Tuesday, December 24, 2013

Alat dan tanggungjawab moralnya



Wujudkah tanggungjawab moral sebuah alat?


Di awal malam dia tidak dapat tidur.  Mata telah layu namun otak logat bertanya; kenapakah orang baik-baik seperti aku, seorang manusia yang setiap harinya sembahyang 17 rakaat tanpa ponteng, sudah sepuluh kali menyuci diri di Mekah, sepanjang minggu menadah kitab, begitu tega bernafsu sekali membelasah para anak-saudaranya-bapa saudaranya kawannya sehingga berdarah-darah?  Aneh. Di masjid dan di surau tamannya,  tidak pula pernah didengarnya para tukang syarah agama menyeru, “Belasahlah sekalian yang tunjuk perasaan menuntut keadilan untuk itu-dan- ini sehingga lebam-lebam, luka-luka dan berdarah-darah!”  Yang sering hinggap di telinganya ialah hebahan bertali arus ― biasanya hebahan bermusim ―  oleh media Gomen.  Hebahan berulang-ulang ala-“Berdosa menderhaka walaupun terhadap penguasa yang zalim!” atau “Syiah itu sesat!” atau “Allah itu milik kita saja!”  Di putik malam itu dia teringat tugasan penutup tahun.  Bahawa dia telah dikenalpasti sebagai salah seorang yang bertanggungjawab untuk menjaga keamanan negara membuatnya berfikir agak panjang sehingga mengganggu keenakan dan kelazatan tidurnya. 

Malam semakin ranum, pabila ingatannya kembali kepada siri pesan bersungguh-sungguh sehingga menegangkan batang-batang leher,  para Bosnya yang tegak lurus di depan barisan; “Haram melawan pemerintah!” dan segala macam pesan musiman lain yang bertaliarus oleh media Gomennya;  “Allah itu milik kita!”, “Syiah itu sesat!” atau “Kita adalah ahli sunnah wal jemaah tulen” sehinggakan hatinya menjadi ayem@tenang ― ayem seayem-ayemnya.  Ternyata berupayalah dia melelapkan mata, mengamankan segala gelora dan gundah gulana di hati ― setelah yakin seyakin-yakinnya bahawa di atas muka bumi ini mempertahankan keamanan negara itu ― lebih besar daripada segala-galanya.  Paginya dia terjaga hanya setelah dikejutkan oleh sang isteri.  Tatkala itu gema azan tepu di udara.  Di pagi renyai-rentai itu dipanjangkan sujudnya, dipanjangkan selama mungkin sujudnya itu demi untuk mempertahankan keamanan negaranya.  Baginya inilah hujah gred paling A yang pernah disyarahkan.  Tangan juga semakin gatal mahu menghayunkan belantan. 





No comments: