Wednesday, November 6, 2013

Pemilik Proses Untuk Pelbagai Sektor

Mazlan Aliman untuk sektor padi


Salah satu isu yang dibangkitkan dalam PRK Sungai Limau yang baru lalu ialah harga padi yang sudah sekian lama tidak ‘naik-naik’.  Demikian entri fbnya Sdr Ahmad Lutfi pagi ini (6 November 2013) dengan saranan supaya dicarinya seorang Mazlan Aliman untuk sektor padi.  Ya, kita bersetuju dengan saranan ini.  Kita memang perlukan seorang pemilik prosesnya (sebagai ganti kepada istilah besar lagi menggerunkan itu ‘pejuang’) yang dengan penuh kesedaran, keinsafan dan penuh kerelaan pula mahu mengangkat isu dan masalah yang dihadapi oleh kaum petani. 

Ertinya kita perlukan seorang pemilik proses yang memiliki ciri-ciri tertentu supaya apa yang mahu diangkatnya itu menjadi lebih berkesan dan mantap.  Misalnya sang pemilik proses ini semestinya cukup peka dan menghayati segala penderitaan yang dihadapi oleh kelompok yang mahu dibelanya itu.  Jika nasib kaum pekerja yang mahu diangkatnya, maka segala masalah dan penderitaan kaum pekerjalah yang ditelitinya diikuti dari dekat, dipantau, dihayati untuk diperjuangkan sepanjang masa.  Pendek kata sang pemilik proses semestinya individu yang sentiasa berada di tengah-tengah kemelut yang dihadapi oleh kumpulan bukannya sibuk dalam dan dengan pelbagai seminar dan bengkel.  Dan jika ada isu yang dihadapi oleh kelompok, maka si pemilik proseslah yang sentiasa di depan.  Contohnya sudah ada, kita sudah ada Mazlan Aliman. Tinggal pakai, ubah dan suai (adopt and adapt),  di mana perlu.  

Mungkin yang paling penting, pemilik proses itu bukanlah kroni atau sahabat akrab kepimpinan tertinggi organisasi.  Ertinya dia dilantik bukan kerana kepimpinan cukup senang, kenal dan akrab dengannya.  Ringkasnya dia semestinya manusia yang arif dengan proses dan menghayati masalah yang ada.  Bukankah begitu?  Wallahuaklam.  




No comments: