Sunday, September 13, 2009

Bahasa kebangsaan: Apakah kita tidak pernah sesat?

Dalam membicarakan rasa cinta yang berterusan anak bangsa kita terhadap bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, penulis-aktivis masyarakat Lee Ban Chen pernah memberikan pandangan yang kira-kira membawa maksud begini:

Terdapat anak-anak keturunan Tionghua yang mempelajari bahasa kebangsaan semata-mata untuk lulus peperiksaan. Selepas SPM bahasa itu tidak lagi dipedulikan kerana pelbagai sebab. Ertinya bahasa itu dipelajari semata-mata kerana terpaksa.

(Dalam konteks ini saya cenderung bertanya begini: Apakah ini hanya terjadi dalam kalangan anak-anak keturunan Cina saja? Apakah tidak terdapat anak-anak kelas menengah Melayu misalnya yang tidak selesa berbahasa Melayu walaupun dalam rumah sendiri?)

Kata Ban Chen lagi:

Dalam menanam kecintaan anak-anak kita terhadap bahasa kebangsaan, kita juga tidak boleh menggunakan pendekatan yang meragukan@tidak ikhlas seperti pelaksanaan yang seolah-olah memaksa. Lebih memudharatkan lagi jika dalam proses pengajaran dan pembelajarannya tersirat unsur-unsur bahawa bahasa kebangsaan itu jauh lebih unggul@superior daripada bahasa-bahasa lain.

Sementara itu, Kua Kia Soong pula menulis begini dalam “13 Mei Dokumen-dokumen Deklasifikasi Tentang Rusuhan 1969 Malaysia, Suaram, 200?”

“Pada 31 Ogos 1967, Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan kerajaan dan sistem pendidikan adalah untuk memastikan selanjutnya pengekalan keistimewaan dan hak istimewa orang Melayu. Sementara ketika Merdeka pada 1957, keistimewaan Melayu ini hanya dianggap sebagai langkah sementara yang akan dipelihara selama kira-kira 15 tahun untuk “menaikkan taraf ekonomi dan pendidikan orang Melayu supaya mencapai kesetaraan dengan orang bukan Melayu”

Kesimpulannya:

Apakah yang dapat kita pelajari dari pandangan dua orang tokoh di atas?

Apakah benar kita masih lagi terkial-kial dalam isu-isu yang paling asas seperti ini? Kalau ‘ya’, kenapa?

Apakah kita pernah berjaya dengan cara memaksa?





No comments: