Perihal bebiri yang melepak dan social drinker yang terguris.
I) Bebiri yang putih melepak
Walaupun badai dan gelombang yang ditinggalkan PRU12 telah lama berlalu namun ekornya sepertinya tidak mahu ditebat-tebat. Maka pabila Bagan Pinang tanpa diundang, tiba-tiba datang bertandang ada yang awal-awal lagi telah meramalkan itulah permulaan gelombang baru seterusnya. Malamnya, Ahad 11 Oktober 2009, kita pun ketahui apa yang telah berlaku. Sebuah sejarah besar makna telah tertulis: Di abad ke 21 ini, sebuah daerah yang tidak terlalu terpencil di Semenanjung Malaysia telah mengesahkan bahawa palitan noda integriti tidak menjadi sebarang masalah untuk sesiapa saja yang mahu dilantik menjadi pemimpin.
Bagan Pinang mungkin tidak mewakili seluruh Malaysia tapi ia telah memahat satu peristiwa demokrasi yang abadi. Integriti bukanlah isu yang terlalu besar dalam menentukan kepimpinan. Apakah tepat begitu? Atau ada persoalan-persoalan lain yang jauh lebih kompleks dari apa yang dapat dilihat oleh mata kasar?
Pernah satu waktu seorang rakan wartawan bercerita pengalamannya turun padang berkempen merayu kewarasan para penduduk untuk menolak calon lawan yang diketahui bermasalah@rasuah. Rakan ini turun lengkap bukti dan data. Kata teman saya, “Aku beritahu orang-orang kampung, orang ini bermasalah walaupun dia berjaya dalam bisnesnya di luar negara.”
“Hang tau apa yang depa kata?”
Saya menggeleng.
“Baguslah, dia berjaya! Kita nak orang Melayu macam nilah, boleh berjaya di luar negeri!!”
“Aku belah dengan ayakk lima belas tu..”
Integriti? Siapa peduli? Memang betullah apa yang kerap dijenakakan oleh sesetengah teman: Orang tidak hirau wujudnya bebiri hitam. Orang hanya terkejut kenapa masih ada berbiri yang belum hitam-hitam!
II) Social drinker yang sedikit jengkel
Ini membawa kita kepada satu persoalan lain yang saya kira tidak kurang menariknya.
Seorang teman lama, bukan Melayu dan bukan Islam mengeluh. Kenapakah terlalu sukar untuk melihat ahli-ahli politik kita, (maksudnya Pakatanlah) berbuat sesuatu yang betul, mudah tetapi menguntungkan?
“Saya tak faham..”
“Kenapa dikejar-kejar oleh isu beer?”
Saya menjelaskan bahawa yang memabukkan itu punca segala masalah. Teman saya tidak menjawab. Tapi aduhai, bahang gelombang renungannya bagaikan ketuhar di suhu puncak. Pun demikian dia tetap memilih untuk tidak mahu berhujah. Mungkin dia juga sedar tentang ketidakarifan saya dalam hal-hal agama.
“Occasionally, I do drink. Especially when friends invite me to join them...”
Di sisi lain, saya jadi teringat akan terjahan seorang teman, (seorang Melayu yang sangat yakin bahawa Melayu tidak akan selamat tanpa pemerintah yang ada sekarang), yang kira-kira berbunyi begini:
“Untuk apa beer dan kondom dijual merata-rata di kawasan majoriti Melayu. Orang-orang Melayu begitu resah kerana ada outlet yang begitu sekali mudah menjual gegelung biru dan beer. Untuk apa? Untuk apa??”
(Saya tidak tahu apakah soalan itu pernah ditanya oleh teman saya ini kepada tuannya yang dulu. Adakah pernah teman saya ini mengangkat, waima jari kelingkingnya untuk bertanya tatkala melihat pelbagai masalah bertaburan di mana saja, dari Utara ke Selatan? Pernah?? Lalu kenapa menjadi seperti harimau beranak kecil sekarang? Kenapa??)
Suasana hening seketika.
Saya mengerti keperihannya. Ya, sesekali aku memang mereguk alkohol. Sedih juga apabila kamu sebagai penguasa melihat aku seperti orang yang sudah rosak moral dan semestinya dikejar habis-habisan. Apakah ruang untukku minum-minum bersama teman-temanku akan kalian tutup rapat, pabila berkuasa penuh kelak?
Sebagai penutup dia bertanya lagi:
“Apakah masalah rasuah yang berleluasa itu tidak lebih utama, tak menjadi keutamaan Pas?”
Saya termenung. Ya, memang benar bukan mudah mengurus kemenangan. Urusannya kian genting lagi memeritkan pabila harapan rakyat sesungguhnya mengalahkan puncak Kinabalu. Apakah kita pelik? Bukankah rakyat itu telah sekian lama hampa dan terus-terusan mengharap, sejak lebih setengah abad yang lalu?
Namun kita masih bernasib baik. Kita masih ada masanya untuk menyemak dan membetulkan kompas. Bagaimana jika ini adalah kemenangan pertama dan terakhir, di Selangor misalnya. Lebih perih lagi, Pas kalah semua kerusinya.
Perpaduan. Wahai, demi perpaduan. Kerusi ceo, wahai kerusi kemuncak. Rakyat memerhati, meneliti dan membaca setiap gelagat.
Berhentilah bermain wayang kulit. Serve. Yes, serve and deliver like a true Muslim. Reward? Check your sermon, didn’t you tell us, it is the Hereafter? Berkhidmatlah sebagai seorang Muslim sejati kerana katamu tatkala berkhutbah habuan kita adalah di akhirat.
Atau apakah semua ini juga hanya sekadar silat lidah?
No comments:
Post a Comment