Dinsman (Artikel 112, 2/11)
Alhamdulillah, sambutan terhadap gerakan Budayawan Bertindak (BB) setakat ini amat menggalakkan. Syukurlah! Bahkan di luar dugaan para penggeraknya sendiri.
Baru saja tercetus idea penubuhannya pada 6 September, di Kuala Lumpur, secepat 3 Oktober sudah dilangsungkan aktiviti pertamanya, di Pulau Pinang, anjuran Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) bersama dengan Masjid Batu, Permatang Pauh; iaitu majlis “Puisi di Ambang Sore” dengan tema Bahasa Jiwa Bangsa.
Dan malam itu juga Teras Pengupayaan Melayu (Tras) menyertai mesyuarat kedua BB di Permatang Pauh, dan Presidennya Cikgu Azmi Ab Hamid berjanji akan menyiapkan kertas “10 Garis Besar” untuk dibincangkan sebagai agenda BB, dan kertas itupun kemudiannya sudah dikemukakan, dan kini menunggu hari untuk dibincangkan.
Hari itu juga seramai sembilan orang budayawan Cina dari LLG Cultural Development Centre (LLG) turun dari Kuala Lumpur, untuk menyertai acara pertama BB di Permatang Pauh.
Tidak berapa hari selepas itu Cikgu Goh Kean Seng dan kolumnis Lee Ban Chen memanggil kami hadir di suatu perjumpaan dengan LLG dan KL-Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), di dewan KLSCAH, Kuala Lumpur. Rupa-rupanya mereka sudah merancang untuk menganjurkan suatu malam kesenian sempena usaha mengutip derma untuk mangsa gempabumi di Padang, Sumatera. Malam yang dinamakan ‘Malam Padang Prihatin’ itu akan diadakan pada 11 November.
Tidak disebut bahawa gabungan badan-badan NGO yang menganjurkan kutipan derma dan malam amal itu (termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia – PKPIM, dan Tamil Foundation) sebagai Budayawan Bertindak (BB). Tetapi mereka yang terlibat dan bekerja melaksanakan program itu hampir kesemuanya adalah orang-orang yang hadir dalam mesyuarat pertama dan kedua BB
Sementara itu pihak Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan sudahpun bersetuju untuk menganjurkan suatu persembahan kesenian bersama dengan BB, di Kota Bharu, pada 20 November. Antara acara pentingnya ialah menampilkan penyanyi rakyat Meor Yusof Aziddin (Meor), yang baru saja dilancarkan albumnya oleh A.Samad Said, iaitu album Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR).
Sempena dengan acara persembahan itu, di mana ramai budayawan BB dari Kuala Lumpur akan hadir, pihak Paksi (Seniman Paksi Rakyat Malaysia) sebagai penggerak utama BB, sedang merancang untuk mengadakan suatu “Dialog Budayawan Bertindak”, bersama dengan penulis, seniman dan cendekiawan Kelantan.
Dan sementara itu Dr Alinor, Setiausaha Agung Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) mengajak saya dan kawan-kawan dalam BB untuk bertemu, bagi membincangkan kemungkinan mengadakan aktiviti bersama, di Negeri Sembilan. Pertemuan pun diadakan pada 27 Oktober, di suatu sudut di R&R Awan Besar, Lebuhraya Kesas. Turut hadir ialah Prof. Shaharir Mohd Zain (bekas Presiden ASASI) serta Nordin Ismail dan Ibrahim Yusuf dari Kesatuan Kesenian Warisan Nusantara, yang berpusat di Seremban.
Agak menarik, perbincangan itu berakhir dengan persetujuan untuk mengadakan suatu seminar mengenai Adat Perpatih dan nilai-nilai demokrasi serta hubungannya dengan budaya China. Dicadangkan ia akan diadakan di Seremban pada pertengahan Disember, dan akan melibatkan pihak-pihak yang berhubungan langsung dengan Adat Perpatih.
Dalam pada itu Cikgu Azmi (Tras) pula menghantar SMS mengesahkan bahawa sempena sambutan ulangtahun Tras yang akan berlangsung di Alor Setar pada 19 Disember, suatu persidangan Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malsysia akan diadakan, dan sempena dengan persidangan itu akan diadakan pula suatu Wacana Khas.
Pihak penggerak utama Budayawan Bertindak, daripada Paksi, diminta menjadi salah seorang panel dalam wacana itu, bagi menyatakan atau menjelaskan pendirian dan peranan BB dalam konteks berkenaan. Manakala pada malam esoknya pula akan diadakan ‘Malam Budayawan Bertindak’. Apakah dan bagaimanakah bentuk persembahannya, belum lagi ditentukan.
Demikianlah perkembangannya buat setakat ini, tanpa menyebut perancangan yang sedang disusun di Selangor dan Terengganu. Saya melihat hal ini sebagai tanda-tanda suatu kebang-kitan yang memang sudah dinanti-nantikan (secara senyap) oleh ramai budayawan kita. Maka sewaktu rakan-rakan Paksi membincangkan hal ini, kami menganggap ia sebagai sesuatu yang masih dalam proses pembentukan.
Memang pada mulanya ia dicetuskan sebagai idea untuk mengajak kawan-kawan budayawan (penulis, seniman, cendekiawan) menyatakan sokongan kepada perjuangan A.Samad Said. Dan idea itu memang mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Ditambah dengan idea supaya disertakan bersama aktiviti-aktiviti seni dan budaya yang boleh menarik minat golongan berkenaan, bagi menyatakan sokongan tersebut.
Maka Paksi sebagai penggerak utama Budayawan Bertindak pada masa ini mengambil sikap terbuka, dan bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak jua yang berminat, tanpa mengira perbezaan keturunan dan agama. Kita ingin melihat sejauh manakah seni dan budaya boleh berperanan sama-sama membangun manusia, bagi mengimbangi pembangunan positif dan negatif yang dibuat oleh orang-orang politik, orang-orang niaga dan orang-orang agama.
Ada pendapat mengatakan perjuangan orang-orang agama khasnya Islam tidak memerlukan kepada aktiviti seni-budaya bagi mengimbangi usaha-usaha pembangunan yang dijalankan mereka. Saya rasa barangkali krisis yang sedang melanda parti Islam PAS pada masa ini sudah cukup untuk berhujah mengatakan pendapat tersebut adalah salah.
Bukan Islam itu yang ada kekurangan atau kelemahan. Kita tidak bercakap mengenai Islam di sini, tetapi kita bercakap mengenai orang-orangnya, termasuklah pejuang-pejuangnya, yang perlu sentiasa berinteraksi di dalam masyarakat yang kini sentiasa terdedah kepada pelbagai gejala negatif dan jahat.
Dan ini pun hanya suatu hipotesis. Mungkin pandangan ini benar dan mungkin tidak. Seperti saya sebut tadi, kami bersikap terbuka, dan bersedia untuk menerima cadangan yang praktis. Bukan yang konseptual, tetapi yang praktis. Bgaimana?
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
No comments:
Post a Comment