Monday, December 9, 2013

Kursus 14 sesi lahirkan 10 penulis teater





Dinsman (Hrkh 412, 9/12)
Kursus 14 sesi lahirkan 10 penulis teater


Peserta yang mengikuti kursus penulisan 14 sesi dalam tempoh 14 minggu ini ada 15 orang. Tetapi seperti telah saya nyatakan dalam satu tulisan sebulan yang lalu ( bukan dalam kolum WB), saya mensasarkan untuk melahirkan 10 orang penulis. Sesuai dengan kursus ini kursus penulisan skrip drama pentas, maka penulis yang diharapkan akan lahir itu pun ialah penulis skrip drama pentas/teater.

Tiga orang daripada mereka bukan dari Malaysia. Dua orang daripadanya dari Bali (Indonesia) dan seorang lagi dari Bangladesh. Entah mengapa, tiga orang ini awal-awal lagi telah menunjukkan bakat mereka, walaupun seperti semua peserta yang lain (dari Malaysia) mereka juga tidak mempunyai pengalaman menulis (yakni karya kreatif). Hanya seorang sahaja mempunyai pengalaman menulis cerpen, puisi dan esei.

Tiga orang itu telahpun menyiapkan skrip masing-masing menjelang minggu ke-10 lagi. (Peserta dari Bangladesh menulis dalam bahasa Inggeris, kerana dia tidak tahu berbahasa Melayu). Dan dari segi nilainya kedua-dua skrip peserta Bali itu mencapai standard yang diharapkan, yakni penulisnya boleh diterima sebagai penulis baru di bidang teater.  Dan itu terjadi tanpa mereka perlu melalui proses menulis semula untuk kali kedua setelah skrip mereka dinilai.

Seperti dijelaskan dalam tulisan terdahulu itu, saya mengambil pendekatan tidak mengajar dalam kursus ini, sebaliknya saya hanya membantu peserta untuk menulis dan memperbaiki hasil tulisan mereka yang perlu diperbaiki, agar tulisan mereka mencapai standard karya yang diiktiraf.

Mereka bebas menulis apa saja yang mereka ingin tulis, dan mereka bebas menulis bagaimana pun yang mereka mahu tulis. Asalkan mereka menulis, dan yang mereka tulis ialah skrip drama pentas.

Kebanyakan peserta diminta menulis semula dengan memperbaiki bahagian-bahagian tertentu setelah hasil tulisan mereka (yang separuh siap atau telah siap sepenuhnya) dibincang di dalam kelas. Namun dua peserta dari Bali itu tidak diperlukan untuk menulis semula, dan sebuah skrip dari peserta Malaysia yang diserahkan pada minggu ke-10, juga tidak diperlukan menulis semula; kecuali beberapa hal kecil yang dicadangkan bagi memantapkan lagi karya tersebut, termasuk judulnya “Suci Dalam Debu” yang dianggap kurang sesuai dengan isinya.

Sehingga minggu ke-11 saya belum pasti apakah harapan untuk melihat lahirnya 10 orang penulis teater baru, hasil kursus 14 sesi 14 minggu ini akan tercapai atau tidak. Selain empat yang disebut tadi, ada empat lagi yang sedang dalam proses menulis semula, yang saya percaya akan mencapai standard yang diharapkan itu.

Satu daripada empat yang dalam proses itu ialah dari penulis yang berpengalaman. Satu lagi dari peserta yang berpengalaman melibatkan diri dalam persembahan teater, satu lagi dari pelajar undang-undang yang langsung tak ada pengalaman dalam teater, manakala satu lagi ialah peserta yang cacat penglihatan, yang juga tidak ada pengalaman teater. 

Ertinya sudah ada lapan skrip, hasil tulisan lapan peserta, termasuk tiga dari luar negara itu. Bagaimana dengan peserta yang lain? Ada lagi dua skrip yang baru diserahkan dalam sesi ke-11, tetapi belum sempat saya baca. Jadi tak tahulah lagi apa kedudukan skrip-skrip itu. 

Dan ada beberapa orang lagi peserta yang masih belum menyerahkan hasil kerja mereka, walaupun kursus hanya tinggal tiga sesi sahaja lagi. Saya tidak menolak kemungkinan ada di antara mereka itu sedang menyiapkan skrip yang mutunya tidak perlu diperbaiki lagi, seperti yang pernah ditunjukkan oleh tiga peserta terdahulu itu.

Ini ialah satu percubaan sebenarnya. Membimbing peserta-peserta kursus penulisan untuk menulis secara praktikal tanpa mengajar mereka teknik-teknik menulis yang tertentu. Yang pentingnya mereka mesti menulis, dan rajin menulis.

Ada beberapa orang yang memang menunjukkan kerajinan menulis, dan bersikap terbuka untuk menerima teguran dan cadangan pembaikan. Memang pada awalnya terdapat banyak kelemahan dan kesalahan. Maklumlah, orang yang tak berpengalaman dan tak pernah belajar mengenai penulisan. Apa yang nak diharapkan?

Tetapi sikap ingin belajar dan bersedia menerima teguran dan rajin menulis dan menulis lagi itu – alhamdulillah, saya telah melihat perubahan dan perkembangan yang begitu ketara berlaku di depan mata.

Tempoh tiga minggu lagi yang masih ada itu saya yakin – 10 orang penulis teater atau lebih daripada 10 orang akan lahir. Dan saya pun mulai memikirkan langkah yang selanjutnya. Setelah 10 orang atau lebih itu lahir sebagai penulis, dengan skrip masing-masing yang boleh dipentaskan pada bila-bila masa sahaja – apakah seterusnya mereka itu pasti akan terus menulis dan menghasilkan karya-karya yang boleh memajukan seni-budaya kita?

Seperti pernah saya timbulkan persoalan sebelum ini – untuk apakah kita melahirkan 10 orang penulis teater yang baru kalau suasana dan pengurusan (pentadbiran) seni-budaya kita masih dalam keadaan seperti hari ini? Skrip-skrip yang sudah ada pun masih banyak lagi yang belum dapat dipentaskan, bagaimanakah kita mengharapkan skrip-skrip baru akan dapat dipentaskan?

Inilah persoalan sebenarnya. Bagaimanakah kita mengaktifkan pementasan teater di negara kita? Persoalan ini telah dibincangkan selama tiga hari oleh kira-kira 100 orang aktivis teater dalam satu Pertemuan Teater yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), pada 11-14 Ogos 2006 (anjuran bersama UUM, Istana Budaya dan Teater Elit).

Tujuh tahun telah berlalu. Nampaknya tidak ada apa-apa perkembangan pun pada teater Malaysia sejak Pertemuan Teater tersebut. Dan sekarang kita akan menyambut kelahiran 10 orang penulis skrip teater yang baru. Apakah selepas ini akan ada kemajuan pada teater Malaysia?

Marilah kita berfikiran positif! Okey?


(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)

No comments: