaupun duit yang diperuntukkan untuk budaya ada banyak lagi yang tak digunakan. Sebelum itu MB sendiri umumkan peruntukan kepada seni-budaya RM2.5 juta. Umumkan saja. Daripada seribu juta lebih bajet kerajaan negeri, 2.5 juta untuk seni-budaya itu sangatlah kecil. Itupun yang dibelanjakan hanya sebahagian saja.

Dan turut dipersetujui ialah dana untuk penerbitan buku. Agak besar. Maka kita pun berjanjilah dengan Samad Said yang kebetulan hendak terbitkan buku kumpulan puisi terbarunya. Dia hanya perlukan RM15 ribu saja. Pihak kuasawan itu bagi kita syarat, buat itu dululah, buat ini dululah, akhirnya RM15 ribu untuk seorang Sasterawan Negara yang hendak terbitkan karya terbarunya, tak dikeluarkan.

Bayangkanlah bagaimana kita menghargai seorang sasterawan besar satu-satunya yang kita ada. Orang seperti Samad Said ini ada di kalangan kita adalah satu anugerah. Ia bukan boleh dibina atau dibangunkan macam kita buat projek pembangunan. Belanjakan seribu juta pun belum tentu kita akan dapat seorang yang seperti A Samad Said. Sekarang dia ada bersama kita. Bagaiamanakah kita menghargai anugerah yang… sekarang dia bersma kita, esok belum tentu. Allah boleh mengambil kita bila-bila masa.

Azizi Hj Abdullah – pun tidak ada duanya seperti dia. Sudah pulang ke rahmatullah. Paksi merayu berkali-kali supaya Azizi Hj Abdullah diberi anugerah yang sewajarnya. Kerajaan Malaysia tak akan beri penghargaan kepada Azizi sebab dia orang PAS, pernah jadi calon PAS bertandiung di Kulim. Hadiah Sastera Malaysia yang kecil-kecil itu diberilah. Sasterawan Negara takkan mereka beri kepada dia. Dia juga seorang sasterawan besar, yang tak ada penggantinya setelah dia pergi.

Paksi merayu supaya kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat pakat-pakat bagi dia anugerah Sasterawan Rakyat, yang sama nilai wangnya dengan Sasterawan Negara oleh kerajaan Malaysia itu. MB Selangor bersetuju, Timbalan Presiden PKR bersetuju. Tetapi bersetuju sahaja, tidak berbuat apa-apa, tak ada makna.

Ini semua – apa yang saya sebut ini, adalah jalan-jalan menuju kepada ‘Kuasa Budaya Dunia’ yang dimaksudkan oleh Mahfuz itu. Kita mesti tahu menghargai tokoh-tokoh budayawan yang wajar dihargai. A Samad Said misalnya, sementara dia masih bersama kita, apa salahnya Kerajaan Negeri Selangor lantik dia jadi Sasterawan Kehormat Unisel. Beri dia kemudahan-kemudahan yang wajar untuk dia berkarya. Tak susah pun. Tak perlu belanja sampai ratusan juta. Malah dia boleh membantu Unisel untuk menyemarakkan seni dan sastera di universiti itu. Sebagai lambang kita menghargai seni sastera.

Apa maknanya kita bercakap tentang Kuasa Budaya Dunia yang di dalamnya merangkumi budaya warisan dari tamadun Melayu, Cina, India, Arab dan Eropah, kalau hendak menghargai seniman-budayawan besar seperti A Samad Said dan Azizi Hj Abdullah itu pun kita tak mampu!

Saya belum sebut seorang lagi budayawan besar kita, yang juga seorang tokoh ilmuan. Banyak telah diterbitkan buku-buku hasil kajiannya dalam bidang ilmu yang tak ramai orang Melayu-Islam berminat – iaitu matematik dan fizik, dan sekarang beliau cuba membetulkan fahaman umat Islam di dunia hari ini yang terpesona dengan penemuan-penemuan saintis Barat yang tak percaya Tuhan, manakala para ilmuan Islam pula sibuk mencari ayat-ayat al-Quran bagi mengesahkan penemuan-penemuan orang-orang yang anti-Islam itu.

Ini satu perkara pelik yang berlaku di kalangan umat Islam, yang kita tak sedar. Terima kasih Profesor Dr Shaharir Mohd Zain yang menyedarkan kita. Tak ramai di kalangan kita yang mengenali tokoh ini, apatah lagi menghargainya.

Paksi mencuba semampu kami, mengangkat perkara-perkara yang tidak popular seperti ini, untuk mengisi kekosongan besar yang terdapat dalam masyarakat kita hari ini.

Tuan-tuan puan-puan tahu apa kekosongan besar itu? Itulah kekosongan seni-budaya yang sihat. Kekosongan yang menyebabkan anak-anak muda kita sekarang mudah terlompat-lompat, terkinja-kinja dan terlena di depan televisyen, di depan laptop, di depan iPad, menikmati pelbagai rancangan hiburan yang tak berfaedah dan menjauhkan mereka daripada iman dan taqwa.

Kita perlukan program-program seni-budaya yang sihat untuk mengisi kekosongan itu. Kita perlukan program-program seni-budaya alternatif. Tidak cukup sekadar memprotes terhadap kehadiran agen-agen hiburan yang menyesatkan itu. Kita perlu hadirkan program-pragram seni-budaya alternatif! Ini yang kami di dalam Seniman Paksi Rakyat sedang usahakan. Dan usaha kami ini tidak akan berjaya kalau tidak disokong oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Masyarakat kita sedang mengalami kekosongan besar itu. Kekosongan yang mesti di isi. Kalau tak diisi ia membawa mudharat. Sekarang pun mudharat itu sedang berlaku dalam masyarakat. Dan mudharat ini tidak boleh diatasi dengan semata-mata berpolitik. Ada hal lain juga yang tidak kurang pentingnya daripada berpolitik. Inilah perkara utama yang kami ingin sampaikan kepada pimpinan PAS malam ini. Jangan fikir semua perkara boleh diselesaikan dengan politik. Ada perkara yang perlukan seni-budaya untuk menyelesaikannya.

Bercakap mengenai Kuasa Budaya Dunia, saya berasa agak gayat kalau hendak bandingkan seni-budaya yang dihayati oleh orang-orang Melayu di negeri Selangor atau Kedah misalnya, dengan seni-budaya yang dihayati oleh orang-orang Cina di Pulau Pinang. Seni-budaya Cina di Pulau Pinang itu jauh lebih maju dibandingkan dengan seni-budaya Melayu di mana-mana negeri pun di Malaysia. Bukan kita nak bangkitkan soal perkauman di sini, tetapi kita perlu berani melihat fakta dan keadaan yang sebenar.

Jadi sebelum kita melihat kepada budaya dari tamadun Cina, India, Arab dan Eropah itu, untuk membangunkan Malaysia sebagai ‘Kuasa Budaya Dunia’, saya fikir lebih baik kita tumpukan kepada seni-budaya kita sendiri terlebih dahulu – seni-budaya Melayu-Islam.

Saat ini bukanlah masa yang sesuai untuk Paksi kemukakan program seni-budaya untuk kita laksanakan. Ini hanya sebagai perkenalan. Kita perlukan agenda susulan selepas ini. Paksi sudah banyak mencadangkan sebenarnya. Paksi ada bank program seni-budaya. Bila-bila masa pun kita boleh duduk bincang untuk pelaksanaan.

Akhirnya, satu perkara ingin saya tegaskan sekali lagi – para pimpinan PAS janganlah suka sangat menyibukkan diri hingga tak ada masa selain daripada untuk politik. Ini entah kali ke berapa saya sebut perkara ini. Kenapa jadikan diri kita begitu sibuk? Kalau Nabi Muhammad saw itu contoh ikutan kita – apakah Nabi Muhammad itu sibuk seperti kebanyakan pimpinan PAS hari ini? Jadi – kurangkanlah berpolitik. Kalau nak ikutkan keperluan politik itu memanglah, langsung tak ada masa untuk perkara lain. Tetapi apakah itu cara yang diajar oleh Rasulullah saw? Tentulah tidak, ‘kan!

Dan saya melihat Tok Guru Nik Aziz pun tidaklah begitu sibuk waktu dia jadi Menteri Besar dulu. Dia selalu ada masa kalau kita perlu bercakap hal budaya dengan dia, dan dia ada masa untuk sesekali ajak saya baca puisi, dan ajak kita buat teater.




No comments: