Paginya Pak Kassimin sempat membaca, sedikit...
Dalam buku The Sealed Nectar, Ar-Raheeq Al-Makthum, Darussalam, Riyadh, 2002), Abdullah bin Ubai yang kita temui pada zaman Nabi Muhammad SAW ialah “ a terrible hyprocrite was full of enmity against Islam and the Muslims because he believed the Prophet pbuh (peace be upon him) had taken his leadership over Al-Aws and Al-Khazraj, two clans already agreed on the Prophethood of Muhammad pbuh and his masterhood over them” yang maksudnya kira-kira begini “seorang munafik teruk yang tepu kebenciannya terhadap Islam dan kaum Muslimin kerana dia percaya bahawa Nabi Muhammad saw telah merentap kepimpinannya dari kaum Al-Aws dan Al-Khazraj, dua kabilah yang telahpun akur dan patuh bahawa Nabi Muhammad saw adalah pemimpin mereka.” Kisah kemunafikan Abdullah bin Ubai yang begitu kecewa dengan kehadiran Nabi sebagai pemimpin di Madinah tidak ada tolok bandingnya. Demikianlah jahatnya Abdullah bin Ubai, jika ada saja suasana yang memungkinkan dia pasti akan memasukkan jarum-jarum fitnahnya untuk melaga-lagakan dan menghancurkan ummat Islam. Begitulah fiil manusia munafik yang begitu kemaruk untuk menjadi pemimpin.
Sesungguhnya kemunafikan bukanlah suatu fenomena yang asing dalam masyarakat manusia. Perihal keburukan perangai para munafik ini telah Allah abadikan dalam Surah Al-Munafiquun. Dari lembaran sirah pula kita temui kisah-kisah yang menunjukkan perangai jahat Abdullah bin Ubai, misalnya tatkala Perang Uhud dan juga sekembalinya kaum Muslimin dari peperangan X. Sikap munafik Abdullah bin Ubai ini jelas kelihatan dalam peristiwa-peristiwa di atas.
Itu kisah dari sejarah. Pak Kassimin termenung lama.
Apakah manusia hari ini bebas dari fenomena Abdullah bin Ubai ini? Mustahil. Sebagai manusia, kehidupan kita tidak akan sunyi dari ancaman para munafik. Di negara kita sakit kemunafikan ini turut menular ke dalam institusi-institusi yang memiliki kuasa eksekutif. Siapakah “the executive” itu? Kata Abdullah Ayob (Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957 – 1963), DBP, 1978) “jikalau ia undang-undang buruh maka pejabat buruhlah yang menjalankan kemahuan undang-undang itu. Jika undang-undang itu bersangkut dengan perkara keamanan maka pejabat polislah yang menjalankannya. Oleh yang demikian badan ini bolehlah digelar badan yang melaksanakan perintah undang-undang yang dibuat oleh kerajaan atau ‘the executive” dalam bahasa Inggerisnya. Menteri-menteri, pegawai-pegawai kerajaan, polis, askar dan sebagainya adalah termasuk di dalam golongan ini.” Nah itulah para eksekutif. Eksekutif yang menjadi salah satu tunggak kerajaan yang memerintah. Dan kerajaan yang baik akan memerintah mengikut undang-undang (the rule of law). Kata Abdullah Ayob lagi “Negeri-negeri yang diperintah mengikut kaedah ini (rule of law) adalah diperintah mengikut undang-undang, dan negara-negara demokrasi biasanya adalah diperintah mengikut kaedah ini. Ini bererti pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan perintah yang tidak disokong oleh undang-undang boleh didakwa di mahkamah oleh pihak yang teraniaya. Tetapi bukanlah semua negara di dalam dunia ini diperintah mengikut kaedah ini. Di setengah-setengah negeri pihak yang berkuasa kadang-kadang bertindak sesuka hati mereka. Inilah bezanya di antara negeri yang diperintah mengikut undang-undang dan yang diperintah hawa nafsu. Kebebasan hanya akan dapat terjamin jikalau sesebuah negara itu diperintah mengikut undang-undang kerana dengan ada undang-undang itu sahajalah baharu rakyat mengetahui apa yang salah dan apa yang tidak salah.”
Tatkala Abdullah Ayob menulis buku ini dalam tahun 1978, mungkin tidak pernah terfikir olehnya bahawa dalam abad ke 21 sesetengah negara itu akan termasuk negaranya sendiri! Demikianlah ironisnya hidup ini. Saya tak fikir Abdullah Ayob terfikir hal-hal begini bakal menimpa negaranya sendiri.
Wah, luar biasa ini orang, fikir Pak Kassimin...ini bekas KSU.
Kita sering mendengar kata-kata bahawa para pegawai kerajaan mestilah dan hanya akan taat dan patuh kepada kerajaan yang memerintah (the government of the day). Sebabnya mudah. Rakyat memilih kerajaaan melalui pilihan raya. Sementara penjawat awam pula dilantik oleh DYYM Agong. Dia kekal sebagai hamba kepada rakyat walaupun siapa saja yang dilantik oleh rakyat untuk memerintah. Seseorang pegawai kerajaan tidak ada pilihan kecuali patuh kerajaan yang memerintah.
Sebagai manusia, seseorang penjawat awam tentu saja memiliki citarasa politiknya sendiri yang tidak diketahui sesiapa kecuali peti undi yang dihadapinya setiap lima tahun sekali. Ini bermakna parti yang didokonginya dengan seluruh jiwa raganya mungkin atau belum tentu menjadi pemerintah. Namun sebagai penjawat awam dia kekal menjadi penjawat awam. Sesiapa pun yang menang sebagai seorang penjawat awam, dia tidak ada pilihan lain kecuali patuh. Inilah dilemanya kepada mereka yang tidak megerti makna apatah lagi hayati semangat tulen demokrasi. Dalam sebuah negara bernama Malaysia sehingga ke saat ini ternyata hanya sebuah parti saja yang memerintah sejak negara itu merdeka tahun 1957. Demikian lamanya sehingga terdapat rakyat jelata yang melihat bahawa parti yang memerintah adalah kerajaan dan kerajaan itulah parti. Yang termasuk di dalam kelompok ini termasuklah penjawat awam. Ketabsuban yang melampaui batas, buta dan tuli terhadap makna dan semangat demokrasi tulen membuat sesetengah pegawai awam lupa peranan dan tanggungjawabnya yang sebenar. Sejarah gelap kerajaan Perak telah mendedahkan betapa teruknya perangai dan tingkah sesetengah penjawat awam kita. Kita yang melihat telatah manusia-manusia ini akan bertanya mahu ke mana penjawat-penjawat awam ini dalam sejarah perkhidmatan mereka?
Satu hari kelak, mereka para penjawat semua ini pasti bersara. Dan jika dipanjangkan umur, ditakdirkan seorang cucu yang cerdik mengetahui bahawa datuknya adalah di antara sekian ramai kepala petualang yang merampas kerajaan yang sah, apakah si cucu ini akan ketawa berdekah-dekah? Si cucu yang cerdik lagi celik akan hukum hakam haram-halal kehidupan, tersangatlah sedih dan begitu terhina...maka bertanyalah dia akan datuknya dengan penuh linangan air mata lara:
“Kenapa atuk bantu perompak?” Agaknya apakah jawapan seorang bekas pegawai tinggi kerajaan negeri Perak itu? Ingatlah tatkala itu, tiada lagi perks, pemandu, kereta mewah dari jenama terbagus ketika itu, elaun itu dan ini. Mungkin ada harta berjuta yang tak bakal habis dimakan cicit puit yang belum lahir. Mungkin. Yang jelas akan mungkin ada tongkat import untuk berdiri tegak dan tangan yang terketar-ketar menahan sakit akibat Parkinson. Mata juga sudah terlalu rabun, makan siangnya hanyalah roti mayat kering dicelup air sejuk. Doktor tidak lagi membenarkan makanan lain kecuali yang tiada itu dan ini.
Apakah mereka ini Abdullah bin Ubai, demikian yang terlintas di kepala Pak Kassimin.
Dalam perkhidmatan awam juga terdapat sekian ramai penjawat awam yang tidak rela kerajaan/parti lain yang memerintah kecuali yang ada sejak merdeka. Hidup dan matinya mestilah dengan parti itu, tiada lagi yang lain kecuali itu. Dia menangis sepuluh hari sepuluh malam apabila parti/kerajaan sejak merdeka kalah di lima buah negeri termasuk negerinya. Tatkala bekas ceo negerinya keluar menyerahkan tugas, penjawat awam ini masih membetulkan matanya yang bengkak kerana sedu sedan sepuluh hari sepuluh malam itu. Sepanjang hayatnya dia tidak pernah terfikir bahawa kerajaan/partinya akan tewas. Tak mungkin! Tak mungkin! Lama sebelum pilihanraya tatkala orang ramai termasuk teman-teman sejawat menyatakan bahawa kerajaan/parti yang memerintah sejak merdeka yang disokongnya separuh mati itu sudah amat mengarut dan lupa daratan, dia berdiri di atas meja, seraya menempik sekuat-kuat hati bahawa itu hanyalah fitnah jahat pembangkang. Tatkala orang riuh rendah bahawa ADUN sekian, EXCO sekian terlalu kaya dan hidup di luar kemampuan mereka dia menengking sehingga parau, “Siapa saja yang berkuasa mesti buat duit!” Tatkala persatuan penulis memuji-muji bahawa Melayu mesti dicari dan dipelihara dia tertawa-tawa terkekeh-kekeh. Inilah para pejuang Melayu tulen, katanya. Tatkala ramai yang merungut bahawa dasar-dasar yang dibuat parti/kerajaan yang memerintah sejak merdeka itu mementingkan kroni, dia juga marah-marah. “Mana ada di dunia ini orang besar tak ada kawan? Mana ada benda di dunia ini free, bayar TOL biasalah.”
Apabila Pak Kassimin balik ke pejabatnya, dia bertekad bahawa kerajaan yang bukan parti/kerajaan yang memerintah sejak merdeka ini mestilah dinyah dari bumi ini secepat yang mungkin! Kalau perlu biarlah sebelum pilihan raya yang akan datang.
Maka apabila ada khabar bahawa Dewan Yang Mulia itu akan diserang lanun pagi itu, dia meluru ke bilik untuk segera mandi dan segera siap ke Dewan. Isterinya juga terkejut besar! Apakah gerangan penyakitnya yang telah menyerang lakiku? Kenapakah pula meluru ke bilik air dalam keadaan telanjang bulat begitu? Untung juga anak dara sunti mereka masih belum bangun. Yang mula-mula terkejut besar tetapi suka bukan kepalang kemudiannya hanyalah Sudiarti, pembantu setia yang diimport dari Banyu Wangi, Jatim itu.
Ha..hah.. luar biasa Pak Kassimin, luar biasa, kok sampe kayak ayam togel??
Apakah Pak Kassimin juga Abdullah bin Ubai?
No comments:
Post a Comment