Sunday, April 6, 2014

Cengkerang Mudah Lupa




Ini bukan Cengkerang Mudah Lupa.




Cengkerang, mens rea dan Kutty


Cengkerang ialah kulit keras yang melindungi hidupan air ― misalnya kura-kura dan labi-labi (amfibia),  udang, ketam, kerang, belangkas, siput dan juga siput babi (crustacean). Ertinya kita boleh melihat bagaimana cengkerang itu semacam ‘perisai besi’ yang diciptakan khas oleh Yang Mencipta untuk melindungi batang tubuh segala hidupan (yang umumnya jauh lebih lembik) daripada ancaman luar@musuh. Maknanya, untuk menjaga keselamatan dan kelangsungan kehidupannya, makhluk-makhuk tidak terdaya seperti kura-kura, belangkas dan siput babi ini, maka diciptaNyalah cengkerang.  Untuk manusia-manusia lembik, apakah cengkerang itu tengkorak, alat dan mekanisme untuk melindungi kepala (h)otaknya?


Bagi orang-orang biasa yang tidak begitu arif dengan undang-undang seperti penulis ini, sesekali kita membaca atau mendengar kes-kes jenayah diperkatakan dan ketika itu kita pun temui istilah-istilah seperti motif dan pembelaan (defence).  Misalnya,  dalam kes Altantuya tersohor itu, katanya motif pembunuhannya tidak ditemui?  Di sini ada semacam tragedi mati dibunuh tanpa diketahui sebab musababnya;  kenapa wanita secomel itu yang dijanjikan komisen membeli kapal selam dibunuh.  Kita tidak tahu bagaimanakah para pelajar undang-undang kita ‘membaca dan berhujah’ perihal kes bunuh tanpa motif dalam kes-kes bunuh seperti ini. 


Di samping itu, dalam memperkatakan kes-kes jenayah,  sesekali ada yang mengungkapkan istilah seperti mens rea.  Untuk mengetahui makna Latinnya, maka kita pun bukalah ‘kitab’ yang sesuai, misalnya A Concise Dictionary of Law, Oxford University Press versi silam, tahun 1983 halaman 228, mens rea itu:

[Latin: a guilty mind] The state of the mind that the prosecution must prove a defendant to have had at the time of committing a crime in order to secure a conviction.  Mens Rea varies from crime to crime; it is either defined in the statue creating the crime or established by precedent....”  


2.0  Keadaan kepala (h)otak semasa jenayah dilakukan

Oleh kerana bukti menunjukkan keadaan kepala (h)otak the state of the mind, itu penting sebelum seseorang itu didapati bersalah, makanya menjadi tidak ingat itu adalah salah satu kaedah untuk membela diri?  Ya, sesiapa saja yang berkatakan bahawa dia lupa kerana tidak ingat, maka dia sesungguhnya sukar dibuktikan bersalah? Begitu?

Orang undang-undang mungkin berfikir ― inilah jadinya pabila orang yang loyar buruk mahu bercakap tentang undang-undang ― dia tak ubah seperti tikus melihat besi, semua hujah bukan saja tidak tepat malah songsang.  Apa pun, keadaan ini tidak boleh menghalang orang biasa, a man-in-the-street, seperti penulis untuk berfikir: Jika seseorang itu selalu berhujah bahawa dianya lupa kerana tidak ingat, maka samalah dianya seperti kura-kura atau siput babi yang sentiasa menggunakan cengkerang itu mempertahankan dirinya.  Ertinya cengkerang-mudah-lupa itu adalah perisai besi yang sangat ampuh dan berkesan?  Betulkah andaian yang begitu?  Jika betul begitu, lalu siapakah Bapa Siput Babi Terbesar negara ini?






No comments: