Monday, December 16, 2013

Kuasa dan kepatuhan



Kuasalah yang paling menentukan?


Siapa yang tidak tahu bahawa kuasa mencorakkan hidup dan kehidupan manusia? Dengan kuasa, Sang Penguasa dan nafsunya berupaya melakukan apa saja yang ia (‘ia’ ganti nama untuk benda yang mati, tak bernyawa) rasakan ingin lakukan.

Nafsu Sang Penguasa ini terlaksana kerana kuasa itu kerap dikaitkan dengan kepatuhan.  Mengikut kajian, manusia yang terletak di bawah kawalan kuasa kerap kalinya patuh kepada arahan Sang Penguasa walaupun kekadang terdapat arahan-arahan Sang Penguasa itu bertentangan dengan kata hati dan jerit nuraninya sendiri.

Carne Ross dalam “The Leaderless Revolution – How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century”  Simon & Schuster, 2011 menulis sebuah bab tentang perkara ini di bawah tajuk “The Man in the White Coat”.  Ross memetik kajian oleh ahli psikologi Stanley Milgram dalam tahun 60an yang menggunakan kejutan elektrik sehingga ke tahap 450 volt untuk membuktikan tesisnya tentang hubungan di antara kepatuhan (obedience), kuasa (authority), pertanggungjawaban (responsibility) dan ‘kemanusiaannya’ seorang manusia bawahan itu. 

Sesungguhnya kajian guru psikologi gunaan ini mendedahkan kepatuhan (obedience) orang-orang bawahan dalam mematuhi kehendak dan arahan Sang Penguasa (The Man in the White Coat) ― mengingatkan kita kepada perangai Sang Penguasa@politikawan negara kita dan orang-orang bawahan yang mereka kuasai selama ini. Apakah kajian Stanley Milgram ini hanya terpakai dan boleh dipakai dalam tahun-tahun 60an atau di zaman Nazi Jerman saja?  Apakah orang-orang bawahan kita seperti Ketua-Ketua Jabatan dalam perkhidmatan awam, para hakim, para mufti kita (sekadar memberikan satu dua contoh) bebas, merdeka dan profesional dalam mematuhi kehendak politikawan, iaitu Tuan mereka?

Atau mereka juga sentiasa saja patuh kerana setia dengan “Saya yang mengikut perintah” itu?  Atau bagaimana?  


   

No comments: