Tiadanya Kebebasan Akademik dan Bobroknya Dunia Akademik
di Malaysia
July 16, 2014 at 12:34am
oleh Shaharir b.M.Z. (Dr.), Ketua GATERA
Sumber: http://gatera.my/tiadanya-kebebasan-akademik/
Sumber: http://gatera.my/tiadanya-kebebasan-akademik/
Ringkasnya, kebebasan akademik ialah kebebasan penyelidikan,
pengajaran-pendidikan dan penyuaraan (lisan atau tulisan) bisikan qalbu
kecendekiawanan. Kebebasan ini terhakis sejak 1970-an dahulu sehingga kini
tinggallah kerak-keraknya yang tipis sahaja. Bagaimana ini boleh berlaku?
Kakitangan akademik universiti awam di Malaysia sejak tahun 1974, menerusi
penyemakan skema perkhidmatan baharu universiti di bawah Laporan Harun,
diiktiraf sebagai kakitangan perkhidmatan awam kategori badan berkanun. Sejak
itu jugalah kakitangan akademik terpaksa menerima skema perkhidmatan yang
serupa dengan yang dinikmati oleh kakitangan awam, walaupun banyaklah
penyetaraan ahli akademik dengan pegawai perkhidmatan awam itu yang tidak
sesuai. Satu daripada yang paling tidak sesuainya ialah dipaksanya pemakaian “Perintah
Am” kepada ahli akademik sedangkan peraturan yang terkandung di dalamnya
ialah segala macam peraturan yang dianggap sesuai dan patut “tidak bolehnya”
bagi seseorang “penjawat awam” itu bertentangan dengan tabii dan tatakerja
seseorang ahli akademik. Ahli akademik adalah seorang penyelidik (pengkritik,
penginovasi atau pembina ilmu), pengajar (penyampai ilmu secara bebasnya) dan
cendekiawan masyarakat (pengkritik membina dan jurucakap masyarakat). Oleh itu
kepatuhan kepada “Perintah Am” itulah bermulanya terpangkas dan tercantas
dengan parahnya cara hidup seseorang ahli akadamik atau sarjana, iaitu bebas
berfikir dan bebas bersuara secara lisan dan tulisan di khalayak mana jua yang
difikirkannya layak hatta kepada ketuanya atau pihak berkuasa termasuklah
kerajaan. Mereka perlu hidup seperti pekerja kerajaan yang sentiasa patuh pada
ketuanya dan lebih-lebih lagilah pada kerajaan. Mereka perlu berhati-hati
mengajar dan menggunakan ilmunya agar tidak dapat ditafsirkan sebagai
mengandungi anasir yang bertentangan dengan “Perintah Am” itu.
Tidak cukup dengan “Perintah Am” itu, pada 1978 kerajaan mewujudkan lagi
sebuah peraturan yang mengemaskan lagi apa-apa yang longgar, menutup apa-apa
liang atau mewujudkan apa-apa yang tiada dalam “Perintah Am” itu menerusi satu
lagi “perintah” yang dinamanya “Tatatertib Guru” . “Perintah” baharu ini
memang ditujukan khas kepada para kakitangan akademik universiti (awam).
Istilahnya pun sudah merosakkan tabii kakitangan akademik kerana kakitangan
akademik bukannya seorang guru dalam pengertian patuh kepada guru besar atau
pengetuanya dan mengajar benda yang sudah termapan kukuh (ilmu asas), menghabiskan
sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh pihak lain, walaupun pendekatannya masih
patut juga secara kritis, inovasi dan kreatif yang sepatutnya dilakukan di
universiti. Apa pun di dalam “Tatatertib Guru” inilah ditegaskan tidak bebasnya
seseorang kakitangan akademik bersuara (lisan atau tulisan) dan bahkan tidak
bebasnya ahli-ahli akademik berkumpul sehingga boleh ditafsirkan menggugat
pihak berkuasa universiti, apatah lagi kerajaan. Semua kegiataan sebegini
perlulah mendapat izin daripada Naib Canselor. Kebebasan akademik benar-benar
terbongkas! Sejak itu ahli akademik tidak lagi patut menyuburkan dirinya
sebagai seorang cendekiawan masyarakat. Satu daripada sektor kebebasan
akademik, iaitu bebas bersuara (lisan dan tulisan) perlahan-lahan menuju ke
arah kebungkaman. Akibatnya, kini amatlah sukar mendapati seorang ahli akademik
yang mahu mengambil tahu tentang masyarakatnya, alam sekitarnya, atau tentang
sesuatu dasar dari pihak berkuasa di peringkat mana sahaja bagi merelevankan
ilmunya kepada masyarakatnya dan pihak berkuasa itu secara kritis dan
kreatifnya. Bahkan mereka, walaupun dari dalam bidang ilmu kemasyarakatan,
kemanusiaan atau keagamaan, enggan mengaitkan atau mengheretkan ilmunya dengan
apa-apa yang berlaku di sekelilingnya, seperti yang sepatutnya, kerana dihantui
oleh “Perintah Am” dan “Tatatertib Guru” itu. Mereka benar-benar mahu berada di
dalam dunianya sahaja, mengelakkan dirinya daripada masyarakatnya supaya jauh
daripada terkena bahana “Perintah Am” atau “Tatatertib Guru” itu. Mereka hanya
senyap-senyap berstrategi (mungkin juga berkumpulan tolong-menolong dan
tenggek-menenggek) mendaki menara gading yang disediakan oleh pihak berkuasanya
sahaja. Mereka hanya menumpukan kepada penyelidikan yang diswatapis (self
censored) menggali telaga ilmunya sedalam dan sesempit mungkin kerana
itulah yang disukai oleh ketuanya dengan pemberian pelbagai penyanjungan
kebendaan dan bukan kebendaan.
Kemudian sejak sekitar belasan tahun kebelakangan ini pula, mereka
lebih-lebih lagilah menumpukan kepada kegiatan menggali telaga itu “secara yang
paling selamat” lagi dalam penyelusurannya ke menara gading itu akibat “Aku
Janji” yang dipaksa menyetujuinya itu. “Aku Janji” ini seanalog sekali
dengan istiadat para pegawai kerajaan Funan (Malayu kuno) abad ke-5 M dahulu
yang dipaksa mengadap Barahmana dan Acharya di hadapan api untuk
bersumpah setia sehingga, jika mereka ingkar kelak, sangguplah mengorbankan
jiwa-raganya dan rela dilahirkan semula dalam tiga puluh dua naraka selagi ada
Matahari dan Bulan. Itulah semangat yang dikehendaki oleh “Aku Janji” itu pun.
“Perintah Am”, “Tatatertib Guru” dan “Aku Janji” menjadikan ahli
akademik tidak lagi berfungsi atau berupaya untuk menghidupkan konsep kebebasan
akademik itu, malah sebahagian besarnya menjadikan konsep itu tidak relevan
lagi dengan dunia akademiknya. Kebebasan akademik ditimpa sakit teruk, dan
tiadalah pula tempat untuk mengubati atau diubatinya; malah dibiarkan begitu
sahaja menuju nazak!
Sementara itu ada pula sistem kepemerintahan atau tataperintah universiti
yang menjadikan konsep kebebasan akademik itu memang tidak relevan lagi.
Bagaimana kebebasan itu relevan jika semua kaedah perlantikan ketua-ketua
pentadbir akademik dari ketua jabatan hingga kepada Naib Canselor tidak
dilakukan secara beranasirkan demokrasi? Semuanya ditentukan oleh seorang-dua
sahaja! Ketua jabatan dan dekan oleh Naib Canselor, manakala TNC oleh Menteri
Pendidikan dan NC oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri; dan
Lembaga Pengarah Universiti oleh Menteri Pendidikan atau Yang Di-Pertuan Agong
(untuk Pengerusinya). Jika pun, pada akhir-akhirnya ini, ada dipaparkan unsur
pendemokrasian itu tetapi ternyata itu hanya permainan wayang sahaja. “Perakuan
ramai” atau “perakuan jawatankuasa pemilih” tidak semestinya diikuti oleh pihak
berkuasa.
Selanjutnya, Senat yang secara rasminya dianggap kemuncak kuasa ahli
akademik dalam menentukan apa jua hal akademik sudah lama (sejak tahun 1974
itu) tidak berkuku sedemikian. Sering kali persetujauan senat dalam penawaran
kursus umpamanya tidak diluluskan oleh pihak berkuasa yang lebih berkuku
daripadanya (Kementerian Pendidikan). Sudahlah demikian, sering kali pula senat
dipaksa bersetuju memperakukan sesuatu kursus (dikategorikan kursus universiti)
atau kaedah pengajaran (seperti Pembelajaran Berasaskan Masalah, ISO,
penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ilmu sehingga menjangkau
kepada mata pelajaran pengajian Melayu) untuk dilaksanakan; atau penganugerahan
ijazah kehormat kepada seseorang individu; penganugerahan ijazah sarjana atau
D.Fal, bahkan perlepasan tangga-tangga ke menara gading itu pun (semuanya perlu
persetujuan penilai daripada pihak Ketua Penyunting jurnal luar negara seperti
jurnal ISI dan sebagainya). Semua ini memang tidaklah susah berlaku
kerana ahli akademik sudah laih dan sudah tidak kesah lagi dengan hal yang
dianggapnya tiada relevan dengan titian ke menara gadingnya (akibat lamanya
dibelenggu oleh 3 jenis rantai kongkongan jiwa dan hati budinya yang telah
disebut di atas).
Dengan senario kedudukan dunia akademik dan sistem tataperintah universiti
yang diperihal di atas, maka apa yang berlaku pada Prof. Ridzuan di UM
baru-baru ini adalah suatu yang bersahaja berlakunya. Kebanyakan ahli akademik
sendiri pun sama ada tidak tahu kejadian ini (kerana berada dalam telaga
dalamnya), tak kesah, atau yang sudah sentiasa dengan pihak kuasawan (iaitu
ahli akademik profesional, atau dalam bahasa yang agak kasarnya ahli akademik
upahan) cuba berteori atau berhujah mempertahankan keadaan itu. Hanya seorang-dua
yang menyuarakan kejengkilannya terhadap peristiwa itu tetapi tidak pula
menyentuh isu yang besar yang mendasari kejadian ini seperti yang dibicara di
atas. Hal ini sudah banyak kali berlaku dan berlakunya itu bukan di UM sahaja,
cuma tidak menjadi heboh kerana individu, masa dan tempatnya tidak berada di
seni taman politik sekarang. Selagi keadaan yang lebih asas yang
diperihalkan di atas tentang kebebasan akademik itu tidak ditangani, khususnya
rantai-rantai belenggu itu diputuskan dan sistem tataperintah universiti kini
(warisan hampir setengah abad yang lepas lagi) direformasikan, maka tiadalah
yang dapat diselamatkan lagi kedudukan dunia akademik kita daripada terus
menerus ke tahap kebobrokan dan peristiwa yang sama dengan yang berlaku pada
Prof Ridzuan itu akan berulang dari masa ke masa nanti.
Shaharir b.M.Z. (Dr.)
Ketua GATERA
17 Ramadhan 1435/15 Julai 2014
Ketua GATERA
17 Ramadhan 1435/15 Julai 2014
No comments:
Post a Comment