Tuesday, December 10, 2013

Penyair yang merayau-rayau

 
 
Penyair dan ayat as-Syu’araa’ 221-227


Sedang meneliti kumpulan esei Dinsman dalam kolum Wacana Budaya (Harakah versi cetak). Katanya "Kassim buatlah kata pengantarnya". Aduh, penulis nyamuk membicarakannya? Apa pun kita usahakan setakat yang mampu. Lalu bertemulah dengan esei tentang penyair yang merayau-rayau dari lembah ke lembah itu. Nah, ini draf teks tentang penyair:

Oleh masyarakat umum, penyair dan dunia kepenyairan itu rata-rata bukanlah sesuatu ‘kerja buat’ yang sentiasa ditanggapi dengan positif. Paling tidak, konotasi yang terpalit ke batang tubuhnya sang penyair itu tidaklah begitu cerah. Bagi Dinsman, ayat ini cuba dicerahkan dalam eseinya berjudul, “Mentafsir ayat as-Syu’araa’ 221-227 biar betul” dengan keterangan seperti berikut:

"Yang ingin saya bincang di sini ialah ayat yang terang nyata dimaksudkan kepada penyair dan para seniman, ayat 26:224-227, iaitu “Dan para penyair itu diikuti oleh golongan yang sesat. Tidakkah engkau melihat mereka merayau-rayau pada setiap lembah? Dan bahawa mereka itu mengatakan apa yang tidak mereka lakukan. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya…”

Berdasarkan ayat ini ramai orang mempunyai tanggapan yang negatif kepada golongan penyair dan seniman. (Bukan penghantar SMS itu sahaja). Sebabnya kerana al-Quran ada mengatakan penyair itu suka merayau-rayau di setiap lembah, dan suka berkata apa yang mereka tidak buat.

Memang betul, ada penyair yang demikian. Tetapi kita jangan lupa kepada akhiran ayat itu – “kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh…”. (Dan jangan juga kita lupa kepada nama-nama Hasan bin Thabit, Abdullah bin Rawahah dan Ka’ab bin Malik, penyair di zaman Rasulullah saw.)".

Tunggulah kehadiran kumpulan esei ini tidak lama lagi, insyallah.
 
 
 

No comments: