Tuesday, January 21, 2014

Di Sebalik Nama Sebuah Khas





Kitol, Hang Nadim, Allah, Kangkung dan kangkungisme
(Kisah Raja Lawak dan falsafah kangkungismenya)



Kitol, Nadim, Allah dan Kangkung itu nama khas yang membawa makna-makna tertentu kepada setiap manusia Malaysia.  Mungkin ada manusia Malaysia yang memahami ke-empat-empat watak ini dengan begitu jelas, sejelas-jelasnya,  luar dan dalam.  Mungkin ada yang memahami setiap satunya sebagai watak yang memiliki ciri-ciri tertentu.  Dengan kefahaman ciri-ciri tertentu itu, maka seseorang itu mendapat gambaran tentang nama-nama khas di atas.  Kefahaman ini membuat seseorang manusia Malaysia itu mendapat gambaran tentang siapa, apa, mengapa, kenapa atau di manakah nama-nama ini pernah ditemui dalam kehidupannya.  Tahap kefahaman seseorang manusia Malaysia tentang Kitol, Hang Nadim, Allah dan Kangkung bergantung (tergantung?) kepada pelbagai faktor dan latar belakang seseorang manusia Malaysia itu.  Dia ‘faham’ kerana dia telah membaca, mendengar, melihat, berbincang  atau pun kerana dia pernah disurahkan tentang nama-nama ini.  Tak kurang pentingnya seseorang manusia Malaysia itu faham watak-watak ini kerana dia pernah berfikir, menyoal, bersekolah dan telah disekolahkan tentang nama-nama khas ini.  Dia memiliki kefahaman itu setelah misalnya membaca Tarikh Ramadan, Yusuf Qardhawi atau pun setelah membaca, menghadam dan bersetuju penuh dengan kenyataan seorang manusia Malaysia bernama Mufta.    


Apakah yang kita tahu tentang nama-nama khas ini?  Atau paling tidak, apakah yang ‘umum’ yang kita ketahui tentang Kitol, Nadim, Allah dan Kangkung?  Mari kita ambil satu contoh, Kitol.  Sejak zaman Melayu Melaka lagi, para Kitol ini sudahpun wujud, menjalar, merayap-rayap dan berkeliaran ibarat kangkung.   Kitol itu mamak yang menyerap, menyamar, menjalar dan muncul sebagai seorang Melayu jati umumnya kerana dorongan dan bertujuan memiliki pengaruh, kuasa, pangkat dan kekayaan dunia.  Kaedah dan taktik Kitol ini berjaya kerana orang-orang Melayu, secara total sebagai satu kelompok, menerima Kitol kerana Kitol telah berjaya meMelayukan dirinya secara total.  Orang-orang Melayu sukakan Kitol kerana Kitol telah menjadi Melayu sepenuhnya, malah Melayu melebihi 100%.  Oleh kerana kepercayaan total ini, akhirnya orang-orang Melayu mengangkat Kitol-Kitol ini sebagai ketua-ketua kabilah mereka.  Apa lagi yang kita ketahui tentang Kitol?  Kitol itu licik orangnya, seorang cerdik yang hebat dalam menyalahgunakan kecerdikan demi untuk mencapai niatnya hidup di dunia ini. 


Sebenarnya kita boleh saja mentafsirkan Kitol itu dari pelbagai sudut tafsiran, bergantung kepada pengalaman, pemerhatian dan pemikiran kita masing-masing tetang manusia Melayu dan kefahaman mereka tentang Kitolisme ini. Sebenarnya di antara empat nama di atas, seorang kawanku lebih teruja dengan Kangkung.  Mengikut cerita kawanku ini, Kangkung ini cerita rakyat, cerita dari mulut ke mulut oleh datuk nenek dan moyangnya sejak dahulu kala lagi, cerita tentang watak Kangkung yang merakyat.  Inilah ciri yang paling penting dan jelas tentang Kangkung.  Bukti jelas bahawa semangat merakyat itu sentiasa wujud di sekeliling kita.  Mengikut kawanku ini, ‘bukti’ betapa merakyatnya Kangkung itu dapat dilihat dalam nama-nama khas seperti Cempaka, Kenanga, Bawang Merah atau Bawang Putih yang kita temui dalam kalangan orang-orang Melayu.  Katanya lagi, begitulah world view orang-orang Melayu sejak zaman dahulu kala bahawa yang merakyat itu diakrabkan lagi oleh orang-orang Melayu sebagai sebahagian dari hidup dan kehidupan mereka sehinggakan zuriat mereka pun dinamai sedemikian rupa. Inilah ‘bukti’ nyata bahawa orang-orang Melayu amat kasihi watak-watak yang dikasihi dan dekat dengan rakyat.  Anak-anak orang-orang Melayu diberikan nama berdasarkan apa yang dilihat akrab dan menjalar di sekitar mereka.  Begitu asal usul adanya Kangkung itu.  Kawanku ini menambah: Kangkung lahir dari keluarga yang merakyat dan sangat akrab dengan rakyat.  Oleh kerana terlalu kasihkan watak-watak merakyat Kangkung ini, maka kita pun temui watak-watak Melayu tulen;  watak-watak Melayu tulen yang bangun untuk bertempik sorak bahawa Kangkung itu jangan sampai dihina.  Jangan mahu menempah nahas!  Jangan sampai dihina Kangkung sekiranya ‘Malaysia yang bukan Melayu’ tidak mahu peristiwa 13 Mei itu diulangi sekali lagi!  Begitulah luar biasanya otak dan watak Kangkung. 


Atas sebab musabab yang beginilah, maka aku tidak lupa akan kisah Kangkung dan kangkungime yang dibawa oleh kawanku itu, termasuk kangkungisme dalam hal-ehwal beragama.  Namun satu soalan masih berlegar-legar dalam kepala:  Apakah seluruh hidup dan kehidupan Malaysia sudahpun mencapai tahap Sang Raja Lawak dan falsafah kangkungismenya?





No comments: