Saturday, November 28, 2009

Dinsman (Artikel 119, 27/11)
Ariffahmi dan beberapa idea untuk gerakan Islam

Sedang saya dengan Barajiwa menikmati makan tengahari di sebuah restoran kecil di Jalan Kampung Sireh, berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, saya menerima telefon daripada Abdul Ariffahmi Ab Rahman, Ketua Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Selepas memberi salam dia menegur saya, “Nampak Dinsman sedap makan nasi tu! Berdua dengan Barajiwa saja?” Saya cuba mencari dia atau kereta dia di jalan di depan restoran, tapi tak nampak. Agaknya dia di dalam kereta, melintas di depan restoran dan nampak kami, kerana kami duduk di meja paling depan.

Saya memberitahu dia sekejap lagi kami akan ke pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), kerana temujanji untuk interviu Dato’ Mohd Aiseri SUK pukul 2.30. Waktu itu kira-kira hampir pukul 2.00 tengahari. Dia minta saya sampaikan salam kepada Dato’ SUK, kerana dia tak dapat ikut sama, katanya.

Ariffahmi ialah Ketua Editor majalah Qiadah. Ketika Qiadah menginterviu Dato’ Ahmad Yaakob (Timbalan Menteri Besar) dan Datuk Taqiyuddin Hassan (Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan) untuk Qiadah keluaran akhir Ramadhan, dia ikut bersama kami menginterviu.

Barangkali dia sibuk dengan urusan PMBK yang tengah panas diperkatakan orang – fikir saya. Tak mengapalah. Lepas makan kami pun menuju ke pejabat SUK. Di pintu pagar Kota Darulnaim bahagian belakang kami hampir terserempak dengan kereta Datu’ Mohd Aiseri. Dia keluar untuk bersama Menteri Besar pergi melawat mangsa banjir di Rantau Panjang – kami diberitahu.

Tak mengapa, kerana ada orang kedua yang hendak diinterviu petang itu. Kami pun menuju ke pejabat Dato’ Mohd Amar, Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah. Alhamdulillah, kami diminta tunggu sebentar, kerana dia sedang ada tetamu. Lagipun temujanji kami dengan dia sebenarnya pukul 3.30.

Selesai interviu itu kami pun mencari teh tarik di restoran Mamak Spicy, dan kebetulan berjanji juga dengan seorang kawan di situ. Ketika sedang menanti teh tarik itulah saya menerima SMS daripada seorang kawan, menceritakan apa yang telah berlaku di JKR 10 tengahari tadi. Rupa-rupanya tadi ada sidang akhbar Tok Guru Nik Aziz, yang turut disertai Ariffahmi, dan Tok Guru telahpun membuat kenyataan meminta Ariffahmi meletakkan jawatannya sebagai CEO PMBK, dan Ariffahmi pun telah menyatakan persetujuannya untuk meletak jawatan.

Saya menunjukkan SMS itu kepada Barajiwa, dan kami berpandangan. Seperti terpegun. Rupa-rupanya sewaktu Ariffahmi menelefon saya tadi, dia baru keluar dari JKR 10, setelah mendengar kenyataan TG Nik Aziz yang meminta dia meletak jawatan, dan dia pun baru saja membuat kenyataan mengaku akan meletak jawatan.

“Dia bercakap macam tak ada apa-apa berlaku pun,” kata saya kepada Barajiwa dan Usamah.

“Hebat dia. Luar biasa!” Ujar Barajiwa dengan ungkapan favoritnya itu.

Ya, nampaknya begitulah. Dia tenang menghadapi keadaan dan situasi yang begitu mencabar emosi manusia biasa. “Dia sudah bersedia untuk menghadapi situasi yang begitu,” kata saya.

Dan saya teringat minggu lalu, selepas mesyuarat Qiadah, dia berkata kepada saya dan Barajiwa, bahawa dia rela berundur dan meletakkan jawatan sekiranya itu adalah penyelesaian yang boleh memberi kebaikan kepada kerajaan dan parti pimpinan Tok Guru. “Tetapi Tok Guru meminta saya jangan letak jawatan,” katanya.

“Dan kelmarin pun, waktu kami lepas mengharung banjir di jalan PCB (Pantai Cahaya Bulan), dia menalifon saya, bertanya apakah saya fikir dia patut letak jawatan,” saya bercerita lagi kepada Usamah.

Benarlah seperti pengakuannya kepada media itu. “Saya sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan terutama apabila gesaan ini keluar dari mulut Tok Guru sendiri, kerana saya sentiasa patuh kepadanya.”

Tetapi orang telah bercerita macam-macam, yang kebanyakannya adalah cerita-cerita negatif mengenai Ir. Abdul Ariffahmi, menantu TG Nik Aziz Menteri Besar Kelantan ini. Saya pun jadi pening mendengar cerita-cerita itu. Dan bukanlah tujuan saya hendak memperpanjang-kan cerita-cerita yang entah sahih entah tidak itu di sini.

Saya hanya teringat kepada beberapa perkara yang saya sedang buat dan yang pernah saya bincangkan dengan dia untuk dibuat bersama di masa depan, yang saya pun tak tahu apa akan terjadi kepada rancangan-rancangan itu sekarang. Pertama, majalah Qiadah, yang sekarang sedang kami usahakan untuk keluaran kelima, dengan tema “Soul Campus”, iaitu melihat negeri Kelantan sekarang sebagai sebuah kampus pendidikan yang mengutamakan kerohanian.

Majalah Qiadah itu sendiri, saya fikir adalah sesuatu yang sangat bagus, yang boleh membantu mempromosi kerajaan Islam negeri Kelantan. Saya sanggup berulang-alik ke Kelantan hanya kerana saya percaya ia boleh membantu menjelaskan banyak perkara yang dibuat oleh pimpinan TG Nik Aziz yang selama ini kurang difahami dan kurang diketahui oleh orang ramai, terutamanya di luar Kelantan.

Kedua, Ariffahmi juga telah mengajak saya berbincang mengenai rancangannya untuk menerbitkan buku istimewa “20 Tahun Kelantan Membangun Bersama Islam”, dan sempena dengan itu juga dia bercadang hendak menerbitkan sebuah filem dokumentari mengenai kepimpinan Tok Guru Nik Aziz memajukan Kelantan secara Islam.

Di samping itu saya juga pernah berbincang dengannya mengenai idea-idea untuk memajukan syarikat Darul Digital, sebuah anak syarikat PMBK yang memfokus kepada animasi dan pengeluaran filem, dan dia juga telah menunjukkan minat kepada idea saya untuk membangunkan “Pusat Dokumentari Islam untuk Dunia”.

Itu semua adalah perkara-perkara dan idea-idea yang baik, yang saya fikir sangat perlu untuk Kelantan, untuk PAS dan untuk gerakan Islam umumnya. Saya berharap untuk bekerja melaksanakan idea-idea itu bersama dengan Ariffahmi. Sekarang dia tidak lagi bersama dengan PMBK, saya pun tertanya-tanya ke manakah pula saya nak harapkan supaya perkara-perkara itu boleh dijadikan realiti?

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)





No comments: