Monday, December 26, 2011
Friday, April 2, 2010
Tabir asap yang mereka tiup
Seorang rakan pernah bercerita begini:
‘Ini kisah kami yang tinggal di Kampung Entah Entahlah. Kisah kami yang pelbagai kaum; Melayu dan Cina hidup berjiran dalam sebuah kampung Melayu lama ― kata mereka kampung tradisional.
Oleh sebab Melayunya yang paling ramai, maka dalam banyak peristiwa masyarakat, aspek-aspek Melayulah yang paling ketara. Maka segala yang ‘Melayu’ ternyata begitu ketara sekali. Sebagai contoh, emak kawanku Lim Cheng Ho pasti akan meminta Pak Haji Deraman sembelihkan ayamnya kalau mereka mahu makan gulai ayam.
Aku tak pernah ketinggalan menikmati ‘drum stick’ yang digoreng Swee Lan, adiknya Cheng Ho.
Kini, hampir setengah abad telah berlalu. Apakah mungkin anak-anakku mengalami peristiwa yang sama?
Atau ternyata kita telah semakin jauh akibat tabir asap yang mereka tiup demi untuk mengaut dan membedak-bedakkan kekayaan sesama dan dalam kalangan mereka?’
Untuk makluman, Entah Entahlah ialah Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, Kedah, tempat kelahiran penulis besar kita, Azizi Abdullah.
‘Apakah mungkin kutemui semula Cheng Ho?’. Temanku ini ingin sekali bertemu semula dengan Cheng Ho.
Cheng Ho, di mana gerangan saudara kini?
Khutbah yang amat mendera

Bila lagi ― kita revolusikan Khutbah Jumaat kita?
Mengikuti khutbah jumaat, setiap minggu ibarat melalui saat penderaan yang sangat menyakitkan. Itu pengalaman peribadi saya.
Kita dileteri khatib dengan nada/pitch yang tinggi kerana pelbagai kesalahan yang berlaku dalam masyarakat. Hari ini, 2 April 2010 misalnya, anak jemaah termasuk saya diperingatkan tentang dosa yang menanti kerana mengamalkan riba. Dan akhirnya kita diperingatkan bahawa dalam masyarakat ini terdapat sistem perbankan Islam yang mesti kita langgani, (mungkin kerana Islamnya).
Malangnya tidak seperti rakyat yang lain, saya belum nampak kebaikan perbankan Islam itu menjalar dalam masyarakat ini(?). Mungkin saya telah buta hatinya. Mungkin.
Bolehkah tuan membantu saya?
Bagaimanakah caranya saya dapat berhenti marah-marah setiap kali didera khutbah Jumaat?
Atau apakah saya semakin luntur imannya?
Bolehkah tuan membantu?
3.15 petang, jumaat 2 april 2010.
wangsa maju.
Saturday, October 31, 2009
Jalan Pilihan: Melayu? Islam? Melayu-Islam?
Bagiku cara dia memperkenalkan dirinya semakin pelik. Ya, sebagai kawan lamanya aku merasakan ia pelik. Bukankah aku ini kawan lamanya Pahlolradzi? Tentang pandangan kawan-kawanku yang lain, yang sama-sama hadir tatkala aku disergah, aku yakin mereka juga resah. Ternampak aku air muka mereka, memang berubah. Jelas mereka juga turut terkejut dengan amarah Pahlolradzi yang tiba-tiba saja meletup itu. Apakah kawan-kawanku yang lain juga berfikir seperti yang aku fikirkan: Apakah yang mahu ditonjolkan kawan lama kami ini, kawan-kawan baiknya sendirinya?
Terus terang aku tidak pernah begitu terlalu peduli untuk membedah anatomi asal usulku, baik sosiobudaya maupun fisiologinya (?). Ya, aku lelaki. Ya, aku Melayu yang dilahirkan oleh ibu bapaku yang Islam. Ya, ya aku bercakap Melayu. Ya, aku belajar di sekolah Melayu. Ya, aku belajar orang putih di kelas special Malay. Ya, aku satu ketika dulu, meluat juga mendengar lagu-lagu yang tidak kufaham bahasanya kecuali lagu-lagu nyanyian Mohd Rafi dan Latamangiskar(?). Namun sekarang setelah sekian lama menjadi tetamu planet ini, aku sedar bahawa bahasa apa saja sangat sarat bobot budayanya. Aku sedih kerana tidak menguasai bahasa-bahasa itu. Betapa ruginya.
Ya, temanku Pahlolradzi mahu dirinya dikenali sebagai seorang Melayu-Islam. Dia mahu orang-orang luar, termasuk kawan-kawan baiknya sendiri sedar yang dia adalah Melayu yang Islam. Ibarat mengupas bawang, dia mau susun-lapis dirinya kelihatan dengan jelas. Jangan ada orang lain, termasuk kawan-kawan baiknya sampai tak nampak, “Siapakah aku, Pahlolradzi yang sebenar”
Semasa aku disergah Pahlolradzi di depan kawan-kawanku yang lain bahawa “Tak adil kalau asal usulku kamu lupa!” aku terkejut. Mula-mula terkejut kecil kerana sebagai seorang kawan lama, aku tidak pernah menyangka yang Pahlolradzi marah jika dia tidak dikenali sebagai Melayu-Islam.
Aku tidak dapat melelapkan mataku sepanjang malam semalam. Senarai soalan yang menyerbu cukup panjang:
Apakah menjadi Melayu itu lebih utama daripada menjadi seorang manusia, seorang insan, seorang Muslim yang bertaqwa?
Apakah tatkala dibangunkan semula, itulah yang paling utama dijelaskan: Menjadi Melayu?
Apakah kelihatan sebagai juara Melayu-Islam itu lebih besar maknanya daripada sekelumit usaha ikhlas dalam menentang kezaliman, misalnya?
Terus terang, aku kurang arif makna sebenar Melayu-Islam itu?
Tuan faham maknanya?
