Paksi pewaris perjuangan penulis
A Shukur Harun
Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja
dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang
tegar.
Published: 24 March 2015
Seniman Paksi Rakyat (Paksi), sebuah badan seni budaya pimpinan Dinsman di
Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak, Kuala Lumpur setiap bulan mengumpulkan para
seniman berbicara mengenai seni budaya, deklamasi puisi dan sebagainya, yang
bersifat "merakyat" setiap bulan.
Ia digerakan sekumpulan seniman dan aktivis budaya – Kassim Muhamad, Rozan
Azen Mat Rasip, M Nasir dan lain-lain yang berusaha keras menyuburkan kegiatan
Paksi.
Setiap bulan Paksi mengadakan acara baca puisi dan kegiatan seni yang lain
hingga madrasah tersebut, atau dipanggil Madrasah Seni, menjadi begitu terkenal
sebagai tempat berkumpul sang budayawan.
Bulan lalu, ia mengadakan Majlis Memperingati Jasa dan Perjuangan
Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pelancaran novel “Nenek”
karya Razali Endon, sementara minggu lalu pula mengadakan malam meraikan Mejar
Zaidi, bekas pegawai tentera TUDM yang dipecat kerana isu dakwat kekal.
Pada 10 April, Paksi akan mengadakan samabutan ulang tahun kelahiran
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, di tempat yang sama.
Walaupun Paksi bersifat badan seni budaya, tetapi ia juga berperanan
sebagai suara rakyat, atau penyampai salam rakyat, cita rasa dan hati nurani
serta keluh kesah mereka.
Seperti kata Dinsman, para seniman dalam badan penulis seperti Paksi perlu
mempunyai kefahaman dan keyakinan diri yang kuat, agar tidak mudah terpengaruh
atau dipengaruhi, bukan saja oleh parti atau agen politik kepartian tetapi juga
pihak lain yang berkepentingan atau mempunyai kecenderungan berbeza.
Menurutnya, seniman dan budayawan (termasuk penulis), seperti juga ulama,
perlu kenal dan faham mana yang baik dan mana yang jahat, juga mana yang benar
dan mana yang bohong. Malah, katanya, perlu mempunyai keyakinan diri yang kuat,
agar tidak berasa takut hadir atau melibatkan diri dengan politik dan orang
politik.
Pada malam meraikan Mejar Zaidi itu, Dinsman menyampaikan ucapan melalui
puisinya dengan melancarkan Tekad Budaya iaitu sebagai alternatif kepada
kehidupan yang didominasi oleh politik keterlaluan yang mengakibatkan keadaan
kacau bilau sekarang ini.
Memang Mejar Zaidi bukan penyair, kata Dinsman, tetapi sikapnya yang berani
berkata benar walau apa pun risikonya itu perlu dihormati dan dihargai para
penyair dan seniman terhadap sikap dan komitmennya.
Maka itu, di pekarangan madrasah itu, para budayawan berkumpul dalam
suasana santai, tidak berprotokol, serba sederhana dengan jamuan biasa, tetapi
majlis minggu lalu agak istimewa hidangannya: Nasi Arab.
Dalam sajak yang dibacanya sendiri malam itu, Dinsman melahirkan
kekecewaannya yang amat sangat kerana orang politik tidak henti-hentinya
berkrisis dari satu isu ke satu isu, hingga mengabaikan pelbagai tugas besar
untuk rakyat.
Oleh itu, beliau melihat Paksi, walaupun hanya sebuah badan budaya, tetapi
boleh berperanan menjadi jurubicara rakyat, menyuarakan hak mereka seperti
menyuarakan hak setinggan ibu kota yang sentiasa diancam pembanguan yang
menerpa kawasan mereka. Juga isu pemandu teksi yang menjalani kehidupan getir
di bandaraya ini, serta pelbagai lain yang melengkari kehidupan rakyat marhain.
Di sinilah saya teringat masa lalu, di tahun 50an dan 60an – di Singapura
dan di Malaysia – bagaimana Angkatan Sasterawan 50 (Asas '50) yang didukung
kuat oleh Kris Mas, Usman Awang, A Samad Ismail, Asraf, Wijaya Mala, Awam
El-Sarkam dan lain-lain mencetuskan tekad budaya. Iaitu melalui penulis mereka
berjuang menegakkan keadilan sosial dan kemerdekaan tanah air.
Suara sasterawan Asas ’50 ini sangat berkesan dan banyak mempengaruhi
aliran pemikiran masyarakat pada masa itu. Maka itu, Asas ’50 mendapat tempat
istimewa di hati nurani masyarakat, walaupun dipandang sinis elit pemerintah
ketika negara sudah mencapai kemerdekaan.
Puisi Usman Awang, umpamanya, sentiasa menyindir elit pemerintah pada masa
itu, seperti puisinya "Pak Utih", "Melayu Itu" dan
lain-lain. Demikian juga cerpen Kris Mas "Rumah Sederet di Jilat
Api", novelnnya, "Saudagar Besar Kuala Lumpur" dan juga karya
penulis lain Asas ’50.
Di sinilah saya kira Seniman Paksi Rakyat pimpinan Dinsman ini menjadi
pewaris Asas ’50 – menjadi jurubicara rakyat. Lebih-lebih lagi Dinsman adalah
dramatis yang rapat dengan Allahyarham Usman Awang.
Cumanya suasana dan keadaan ketika Asas ’50 jauh berbeza dengan suasana dan
generasi masa kini. Namun masalah kemanusiaan, kebebasan, sosial, miskin kaya
dan sebagainya masih wujud di zaman ini walaupun bentuk dan caranya berbeza.
Di sinilah saya kira kewajaran Paksi membina hala tujunya dalam gerak
kerjanya ke arah membela rakyat. Lebih-lebih lagi di masa kini, di mana
kebebasan rakyat semakin terhakis, demokrasi entah ke mana, keadilan sukar
ditegakkan, rasuah dan pembaziran berkembang subur. Yang benar dikatakan salah
dan yang salah dikatakan benar.
Di sinilah peranan sasterawan sebagai jurubicara masyarakatnya. Ia tidak
boleh sama sekali membisu seribu bahasa melihat kemungkaran, kerana Islam pun
menuntut supaya umatnya menyeru makruf, mencegah kemungkaran.
Saya teringat kata-kata Napoleon Bonaparte, “The world suffers a lot. Not
because of the violence of bad people, but because of the silence of good people.”
Dari itu, jangan membisu melihat ketidakadilan di mana-mana. Saya kira,
Paksi berusaha melaksanakan peranan ini.
Dalam hubungan ini, pada 10 April depan, Samad Said akan diraikan Paksi
sempena ulang tahun kelahirannya. Memang wajar Paksi meraikannya kerana beliau
adalah seniman rakyat.
Samad Said diraikan bukan semata-mata kerana nama besarnya, tetapi lebih
kerana usahanya menjadi besar. Sasterawan ini tidak akan dikalahkan kerana
suaranya adalah sebuah kekuatan dan sebuah gelombang besar di lautan biru.
Selamat hari jadi kepada Samad Said dan para seniman yang bersama rakyat –
semoga Tuhan terus memberimu kekuatan kepadanya. – 24 Mac, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak
semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
See more at:
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/a-shukur-harun/article/paksi-pewaris-perjuangan-penulis#sthash.WUVLBIMy.dpuf
No comments:
Post a Comment