Monday, November 23, 2009

MKDT, Kualiti dan hubungan kaum

Dinsman (Artikel 118, 23/11)
MKDT, Qualiti dan hubungan kaum

Pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) yang ke-23, Rabu 11 November lalu, di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, adalah salah satu pementasan MKDT yang menarik. Itulah kali pertama MKDT dipentaskan khas untuk pegawai-pegawai sebuah jabatan, iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), sempena program Hari Qualiti dan Produktiviti mereka.

Bukan sahaja menarik kerana penontonnya terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan dalam sebuah jabatan, tetapi lebih menariknya kerana pihak LKIM itu memilih untuk mengadakan pementasan ini sempena program “Hari Qualiti dan Produktiviti” mereka.

Bagaimanakah teater MKDT boleh memberi sumbangan kepada kualiti dan produktiviti pegawai-pegawai di sebuah jabatan? Atau bagaimanakah pihak LKIM itu memikirkan bahawa teater MKDT adalah sesuai untuk ditonton oleh pegawai-pegawainya yang menjalani program Qualiti dan Produktiviti?

Khabarnya Ketua Menteri Lim Guan Eng pun berpendapat bahawa cerita Kaab bin Malik itu dapat membantu ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti kakitangan kerajaannya, maka oleh sebab itu dia menganjurkan pementasan itu dalam majlis yang wajib dihadiri oleh kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang, iaitu dalam acara rasmi sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Memang cukup menarik untuk kita perhatikan bagaimana respons dan reaksi pegawai-pegawai berkenaan itu sewaktu dalam sesi dialog selepas pementasan. Dan saya pun ingin bertanya kepada mereka – bagaimanakah gelagat dan sikap Kaab bin Malik mengatasi rasa bersalahnya kerana tidak mematuhi arahan Rasulullah saw, yang ditunjukkan dalam MKDT itu, boleh menyumbang atau meningkatkan kualiti dan produktiviti?

Sayangnya tarikh 11 November itu juga saya perlu hadir pada majlis Malam Padang Prihatin, yang diadakan di Dewan Cina Selangor, Kuala Lumpur; iaitu suatu malam amal kesenian pelbagai kaum, yang bertujuan mengumpul dana untuk mangsa gempabumi di Padang, Sumatra. Ia dianjurkan bersama oleh badan-badan NGO Cina, Melayu dan India, dengan inisiatifnya digerakkan oleh KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) dan LLG Cultural Development Centre. (Program ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM124 ribu).

Saya memilih untuk hadir Malam Padang Prihatin kerana ia merupakan usaha awal kami (Seniman Paksi Rakyat dan Budayawan Bertindak) ke arah menjalin hubungan pelbagai kaum yang lebih mesra di negara ini, melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan

Seperti kata kolumnis Lee Ban Chen, usaha menjalin hubungan pelbagai kaum di Malaysia telah banyak dilakukan, tetapi kebanyakannya gagal di pertengahan jalan, tidak berjaya mencapai matlamat. Memang betul. Saya pun pernah terlibat misalnya bersama tokoh teater Krishen Jit suatu waktu dulu, dimana beliau sanggup meninggalkan teater Inggeris untuk memajukan teater Melayu sebagai tunjang teater Malaysia, tetapi kemudiannya beliau kembali kepada teater Inggeris dan meninggalkan teater Melayu, dengan alasan kecewa dengan sikap tidak ikhlas kawan-kawan yang terlibat dalam usaha tersebut.

Keikhlasan amatlah penting. Malam Padang Prihatin mungkin kelihatan agak superficial kalau dilihat dari sudut matlamat yang murni itu. Tetapi saya melihat yang lebih pentingnya bukanlah hasil persembahan pada malam itu, tetapi proses pelaksanaan kerjanya. Di situlah berlakunya hubungan persefahaman yang sebenar. Dan di situlah harapan kami untuk diperkembangkan dan dilanjutkan dengan aktiviti-aktiviti yang lebih berkualiti di masa depan.

Maka saya memilih untuk bersama dengan kumpulan KLSCAH, LLG, Tamil Foundation dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan terpaksa meminta sahabat dari Kulim, Azizi Hj Abdullah, untuk mengambil tempat saya di Johor Bahru, berdialog dengan pegawai-pegawai LKIM selepas pementasan MKDT.

Terima kasih sdr Azizi, kerana sanggup membatalkan rancangannya untuk ke Langkawi, menghadiri majlis diskusi novel terbarunya, Daerah Beta, yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Teater semalam respons cukup baik,” kata Azizi melalui sms kepada saya pada pagi berikutnya.

Alhamdulillah, Hj Mohd Sudin, pegawai LKIM sendiri turut menyatakan puas hati dengan persembahan MKDT dalam program Qualiti dan Produktiviti mereka. “Ramai yang mengambil bahagian dalam sesi dialog,” katanya. “Tetapi kita terpaksa berhentikan sesi itu, walaupun masih ada yang ingin bercakap, kerana masa tidak mengizinkan.”

Kemudian, pada 18 November, MKDT dipentaskan pula untuk penonton peringkat sekolah menangah, tingkatan 1 hingga tingkatan 4, di Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER), Selangor. Pementasan dibuat di dalam surau sekolah tersebut.

Di sini terbukti pandangan saya terhadap reaksi pelajar-pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, pada 5 Oktober lalu, telah tersilap. Buat pertama kalinya menemui golongan pelajar remaja (lepasan SPM) yang menonton teater MKDT, saya hairan melihat mereka ketawa pada tempat-tempat tertentu (yang tak sepatutnya) sewaktu menonton.

Saya fikir mereka ketawa itu disebabkan tidak dapat menghayati pementasan tersebut, dan mereka tidak dapat menghayati pementasan itu adalah kerana mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama yang mencukupi. Rupa-rupanya pelajar sekolah agama, yang tentunya mempunyai latar belakang pendidikan agama, pun memberi reaksi yang serupa.

Sabri Yunus pun mengaku, ketika sesi dialog, yang lakonannya agak terganggu disebabkan reaksi kurang penghayatan di pihak penonton, walaupun persembahan dibuat di dalam surau. Ini menunjukkan ada faktor lain mengapa penonton remaja tidak dapat menghayati persembahan MKDT secara khusyuk. (Sedangkan dalam pementasan di Kolej Universiti Insaniah sebelumnya, tidak ada reaksi kurang penghayatan seperti itu).

Barangkali faktornya ialah kerana mereka menonton itu bersama dengan kawan-kawan mereka secara eksklusif. (Penonton luar kalau ada pun sedikit sangat). Tambahan pula mereka tinggal di asrama. Jadi, ada faktor-faktor dalaman kumpulan, yang mempengaruhi sikap mereka sewaktu menonton itu. Kalau mereka menonton bukan sesama grup/geng mereka, tetapi mereka hanya sebahagian daripada penonton lain yang lebih ramai, tentu tidak akan ada ketawa dan suara-suara sumbang itu.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel
dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)



No comments: