Monday, October 26, 2009

Bengkel teater 2PNP 24 Oktober 2009


(Pada hari Sabtu 24hb Oktober 2009, 2PNP di bawah Cikgu Anuar Asmadi bersama para pimpinan PPD dan Perpustakaan Pulau Pinang telah menganjurkan sebuah bengkel teater. Berikut adalah isi-isi pokok, talking points yang disediakan oleh Sdr. Dinsman untuk kira-kira 90 orang guru, majoritinya wanita yang bertugas di daerah Seberang Perai Tengah (SPT). Mungkin benar ini sekadar nota untuk Dinsman berbincang, namun saya kira ia cukup baik untuk tatapan semua yang berminat).

Selamat menghayatinya...


Nak menulis skrip teater?
Pertama sekali kena tahu dulu apa itu teater.
Bagaimanakah sebuah teater yang baik?
Apa yang perlu ada pada sebuah teater yang baik?

Kita ambil contoh karya teater saya yang terbaru, yang mendapat sambutan luarbiasa daripada masyarakat. Belum pernah karya teater saya mendapat sambutan sepertimana sambutan terhadap teater ini – Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).

Apa yg ada pd MKDT? Apa yg istimewa, yg ada pd MKDT?
Pertama, ia dicipta berdasarkan sebuah Hadis Nabi. Tahu apa itu Hadis Nabi?
Kenapa saya menulis teater berdasarkan Hadis Nabi? Ini bukan satu kebiasaan. Jadi, mengapa saya melakukannya?

Jawapannya: Kerana saya tertarik dengan Hadis itu.
Kenapa saya tertarik dengan Hadis itu? Kerana ia mengandungi unsur2 yg boleh dijadikan sebuah teater yg menarik. Apakah unsur2 itu?

Pertama – konflik dalam diri seorang manusia, yg diceritakannya semula. Yakni pengakuan seorang manusia bahawa dia mengalami konflik dalam diri, atau dilema, akibat daripada dia telah membuat salah. Dia menceritakan pengalaman itu. Dan ceritanya itu sebuah cerita yg menarik, yg mempunyai unsur2 teater yg menarik.

Apa yg ada dlm cerita yg diceritakan semula oleh seorang manusia itu, yg saya menganggapnya sebagai mempunyai unsur2 teater yg menarik?
Pertama – ada Rasulullah SAW, yakni Nabi Muhammad SAW.

Orang yg bercerita itu seorang sahabat Nabi, namanya Kaab bin Malik. Cerita Kaab bin Malik ini ialah cerita mengenai dirinya berurusan dg Nabi. Urusannya itu yg sangat menarik utk sebuah teater. Mengapa menarik? Kaab menghadapi dilema dlm dirinya, samada dia hendak bercakap benar dengan Nabi, atau hendak bercakap bohong.

Dlm khazanah teater yg baik di dunia, ada karya Shakespeare berjudul Hamlet, yg inti persoalannya dikenali dlm suatu ungkapan yg sangat masyhur, iaitu “To be or not to be”. (Hendak bertindak atau tidak). Itulah persoalan atau dilema yg dialami oleh Hamlet – Nak bunuh bapa saudaranya atau tidak? Itu satu persoalan besar yg dihadapi manusia, yg telah diungkapkan oleh Shakespeare dlm teater “Hamlet”.

Saya mendapati hal yg hampir sama dialami oleh Kaab. Dilemanya: hendak bercakap benar atau hendak berbohong kp Nabi? Ini satu persoalan besar. Bagi orang lain mungkin ia bukan satu persoalan besar. Tapi bagi Kaab ia satu persoalan besar. Dan dia membuat pengakuan ini. Kaab sendiri menceritakan dilemanya ini kp anaknya, dan anaknya kemudian mencerita-kannya pula kp orang lain, dan kemudian penceritaan ini dicatatkan sebagai sebuah Hadis.

Ceritanya – Kaab tidak ikut bersama dg rombongan Nabi pergi ke medan perang, berperang dg musuh Islam, di Tabuk (Perang Tabuk). Dan menariknya lagi, dlm pengakuannya itu Kaab sendiri mengaku yg dia pun tak tahu mengapa sebenarnya dia tidak ikut pergi berperang; sedangkan pada waktu orang semua membuat persiapan, dia pun bersiap juga. Malah dia membeli dua ekor unta utk dijadikan kenderaan ke medan perang.

Akhirnya Kaab memilih utk bercakap benar. Dia mengaku kepada Nabi bahawa dia sebenarnya tidak mempunyai alasan utk tidak pergi berperang. Ertinya dia sengaja engkar perintah Nabi.

Itu satu – “To be or not to be” – Nak bercakap benar atau nak berbohong dg Nabi.

Apabila Kaab memilih utk bercakap benar, mengaku kesalahannya, Nabi menyerahkan penyelesaian masalah Kaab itu kepada Allah SWT. Sedangkan kp orang lain, ada 80 orang lagi yg tak keluar berperang, dan mereka memberi alasan mengapa mereka tak ikut, dan mereka meminta maaf kp Nabi. Nabi menerima permintaan maaf mereka, dan Nabi pula memohon kepada Allah supaya Allah memaafkan mereka, walaupun di antara mereka itu ada yang tidak bercakap benar. Tetapi, utk Kaab dan dua orang lagi yg bercakap benar seperti Kaab, Nabi menyerahkan permasalahan mereka kepada Allah, meminta Allah sendiri yang memberi penyelesaian, atau memberi hukuman ke atas mereka.

Bagi saya, ini perkara kedua yg menarik dlm cerita Hadis ini.

(Apa dia? Apa yg saya maksudkan perkara kedua yg menarik itu?)

Di zaman Nabi, dlm cerita Kaab ini, ada masalah manusia yang diserahkan oleh Nabi kepada Allah, biar Allah sendiri yang membuat keputusan bagi penyelesaian masalah itu. Ertinya, ini suatu pengalaman bagaimana terjadinya hubungan yang langsung/direct antara manusia dengan Allah SWT. Ini bukti nyata bahawa Allah itu wujud, dan Allah pernah menyatakan kewujudannya itu dengan menunjukkan campurtangan-Nya secara real dalam kehidupan nyata manusia, melalui peristiwa Kaab ini.

Nabi menyerahkan penyelesaian masalah Kaab kp Allah, biar Allah sendiri yg membuat keputusannya. Bagi saya ini adalah suatu pengalaman manusia yg cukup hebat. Pengalaman berhubungan secara direct dg Allah. Dan inilah dia “menunggu kata dari Tuhan” itu, yakni menunggu Allah menurunkan wahyu kepada Nabi, menyatakan penyelesaian kepada masalah Kaab dan dua orang lagi sahabatnya itu.

Saya tak pernah berjumpa dg perkara hebat seperti ini. Pengalaman merasai kewujudan dan kehadiran Allah dlm kehidupan kita. Ini lebih drp sesuatu yg menarik. Ini sesuatu yg sangat istimewa dan luarbiasa, pernah terjadi dlm hidup manusia, dan saya berpeluang utk mengungkapkan perkara luarbiasa ini ke dlm teater. Memang luarbiasa! Tinggal lagi bagaimanakah kita sebagai penulis hendak mengolahnya ke dlm skrip, supaya pengalaman itu dapat kita hidupkan semula di atas pentas, dan supaya ia boleh ditransfer kp penonton, biar penonton pun dapat merasai pengalaman itu. Ini cabaran kp penulis.

Itu perkara kedua yg menarik, dlm Hadis itu.

Seterusnya – apa lagi yg menarik? Kehadiran Rasulullah SAW itu sendiri.
Bagaimana menghadirkan Rasulullah di atas pentas, supaya penonton dapat merasainya, sedangkan watak Rasulullah tidak boleh dilakonkan? Ini satu lagi cabaran.

Dalam Hadis ini terdapat unsur2 penceritaannya yg sangat menarik, yg memberi peluang kp kita utk menghadirkan Rasulullah di atas pentas teater, walaupun watak Rasulullah tak boleh dilakonkan. (Misalnya ketika Kaab bercerita dia mengambil tempat dekat dg Nabi, di dlm masjid. Dia mencuri-curi pandang Nabi dg ekor matanya, katanya sewaktu dia solat Nabi memandang ke arah dia, tetapi apabila dia pandang ke arah Nabi, Nabi berpaling melihat ke arah lain.)

Memang cabaran sebenar di sini ialah cabaran kepada pelakon dan pengarah. Bagaimana utk menghidupkan suasana itu, suasana seolah-olah Rasulullah SAW hadir di dlm lakonan itu. Walaupun ia cabaran utk pelakon dan pengarah, namun penulis juga perlu menyediakan bahan yg sesuai utk direalisasikan oleh pengarah dan pelakon.

Konsep teater lakonan seorang.

Konsep watak yg tidak kelihatan.

Seterusnya – adegan munajat dan bertaubat. (Tahu apa itu munajat?)
Adegan munajat dan bertaubat tidak ada dalam Hadis berkenaan. Kalau anda baca Hadisnya, tak ada cerita dan dialog munajat dan bertaubat di dalamnya. Tetapi anda dapat merasakan bahawa Kaab mesti melakukan dua perkara tersebut, dalam tempoh waktu dia “menunggu kata dari Tuhan” selama 50 hari itu. Hanya perkara itu tidak disebut ketika Kaab bercerita kepada anaknya.

Saya sengaja mencipta adegan ini kerana ia sangat penting dalam seluruh proses pengalaman yg dilalui oleh Kaab, walaupun ia tidak terdapat dalam Hadis. Dalam proses itu Kaab mesti munajat kepada Allah, dan dia mesti bertaubat. Ini pun suatu adegan dan suatu pengalaman manusia Islam yg sangat penting. Menunjukkan aksi bagaimana manusia berserah diri dan pasrah seluruhnya kp Tuhannya. Aksi yg paling menusuk, paling menyayat. Dalam teater ini, adegan ini menjadi kemuncak/klimeks kp teater ini. Kemuncak dari segi ceritanya, dari segi aksinya, dan dari segi visualnya.

Aspek visual penting dlm teater, kerana teater ditonton. Mesti ada benda di atas pentas yg boleh menarik perhatian penonton. Set pun penting. Permainan cahaya pun penting. Tapi ada juga penulis skrip teater yg tidak mempedulikan perkara ini. Itu terpulanglah.

Satu lagi ialah aspek muzik. MKDT hanya seorang pelakon di atas pentas. Tetapi saya wujudkan watak pemuzik yang bermain biola, dan hadir dan bergerak di atas pentas, seolah-olah dia pun pelakon juga. Kenapa saya wujudkan ini? Sebagai suatu dayatarik utk menarik perhatian penonton, disamping menambah unsur seni kp teater ini.

Jadi – menulislah sesuatu yg anda percaya ia menarik, dan tunjukkan kepada audien bagaimana menariknya cerita itu. Jadikan teater itu sesuatu yg menarik utk ditonton, sesuatu yg orang sanggup membelanjakan duitnya utk membeli tiket kerana hendak menontonnya.

No comments: