Monday, November 23, 2009

Berhati-hatilah dengan manusia Abdullah bin Ubai

Dinsman (Artikel 117, 20/11)
Berhati-hatilah dengan manusia Abdullah bin Ubai


Dalam dilemakah saya sekarang? Apabila seorang kawan baik lagi dihormati tiba-tiba didapati terjebak dalam satu konspirasi. Tapi tak pasti apakah dia sendiri sedar atau tidak. Atau mungkinkah dia telah diperalatkan oleh pihak konspirator, dan sifatnya yang tulus ikhlas itu menyebabkan dia pun tidak dapat mengenali rupa-rupanya di sana ada tersembunyi susuk Abdullah bin Ubai?

Ya, kata seorang kawan yang selalu kami bersama dalam aktiviti Paksi (Seniman Paksi Rakyat) mahupun BB (Budayawan Bertindak), sekarang ini susuk Abdullah bin Ubai ada di mana-mana – dalam perkhidmatan awam, dalam gerakan budaya, dalam gerakan agama, dan dalam politik apatah lagi.

Hairannya, saya telah membaca ada perkara yang pelik ini sejak dulu lagi. (Saya membacanya bersama Nasir Jani). Tetapi adanya faktor kawan dan hormat menyebabkan (selalunya) kita tidak meneruskan bacaan awal kita, sebaliknya kita cuba memadamkan bacaan asal kita itu, dan memujuk diri untuk membaca serentak dan senada dengan bacaan kawan-kawan.

Sekarang ternyata apa yang dibimbangkan itu rupa-rupanya itulah yang menjelma menjadi realiti, dan relitinya sangatlah hodoh. Hodoh, menyusahkan dan menyakitkan, dan kelihatannya sedang merosakkan dan meruntuhkan. (Memang kita telah membacanya, Nasir! Tetapi seperti yang selalu terjadi, bacaan orang-orang seni-budaya seperti kita akan dibaca balas dengan prasangka dan curiga. Maka kita pun terpaksa diam.)

Satu demi satu perkara yang kita tak ingini sedang berlaku kini. Runtuh satu demi satu. Dikoyakkan satu demi satu. Di sana dan di sini. Orang-orang yang menjadi harapan jemaah! Rupa-rupanya ada tangan hitam tersembunyi di sana dan di sini. Kita seperti tak percaya. Bagaimanakah kita boleh ‘tertipu’ dengan kawan-kawan kita sendiri, dan dengan orang-orang yang menjadi harapan jemaah?

Abdullah bin Ubai itu pernah menjelmakan dirinya dengan wajah yang sangat suci dan jiwa yang sangat zuhud dan tawadhuk suatu ketika tak lama dulu, hingga saya pun terpaksa menyatakan sedikit kesan waswas, di khalayak umum. Tetapi, seperti selalunya, orang berlalu begitu sahaja, dan Abdullah bin Ubai pun selalu terselamat, apatah lagi di zaman yang orang mudah terpesona dengan seseorang yang dianggap berkepakaran dalam dunia internet, walaupun belum tentu ada manfaatnya.

(Maka orang kita pun sanggup mencurahkan wang berjuta, dan apabila suatu projek menemui kegagalan, lalu wang dicurahkan lagi kepada projek yang lain, yang kadang-kadang serupa. Siapa percaya jemaah kita kekurangan dana!)

Maka marilah kita sama-sama belajar dan mengambil peringatan di saat-saat yang (walaupun) genting dan mencemaskan ini. Nampaknya kita perlulah lebih berhati-hati dengan susuk Abdullah bin Ubai yang mungkin sahaja berada di sebelah kita, atau dalam pejabat kita, atau dalam saf kepimpinan utama kita.

Kata seorang sahabat saya, “Manusia Abdullah bin Ubai memang banyak. Itu biasa dalam jemaah Islam. Ujian ‘kan perlu ada untuk buat penapisan ketaqwaan. Mana ada sejarah perjuangan tanpa pengkhianatan? Kita kenalah belajar mengenalnya.”

Dan sebeb itulah saya selalu menegur dan merungut tidak bersetuju (dan marah) apabila tokoh-tokoh pimpinan politik kita (Pakatan Rakyat) selalu menangguh atau tidak mahu ambil tahu cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pihak kami budayawan (penulis, seniman, cendekiawan), dengan alasan mereka sedang sibuk dengan hal-hal politik, yang dianggap mereka lebih urgent dan mesti didahulukan.

Janganlah begitu. Politik, politik juga, tetapi janganlah hanya politik sahaja yang dianggap penting dan yang selain politik itu tidak penting. Yang lain pun penting juga. Agenda kebudayaan dan kesenian pun penting dan mustahak. Saya sudah banyak kali menjelaskan mengapa agenda kebudayaan dan kesenian itu penting, untuk kehidupan manusia dan juga untuk orang-orang politik.

Perkara-perkara seperti muslihat dan liku-liku kemunafikan manusia jenis Abdullah bin Ubai ini. Kalau kita terlalu asyik dengan berpolitik sahaja, kita akan mudah terlepas pandang kepada hal-hal muslihat jahat mereka.

Seperti disebut tadi, saya dan Nasir Jani sudah ternampak perkara ini lebih awal dulu. Dan kami ternampak itu melalui aktiviti dan sudut pemikiran seni-budaya. Tetapi, seperti yang selalu tidak menyenangkan saya, orang politik yang ada kuasa selalu cepat menggunakan kuasanya bagi menutup ruang pilihan untuk orang lain sebelum (pada fikirannya) orang sempat melihat ruang pilihan itu.

Sebenarnya bukan orang tidak sempat melihat ruang pilihan itu, tetapi orang jadi malas hendak berhujah atau bertengkar dengan tokoh politik berkenaan sebab orang tahu yang dia akan cepat menggunakan kuasanya, sekiranya kita cuba berhujah. Itulah penyakitnya.

Saya teringat kepada seorang Menteri Kebudayaan kita. Dalam satu sesi interviu untuk sebuah majalah, saya seperti kebiasaan, menyanggah pendapat yang dikemukakan menteri itu dengan harapan dia akan membalas sanggahan saya. Rupa-rupanya tidak. Dia marahkan cara saya menginterviu. Katanya, dia saeorang menteri, saya tak boleh sanggah pendapatnya, saya hanya boleh mengemukakan soalan saja. (Padahal pendapatnya itu jelas-jelas salah).

Ha, itu menteri kebudayaan dan kesenian tu! Terlalu berpegang dan bergantung kepada kuasa politik yang ada pada tangannya, hingga menafikan hak-hak yang lain. Sedangkan jawatan menteri itu tidak semestinya secara automatik dia juga pandai dalam semua bidang.

Begitu jugalah dengan orang-orang politik kita Pakatan Rakyat (PK). Janganlah anggap jawatan Exco atau pemimpin dalam parti itu automatik anda juga pandai dalam semua hal, dan anda pun boleh menutup semua ruang pilihan untuk orang lain. Nanti tanpa anda sedari anda rupa-rupanya sedang melayani seorang Abdullah bin Ubai (yang memang pandai dalam kerja-kerja kemunafikannya), yang hanya menunggu saat dan ketika sahaja untuk meletupkan bomnya dan memusnahkan jemaah.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, akhir-akhir ini semakin ramai orang yang sedar akan bahaya manusia jenis Abdullah bin Ubai. Ramai orang yang meminta supaya saya hasilkan teater kisah Abdullah bin Ubai, dan pentaskannya merata-rata, seperti yang saya buat dengan kisah Kaab bin Malik dalam teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).

Saya bersetuju. Kisahnya memang menarik. Saya dan Qosim kawan saya pun cuba mencari bahan bacaan berkenaan Abdullah bin Ubai ini, tetapi belum berjumpa. Maka diharapkanlah kalau-kalau ada pembaca yang tahu atau ada buku berkenaan, sudilah hubungi kami.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel
dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)





No comments: