Sunday, October 4, 2009

Apakah sebenarnya peranan persatuan penulis?





(I) Apakah sebenarnya peranan persatuan penulis?


“Saya tidak boleh hidup menganggur saja terus-menerus. Fikir punya fikir, akhirnya saya mencapai kesimpulan untuk menerbitkan buku-buku karangan saya terutamanya. Lantas saya daftarkanlah sebuah badan penerbitan yang saya namakan Pustaka Kejora.

Buku saya yang pertama diterbitkan oleh Pustaka Kejora ini berjudul Dr. Burhanuddin-Putera Setia Melayu Raya. Sesudah itu terbit pula buku saya yang kedua berjudul Merintis Jalan Ke Puncak. Sesudah itu saya bermaksud pula hendak menerbitkan buku saya yang ketiga berjudul Tujuh Tahun Malam Memanjang.

Tetapi rupa-rupanya seseorang yang pandai menulis, yang bijak mengarang, belum tentunya seorang yang pandai berniaga pula. Setidak-tidaknya inilah yang terbukti sepanjang yang mengenai diri saya.

Kerana distribusi atau penyebaran yang kucar-kacir, apatah lagi saya sendirian saja yang melakukannya, modal permulaan yang sedikit terbenam begitu saja oleh hasil penjualan yang lembab, lambat dan tidak seberapa sehingga buku saya yang ketiga tidak upaya hendak dihantarkan ke percetakan dan harus terbengkalai.”

Ahmad Boestamam. Memoir Seorang Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1979


Apakah ini hanyalah masalah tahun-tahun 70an? Apakah penulis zaman ini tidak lagi menghadapi masalah-masalah seperti ini? Adakah pernyataan bahawa “tetapi rupa-rupanya seseorang yang pandai menulis, yang bijak mengarang, belum tentunya seorang yang pandai berniaga pula” itu adalah masalah lama yang tidak lagi wujud sekarang kerana kita sudah lama mengatasinya? ‘Kita’ di sini merujuk pelbagai institusi, badan/organisasi berkaitan sama ada milik pemerintah atau yang bukan pemerintah yang tersergam dan tercokoh dalam kalangan kita.

Apakah tidak benar bahawa sesungguhnya setiap bidang itu ada pakar bidangnya atau orangnya yang ‘ahli’? Dan dalam konteks industri buku ini, bukankah benar bahawa amat jarang sekali kita temui seorang penulis yang sekaligus juga seorang niagawan yang memiliki banyak modal?

Walaupun kita sudah pun memasuki abad 21, kepada kebanyakan penulis inilah kekangan utamanya; soal-soal pemasaran dan perkara-perkara yang berkaitan dengan hasil jualan karya mereka. Ia masih jua belum beres-beres.

Dan kalau tidak salah, kita sering dimaklumkan oleh Persatuan-Persatuan Penulis yang sekian-sekian banyak itu bahawa sesungguhnya inilah salah satu daripada peranan dan tanggungjawab yang mahu dipikul dan diselesaikan oleh NGO-NGO yang katanya tertubuh demi untuk menjaga dan memperjuangkan kesejahteraan para penulisnya.


II) Bagaimanakah khazanah negara kita diurus?


Dalam konteks negara kita secara menyeluruh, adakah strukutur sekian banyak industri termasuk industri perkhidmatan di negara kita misalnya sudah berubah; menjadi jauh lebih lebih sempurna dan mesra jika dibandingkan lima puluh tahun yang lalu? Atau apakah ia masih jua tidak mahu dan tidak akan berubah-ubah? Apakah misalnya peranan dan tanggungjawab para profesional seperti farmasi dan doktor akan tetap dan kekal seperti yang ada sekarang dan sistem ini bakal berterusan sehingga ke hari kiamat? Apakah industri buku kita tidak memerlukan perkhidmatan agen misalnya?

Apakah kita ke ‘depan’ hanya untuk sektor-sektor yang melimpah ruah duitnya seperti zakat yang begitu diminati para penguasa? Tapi nanti dulu, apakah taraf pengurusan zakat kita sudah sedemikian bagusnya sehingga seluruh asnaf yang lapan itu benar-benar mendapat bahagian-bahagian mereka dengan adil? Apakah Petronas yang kaya raya milik rakyat itu telah menjadi ‘hadhari’ dan sentiasa ‘mendahulukan rakyatnya’ dalam hal urusan zakat? Ya, adakah Malaysia yang katanya sudah Islam itu memastikan Petronas mengeluarkan zakat? Kelihatannya soalan-soalan seperti ini tidak akan ada penghujungnya....ya selagi ‘Dunia Belum Kiamat’ kata Titiek Sandhora dan Muchsin.

Apakah sebenarnya masalah kita? Banyak? Tapi kenapakah masih terlalu ramai yang kelihatannya masih begitu selesa dan percaya bahawa khazanah negara ini telah diurus dan ditabir ini dengan begitu bagus sekali? Ya, ia telah, sedang dan akan diurus dengan begitu baik sekali, sejak kita merdeka lebih lima puluh tahun yang lalu.

Sebenarnya, selama ini bagaimanakah agaknya khazanah negara kita ini diurus? Apakah kita boleh menjelaskannya dengan meminjam ungkapan Azizi Abdullah tatkala membaca puisinya dalam acara ‘Puisi Di Ambang Sore’ di Masjid Batu pada 3 Oktober 2009 (Sabtu): Jika tidak begini, kenapa begitu? Kenapa begini dan tidak begitu?

Maka begini, begitulah kita sesungguhnya...dulu, kini dan selama-lamanya.



No comments: