Friday, April 4, 2014

Impian, jangan sampai memakan diri






Cita-cita dan impian boleh saja memakan diri


Setiap manusia normal memiliki semacam cita-cita peribadi yang mahu dipenuhinya, jika mungkin,  sebelum dia memejam (dipejamkan?) matanya buat selama-lamanya. Apakah ini sebuah pernyataan (statement) yang adil?  Rasanya memang begitulah sikap manusia yang normal dengan telatahnya; yang berbeza hanyalah besar kecilnya cita-cita peribadi yang mahu dipenuhinya sebelum dia pejam mata.  Apakah salah jika setiap manusia yang normal itu memiliki cita-cita peribadi yang mahu diisinya sebelum dia mati?


Sebagai manusia yang kecil dalam kehidupan yang serba luas ini, dia selalu terbayangkan sebuah rumah kecil buat melindungi anak-anak dan isteri; rumah untuk mereka anak beranak berteduh dan melelapkan mata. Itulah mimpi kehidupannya yang sukar dibuang jauh-jauh walaupun setiap malam,  rumah yang didiami sekarang sudah memadainya buatnya.  Jika ‘mata’ dan ‘kepala’nya dijadikannya ukuran cita-citanya,  rumah yang ada sekarang sudahpun memadai. Kepalanya pantang mencecah bantal, mata pasti lelap dan dengkur juga datang bertandang, setiap kali dia memilih untuk tidur. Jadi,  tidur nyenyak itu bukan masalah yang besar buatnya kerana sejak zaman kanak-kanak lagi, dia tak punya sebarang masalah ‘memejamkan’ matanya.  Sebaik saja kepalanya mencecah bantal; waima berbantal lengan, dia pasti dapat menikmati nikmat tidur nyenyak.           


Namun sejak mesin-mesin itu memasuki penempatan mereka di sepanjang sungai dan telah mula pula bertingkah di sepanjang sungai itu kerana katanya “untuk menebat banjir”,  dia sukar tidur nyenyak kerana bimbang kalau-kalau esok atau pun lusa dia dan keluarga, tidak ada lagi rumah untuk berteduh. Sebagai manusia yang kecil dalam kehidupan yang serba buas, dia selalu terbayangkan tentang sebuah rumah kecil buat anak-anak dan isteri; rumah untuk mereka anak beranak berteduh dan melelapkan mata. Sekarang ini, la la ni, rumah itu bakal lenyap kerana katanya itulah cara yang paling bagus untuk menebat banjir yang sering melanda kawasan-kawasan rumah banglo di hilir sungai.  Sekarang ini, dalam kepalanya ialah sebuah soalan rusuh, “Di mana aku bersama anak-anak dan isteriku akan pergi?  Sungai yang manakah yang boleh kutumpangi dan dirikan sebuah rumah?”


2.0  Sepanjang ingatannya, dia bermula dengan menghantar (kepada akhbar-akhbar kegemarannya) pelbagai laporan dan peristiwa semasa di kampung-kampung, tentunya termasuk kampungnya sendiri. Itulah permulaannya. Kata orang, stringer.  Ya, sebagai stringer dia bermula dengan menghantar berita tentang hal-hal yang sederhana tapi menyenangkan; tentang kerajaan yang telah memulakan projek itu dan projek ini demi rakyat dan untuk rakyat; tentang persatuan belia yang giat beraktiviti, tentang orang-orang politik tertentu yang ternyata peduli dan sangat tinggi tahap kepeduliannya. Dan pabila sebuah ‘parti musuh’ mula kelihatan begitu agresif ‘menghasut’ orang-orang kampung supaya ‘memilih Islam’ dan pemerintahan Islam, maka sejak itu tajuk yang menjadi sasarannya setiap kali menulis ialah parti Islam yang songsang. Itu cerita dulu-dulu, cerita tentang permulaannya dalam tahun-tahun 60an tatkala kartun Wak Tempeh masih lagi menjadi bahan renungan yang popular dalam akhbar tulisan Jawi.    

Namun sekarang ini, sejak dunia media berubah, sejak lahir media baru dengan ribuan penulis upahan dan juga para penulis mandiri, dia masih lagi menulis.  Dia menulis dalam media baru dan juga media konvensional tentang politik; tentang tokoh-tokoh politik yang begitu beria-ia mahu merubah dunia politik negaranya supaya menjadi lebih liberal dan menolak politik siapakah tuan di negara ini.  Baginya yang liberal itu masih boleh diterima,  tapi betapa amat menyedihkan ialah  pabila tokoh politik Melayu sendiri menolak ketuanan bangsanya sendiri.  Itu yang begitu sukar dimaafkannya kerana baginya itu sajalah yang masih ada di tangan bangsanya.  Yang lain-lainnya, apatah lagi ekonomi,  sudahpun hancur berderai dan hilang dari tangan Melayu.       


3.0 Yang setinggan, yang korporat dan seniman budayawan dengan cita-cita dan impiannya


Seorang setinggan tidak dapat tidur lena kerana terlalu runsing memikirkan rumahnya yang bakal dirobohkan untuk memberikan laluan kepada projek “menebat banjir” agar kawasan banglo di hilir tidak lagi dilanda banjir.   

Seorang pengarang veteran tersangatlah resah kerana tuan-tuan besarnya begitu resah melihat politikawan Melayu yang jelas tersangat liberal (dan telah dengan sewenang-wenangnya mencampakkan nasib dan masa depan bangsanya sendiri kerana sikap dan pendirian liberalnya itu) sudahpun berakar pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia, sekarang ini semakin agresif menyerang tuan-tuannya.  Tuan-tuan besarnya dengan harta terkumpul yang bertimbun-timbun itu,  begitu resah memikirkan apa yang bakal terjadi dengan harta-harta tersebut jika yang ketuanan sudah tidak ada lagi?

Seorang seniman budayawan menolak politik yang berlebihan kerana masyarakat kita sudah terlalu banyak berpolitik. Pilihan terbaik di antara pelbagai pilihan yang ada ialah membuat apa yang boleh dibuat dengan sedaya dan terdaya dibuat.  Baginya itulah pilihan yang terbaik.    

Seorang setinggan melarat, seorang pengarang veteran yang kaya raya dan seorang seniman budayawan sentiasa sibuk mengejar cita-cita dan impian.  Jalan yang manakah, yang terbaik untuk mereka pilihi, dalam mengharungi hidup dan kehidupan yang maha buas ini?

  


No comments: