Saturday, November 28, 2009


Kalau-kalau kita sampai terlupa... lantas ada yang pernah berpesan begini:


"Namun saingan kita, musuh politik Pakatan, Umno dan sekutu-sekutunya juga bukanlah kayu mati yang boleh dikais begitu saja. Oleh sebab itu ungkapan-ungkapan mabuk euforia PRU12 seperti ‘Umno akan ditalkinkan’ atau ‘paku terakhir dalam keranda Umno’ dan ungkapan-ungkapan lain yang serupa dan sebangsa dengannya, sebaik-baiknya diberhentikan segera. Kita perlu yakin dan menelan hakikat yang memeritkan bahawa Umno itu tidak mungkin sampai ke titik kelok, bernama nazak itu dengan begitu mudah sekali. Kita perlu percaya bahawa sesungguhnya parti seperti Umno ini mampu melakukan apa saja yang tidak pernah terlintas dalam kepala kita. Dan kita juga mestilah yakin bahawa Umno memiliki dan menguasai segala-galanya yang ada dalam negara ini. ‘Segala-galanya’ yang dikuasai itu adalah senjata ampuh yang boleh digunakan terhadap musuh-musuh politiknya. Senjata-senjata yang pasti dihalakan terhadap musuh politiknya. Senjata yang digunakan tanpa rasa segan silu, tanpa rasa malu, tanpa rasa bersalah walau sedikit pun. Pemikiran ‘tanpa rasa segala-galanya kecuali terus berkuasa’ ini adalah sindrom orang-orang korup yang terlalu lama berkuasa. Segala senjata, segala arsenal yang ada pasti digunakannya, tanpa secuit rasa belas dan kasihan. Kenapa begitu? Ya, itulah Umno. Itulah profil manusia sejak azali lagi. Paksi hubungan manusia-kuasa-dan-harta yang tidak percaya akan hari akhirat. Lihatlah bagaimanakah Mugabeism masih bernafas walaupun sudah ditumbangkan rakyat. Dan yang tidak kurang penting kita mestilah menerima hakikat bahawa ‘segala-galanya’ yang ada dalam negara ini milik Umno dan itulah senjata-senjata Umno! Apakah kita masih yakin bahawa Umno boleh ditalkinkan dengan begitu mudah sekali? Oleh hal demikian fikirlah semasak-masaknya, bukan dua tiga kali malah seribu kali, sebelum ungkapan-ungkapan seperti ini digunakan lagi."


No comments: