Pada malam 27 Oktober 2009 (Selasa), bertempat di sebuah stesen minyak di Awan Besar, Lebuh Raya Kesas, Kuala Lumpur, kami berkumpul bersama teman-teman dari Negeri Sembilan sambil membincangkan kemungkinan merakyatkan budaya rakyat di Negeri adat pepatih ini. Teman-teman Negeri Sembilan adalah sdr Mohammad Alinor Abdul Kadir, sdr Nordin Ismail dan sdr Ibrahim Yusof. Turut bersama dalam acara sembang-sambil-merangka acara budaya tersebut ialah orang kuat GMP, Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof. Shahrir Mohd Zain. Sementara kami dari Paksi diwakili Presidennya Sdr. Dinsman, Hasni Abas, setiausaha Paksi merangkap GMP dan Kassim Muhamad.
Ternyata banyak juga yang diangkat sebagai bahan perbincangan; baik serius maupun santai: Dari budaya songsang Robin Hood, proses pengabsahan Botak Chin sebagai wakil kepada rakyat sehinggalah kepada persoalan tema, pengisian, pendekatan dan olahan program budaya yang bakal dilaksanakan.
Tatkala memandu pulang, di antara soalan yang berlegar-legar di dalam kepala termasuklah: Apakah yang bakal kita dengar tentang Tun Pepatih Pinang Nan Sebatang atau siapakah Tok Bongek? Apakah yang dapat diketahui tentang nilai-nilai demokrasi dalam adat pepatih? Atau siapakah yang pernah mendengar perihal asimilasi budaya Cina di Negeri Sembilan ini?
Kita bakal bertemu di Negeri Sembilan dalam sebuah acara budaya, pada bulan Disember 2009 nanti. Insyallah.
No comments:
Post a Comment