Ucapan Datuk A. Samad Said, Sasterawan Negara tatkala melancarkan album “Dari Rakyat Kepada Rakyat” album Meor Yusof Azidin “(pada tempat-tempat tertentu disokong Black dan Rahmat Haron)” pada jam 8.00 malam 17 Oktober 2009, di Dewan MPAJ AU2, Taman Seri Keramat.
Malam ini saya rasa seniman coba mengimbangi kuasawan. Kita lebih melakukannya dengan kata-kata berbeda dengan kuasawan yang selalu melakukannya melalui dana.
Kata-kata selalunya “mengkhayalkan” sementara dana “memungkinkan”. Biar apapun peranannya, malam ini, peranan seniman mungkin lebih untuk sekedar “menyedarkan”. Terlalu ramai kuasawan yang terlupa, khususnya kuasawan yang sedang benar-benar berkuasa.
Tema utama kita tampaknya ialah “Dari Rakyat ke Rakyat”. Tapi, sebenarnya kita ingin berdialog dengan pemimpin−kita bercakap saja sama sendiri, sesama rakyat. Sebenarnya, kita menyanyi.
Dipercayai atau tidak sebuah lagu biasanya sebuah suara batin − suara dari batin − kejujuran dari batin. Dan malam ini kejujuran dari batin coba menghantar realitas masakini melalui lagu atau melodi yang lama terganggu. Ia penuh dengan rintih dan jerit; bisik dan raong. Tapi isinya berlegar seputar ketidakadilan yang sedang berterusan−kepincangan masalalu (Fatehah Memali) dan ketimpangan masakini (Ikut Suka Aku−ISA).
Lagu-lagu sebondong ini terkadang tidak begitu melodius−lirik lebih nyaring daripada musik. Tapi itulah kehidupan sebenar−real dan kasar−realitas yang sentiasa tidak melodius; yang melodius selalunya adalah khayalan. Sebanyak 10 lagu terhimpun dalam album pedih ini, tapi kelahirannya memang petanda jujur bahawa masih terus ada duri siksa dalam masyarakat kita. Seniman membantah kepincangan ini.
Tentu saja akan ada setengah kuasawan yang menganggap bahawa album ini adalah serpihan propaganda. Benar juga−ia propaganda, tapi suara yang tulen. Ada propoganda melalui cogankata yang mendadak−cogankata (tahu-tahulah sendiri) yang sangat nyaring (atau memang dinyaringkan) kerana semua media utama (yang cetak yang elektronik)−patuh (terkadang melampau) menjeritkan propoganda itu. Ada bedanya antara propoganda institusi gergasi dengan propoganda jerit insan kecil. Yang pertama sangat berazam diguruhkan; yang kedua sekedar berharap suaranya terdengar.
Di sinilah terletaknya album “Dari Rakyat ke Rakyat” oleh Meor Yusof Azidin (pada tempat-tempat tertentu disokong Black dan Rahmat Haron). Lagu-lagu dalam album ini adalah pesanan jujur (atau setingginya jeritan jujur) dari batin seniman yang sedang terdera−tersiksa oleh realitas hidup yang mendendangkan suara-suara bombas yang terlalu berat sebelah. Dan ingat, “pelampau” memang perlu diwaraskan. Keras yang buas perlu dilembuti tangan yang berhemah.
Lagu “Ikut Suka Aku−ISA” ini memang dengan mudah diselar sebagai propaganda politik kontemporer; sebaliknya, ia sebenarnya adalah jeritan masakini yang memang masih terus mendera.
Begitu juga lagu “Fatehah Memali” mudah diselar sebagai propoganda berhasrat. Padahal ia adalah jeritan semula masalalu yang tertimbus−atau ditimbus oleh kuasa lalu yang sangat gamam. Pemangsaan tidak pernah tidak pernah tidur nyenyak; ia terpaksa bangun mewaraskan pemangsaannya. Maka, lagu “Fatehah Memali” membangunkan yang tidur supaya dapat sama-sama mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.
Sangat lama, malah sedang terus, kita didesak percaya bahawa insan Memali “gila”, kerajaannya yang waras ketika tercetusnya peristiwa. Jentera propaganda Kerajaan terlalu menekan dan menghukum ketika itu. Tapi, sekarang ini, generasi mudanya mula berupaya melahirkan iklim baru−yang salah wajar diperiksa. Mereka mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.
Memangpun pada malam ini secara berdikit dan jujur, generasi muda ini ingin meluhurkan semula perjuangan. Masakini bukan lagi penuhnya hak generasi lalu; masakini adalah lebih hak generasi kini.
Sokonglah “Dari rakyat ke Rakyat” bernyanyilah dari hatinurani; bukan dari keangkuhan diri.− A. SAMAD SAID.
2 comments:
sdra barajiwa
pak samad memang kuat bahasa hunjamannya terhadap maksud.
sukar orang biasa memahaminya.
pelihara pak samad, jangan ia sendirian.
azizi abdullah
Sdr. Azizi,
Memang benar. Kita hanya ada seorang A Samad Said. Kita tidak dapat melupakan betapa romantis dan tebalnya rasa kemanusiaan Usman Awang. Saya rindui tulisan kritis-tajamnya Rustam Sani. Kita kehilangan MGG Pillai. Meminjam hujah Dinsman "Siapakah yang dapat mengkritik Raja seperti P. Ramlee melakukannya dalam Musang Berjanggut dan semua orang ketawa?"
Mereka semua manusia yang membina budaya kita. Apakah akan ada manusia politik yang kita sayangi seperti kita kasihi Pak Samad?
T.k kerana membaca ucapan Pak Samad.
Kassim Muhamad.
Post a Comment