Thursday, February 13, 2014

“ Yes sir, you want to test my knowledge for the job or do you want to see if my English is impressive enough?”



Mengembalikan kewarasan  dalam berfikir


Katanya salah satu kaedah untuk mengawal keadaan ialah dengan menubuhkan institusi.  Kata yang empunya hujah lagi,  kawalan diperlukan kerana pelbagai sebab;  salah satu daripadanya ialah untuk menjaga ketenteraman awam.  Ambil contoh Kritianisasi yang khabarnya sangat mengancam orang-orang Melayu itu.  Katanya orang-orang Melayu menjadi keliru, tidak tenteram, takut dan bimbang kerana anak-anak mereka bakal diKristiankan.  Ini bukan masalah baru.  Pada zaman dahulu kala, terdapat ramai orang Melayu di kampung yang tidak mahu menghantar anak-anak dan cucu-cucu mereka ke sekolah-sekolah mubaligh (missionary schools) kerana bimbang diKristiankan. 

Sejak zaman dahulu kala lagi (masalah) kebimbangan diKristiankan ini tidak pernah berhenti dan masalah ini sentiasa saja dicerahkan kepada masyarakat.  Semasa memuncaknya isu perebutan nama Allah, ada yang berkata memang terdapat bukti bahawa Injil solar diedarkan, air azimat disuguh kepada yang tidak berwaspada dan seorang mufti pula mendedahkan ribuan telahpun dimurtadkan. Untuk mengukuhkan lagi hujah, ayat-ayat Quran dibaca, dikupas dan didedahkan supaya seluruh masyarakat menjadi peka akan bahaya besar diKristiankan.  Pendek kata,  bahaya diKristiankan itu nyata dan oleh kerana itu, jangan ada sesiapa yang mahu menidakkannya.

Pentas pun didirikan.  Para pelakonnya telah lama disiapkan, hanya menunggu saat dibawa keluar supaya pertunjukan dapat berlangsung dengan secepat mungkin.  Semua episod yang seolah-olah membayangkan ‘usaha-usaha murni’ untuk memelihara kesucian akidah orang-orang Islam ini telahpun kita tontoni.  Kita telah saksikan ‘pertempuran terbuka’ yang sengit dan meluas oleh segelintir orang-orang Melayu yang katanya pejuang Islam.   Akhirnya,  kita telah saksikan muncullah cadangan supaya diwujudkan sebuah institusi khas, katanya polis akidah.


2.0


Rata-rata ibu bapa di negara kita cukup bimbang kerana anak-anak mereka tidak terampil dalam berbicara.  Mereka sangat bimbang apabila sampai saatnya nanti, anak-anak mereka gagal mempamerkan apatah lagi meyakinkan para panel penemuduga bahawa anak-anak mereka itu boleh berbicara, menyampaikan pandangan, berhujah dan mempertahankan hujah.  Sudut yang sering menjadi tumpuan sorotan ialah bahasa Inggeris anak-anak mereka diragui.

Katakanlah seorang anak orang Asal memilih untuk berbicara dalam bahasa Senoi kerana dia selesa berbicara dengan lidahnya sendiri.  Semasa ditemuduga maka panel pun bertanyalah, antara lain  tentang alam pengurusan silang budaya, perancangan strategik atau pun teori dekonstruksinya Derrida dll dan semuanya dijawab dengan penuh yakin dan lancar oleh si Anak orang Asal ini. 

Sebelum melangkah keluar, terdengar oleh si Jiban anak Jantan bisikan seorang panel penemuduga, “He doesn’t even utter a word of English!”

Sebelum memutarkan tombol pintu sebelum keluar,   sambil berdiri tegak penuh hormat, Jiban memutarkan badannya 180º seraya berkata, “ Yes sir, you want to test my knowledge for the job or do you want to see if my English is impressive enough?”


3.0

Dua episod di atas adalah gambaran, mungkin benar mungkin juga khayalan, untuk renungan bersama. 

Gambaran bagaimana kita, rakyat Malaysia itu melihat dan mengunyah sesuatu isu@masalah.  Apakah kita tidak boleh berubah?




No comments: