Monday, December 30, 2013

TURUN bersama 31 Disember 2013






31 Disember 2103, aku bakal bersamamu


Pada mulanya dan mengikut kebiasaannya, hanya Sang Ketua Nombor Satu saja yang mengeluarkan kenyataan.  Kenyataan-kenyataan yang mencemaskan, menggerunkan dan menakutkan siapa saja yang mendengarnya atau pun membacanya.  Kenyataan-kenyataan tentang pihak tertentu, puak pembangkang yang akan turun merusuh, membuat onar, merosakkan ketenteraman awam.  Kenyataan tentang perbuatan pihak pembangkang yang sudahpun bosan hidup aman dan bernafsu sekali membuat kacau bilau.  Ringkasnya, kenyataan tentang para penjahat dan rancangan mereka untuk membuat anarki.

Sekarang anak buah Sang Ketua Nombor Satu juga turut mengeluarkan kenyataan.  Kenyataan tentang bom dan rancangan pihak-pihak tertentu membuat, membawa dan meletupkan bom pada hari-hari tertentu.  Mak Minah yang biasanya menjual roti jala dan bermacam kuih muih tradisional seperti lepat pisang, lepat ubi, karipap, onde-onde, ketayap dan yang BIASANYA menggoreng roti menjadi panik mahu menyebut roti BOM.  Mak Minah bimbang kalau-kalau rotinya juga dikira boleh membom.

Di atas adalah contoh terbaik tentang pembahagian tugas dalam sesebuah organisasi yang sudahpun cukup moden.  Ia jelas menunjukkan bagaimana amalan-amalan dalam perancangan pertanggungjawaban, agihan kepuasan bekerja dan pengagihan glamour di kalangan staf itu dilaksanakan.  Mengikut falsafah kepimpinan yang sudah serba moden ini, adalah sesuatu yang tidak profesional sekiranya nikmat glamour itu HANYA dikemut nikmatnya dan dinikmati kemutannya semata-mata oleh Sang Ketua Nombor Satu seorang saja. Makanya untuk lebih adil dan saksama dalam pembahagian glamour ini, anak-anak buahnya juga perlu muncul di depan khalayak dengan pendedahan yang tidak kurang glamour dan debarannya ― ada BOM untuk acara yang akan datang!  Ada di kalangan khalayak yang tekun mengikuti siri pendedahan kejahatan puak pembangkang tertanya-tanya;  apakah mungkin BOM itu nanti akan diseludup masuk di sebalik topi dan...turban? Sesungguhnya taklimat tentang bom ini begitu menerujakan sekali sehinggakan Mak Minah yang turut menonton taklimat tentang rancangan BOM ini, mendapat satu idea baru di luar kotak ― Mak Minah sedang berfikir-fikir mahu menyimpan roti BOMnya di dalam kainnya.   


2.0 Pada mulanya ia bermula sebagai satu cabang profesion yang dikagumi, dihormati dan sentiasa dipandang tinggi oleh pelbagai lapisan masyarakat.  Malah pada satu tahap kewujudannya, ia pernah ditafsirkan sebagai satu profesion suci ― pekerjaan yang bakal mendapat ganjaran besar setelah mati kelak.  Begitulah sanjungan masyarakat terhadap sebuah profesion dan para profesional yang patuh dan setia mendukungnya.  Namun hari demi hari,  masyarakat juga melihat bagaimana profesion ini, sama seperti kebanyakan profesion-profesion yang lain, telah berubah (istilah galak yang lagi galak digunakan sekarang ini ialah ‘transformasi’.  Sebenarnya kita lebih selesa jika istilah ‘transformasi’ ini digantikan saja dengan ‘merupa’ seperti dalam konteks ‘merupa’ untuk menjadi ‘hantu’).  Benar, demi dunia yang moden ini, ia pun merupa dan berubah bentuknya supaya menjadi moden.  Agaknya salah satu tunggak kemodenan itu ialah ketaatannya yang mutlak, ketaatan yang TIDAK pernah mengenal  batas dan sempadan.  Begitulah agaknya.  Apakah secara separa sedar badan profesional ini rela untuk terus-terusan memperbodohkan dirinya sehingga menjadi bahan tertawa, lelucon sekaligus menjadi sasaran kemarahan khalayak? 
 
Rata-rata sudah sekian banyak profesion yang secara sukarela atau paksarela telah menggadaikan tugas, peranan dan tanggungjawabnya (istilah yang kerap digunakan ialah profesionalisme).  Sesungguhnya, gadaian yang pada kebiasaanya disangui@diupah dengan pangkat, gelar dan habuan ― sehingga selepas pencen itu, biasanya untuk para pemimpin besar organisasi, telah mencederakan masa kini dan masa depan negara kita dengan teruk.  Bayangkanlah seluruh profesional kita merupa menjadi alat Sang Penguasa sepenuhnya?  Dan untuk menyatakan TIDAK terhadap gejala-gejala seperti ini, makanya sama seperti siri seruan BERSIH dulu, kita juga menyahut seruan TURUN! itu.

31 Disember 2103, aku bakal bersamamu di Pusat Kota. Insyallah.



No comments: