Thursday, October 15, 2009

apabila rakyat mula bertanya


pabila Teresa setiap minggu singgah di surau
berteh tarik semeja pemimpin kecil Melayu
bertanya perihal Wak Leman yang baru kematian anak
apakah pembesar suara surau sudah diganti
anak siapa belum terima PTPTN
ada pemimpin ketuanan jerit-pekik, yang lantang:
“hubaya, hubaya, ini akal mulus Cina Malaysian Malaysia!!”

pabila pemimpin kecil Melayu memperingatkan:
jangan sampai ada yang celupar menyoal,
“kenapa Cina sibuk beraidil fitri”
rupanya ketuanan tersedak di awal subuh
“kenapa kulupa aidilfitri selama ini?”

ada yang makin gelabah,
rupanya keris menikam tuan.

II)

pabila wira bahasa sebuah bangsa merdeka
saban hari, saban musim setiap kesempatan,
gagah garau memberi ingat, “jangan sampai dan
jangan kita benarkan, dibuang wajah agama bangsa,
kelak pasti buruk celaka seluruh cucu cicit kita!!”
pada terkejut seluruh tikus di hutan,
sekor kucing sedang tekun menjilat tuannya.


III)

pabila mereka ramai-ramai berkhutbah perihal deen
bahawa Islam milik semua, Islam itu-ini dan segalanya
basah mata rakyat mendengar telatah tingkah pemimpin pondok uzur
bening jiwa mengamin doa mohon diperkasa sejahtera dunia akhirat
saban waktu gigih gagah upayanya membina ummah mulia
rakyat pada menangis terharu.

entah mimpi siapa, benih wawasan ahli fikir mana gerangannya
tiba-tiba dikupas untung rugi perpaduan, mudharat besar terus berpecah belah
maka gempitalah akar umbi bingkas menentang, lantang nyaring gemanya
awas jijik fitnah memecah belah, khianat jahat pada rakan serumah
mana lari Islam milik semua, ke mana dihumban janji kalian khutbahkan?
telah yakin sekalian handai taulan, sahabat dan lawan: telah diracik
sesawang was-was, ikrar yang belot dan citra taat setia yang punah!

IV)

cerita rakyat adalah kisah nyata sebuah harapan
medan menanam bukti, perilaku nyata janji yang tertunai
benarlah, tidak mudah mengurus harapan menggunung
dan kepimpinan adalah idea yang terlaksa
bukannya khutbah dari menara podium dan mimbar,
terasing, muluk-muluk.







No comments: