Saturday, April 10, 2010

Cerpen Razali Endun (Disiarkan oleh Harakah)

……..akhirnya Kaab berkata benar


Kaab termenung panjang. Tangannya menopang dagunya yang tirus. Matanya terkebil-kebil macam burung ponggok merenung bulan. Fikirannya berkecamuk, berpusar-pusar bagaikan pusaran air di ampangan Genting Kelang. Semakin lama difikirkan semakin tidak tenteram perasaannya.


Dia berasa bersalah pula. Bersalah pada dirinya, pada orang ramai dan pada isterinya. Dia sedar, selama ini dia selalu tidak bercakap benar. Dia berbohong kepada bosnya, kepada kekawannya, kepada masyarakat kampungnya, malah kepada isteri dan anak-anaknya.


Semenjak pulang dari menonton teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan,’ dia berfikir panjang. Sebelum ini dia tidak pernah pun mahu berfikir, apa lagi tentang dirinya. Dia berasa terkesan menonton teater itu. Memang dia tidak pernah menonton teater sebelum teater yang baru ditontoni tadi malam. Itupun didesak oleh isterinya. Kalau tidak dia pun malas mahu pergi. Bagi Kaab berteater hanya berkhayalan dan membuang masa sahaja.


“Marilah bang, kita pergi tengok teater itu,” pujuk Siti Aisyah, isterinya yang cantik manis. Kaab diam. Dia seolah-olah tidak melayani rengekan isterinya.


“Apa yang menariknya tentang teater itu? Sebelum ini kamu tidak pernah pun ajak saya menonton teater?” secara mendadak soalan itu tercetus keluar dari mulut Kaab.


“ Teater ini menarik, bang. Ceritanya diambil dari hadis Nabi. Sudah banyak orang bercerita tentang teater ini. Lihat dalam akhbar pun disiarkan secara besar-besaran. Pelakon utamanya ialah Sabri Yunos didukung oleh Sani Sudin,” balas Siti dengan nada memujuk sembari mengunjukkan akhbar yang dimaksudkan.


“Sabri Yunos! Sani Sudin!” ulang Kaab persis berbisik. Dia tersenyum sumbing, bagaikan tidak percaya.

Kaab jadi pelik, apa jadahnya keduanya dipilih memegang watak yang berunsur hadis dan Islami. Seorang pelawak dan seorang lagi penyanyi. Tentu ada keistimewaannya maka pengarah teater itu memilih mereka.


Akhirnya dia tunduk pada pujukan isterinya. Dia tiba-tiba tertarik mahu menonton teater itu kerana mahu melihat lakonan Sabri membawa watak utama.


Malam itu dia melangkah megah masuk ke dalam dewan teater bersama isterinya. Itulah pertama kali dia bersama-sama isterinya bersantai menonton teater. Sebelum ini dia jarang sekali berjalan ke mana-mana bersama-sama isterinya. Perangainya pelik sedikit. Dia tidak suka berjalan bersama-sama isterinya. Dia khuatir segala rahsia dan pembohongannya akan terbongkar.


Kaab terkejut, watak utama dalam teater itu sama dengan namanya. Terasa pula semacam penulis skrip ini mahu menyindir dia pula. “Tapi itu Kaab sahabat Nabi, Aku bukan sahabat Nabi,” fikirnya dalam gelap katup dewan.


Dia menumpukan perhatiannya kepada teater itu. Dia mendengar dengan teliti dialog yang diucapkan oleh Sabri. Dia turut menitiskan air mata apabila Kaab bersimpuh menangis di atas pentas menyesali perbuatannya cuba mahu mencari alasan membohongi Nabi.

Kaab di bawah pentas terkesan, watak itu bagaikan watak dia. Bezanya, dia selalu mencari alasan membohongi isterinya. Terasa berdosa pula dia kepada isterinya. Malah kepada Allah juga dia berasa berdosa. Dalam diam dia beristighafar dalam hatinya.


Kaab menyika air matanya dengan sapu tangannya dalam cahaya samar-samar itu. Dia harap isterinya yang duduk di sebelahnya tidak perasan perbuatannya itu. ‘Malu! Kalau lelaki menangis. Bukan lelaki kalau mudah menangis,’ pesan neneknya suatu ketika dahulu. Apa lagi seorang lelaki menangis hanya kerana menonton teater. Hilang ego kejantanannya.



Kaab di atas pentas akhirnya memilih untuk berkata benar. Keberaniannya untuk berkata benar diterima Allah. Dia berasa lega dan gembira apabila kesalahannya diampuni oleh Tuhan. Kata-kata dari Tuhan itulah yang ditunggunya selama ini.

ii

Sekembalinya dia ke rumah, Kaab berfikir panjang. Dia terasa teruja dengan mesej yang cuba disampaikan oleh teater itu. Sekarang, apakah dia harus berkata benar seperti Kaab dalam teater itu? Kaab di dalam teater itu berhadapan dengan Nabi dan Allah. Dia berhadapan dengan isteri dan Allah juga. Yang paling sukar ialah menghadapi isterinya yang wujud secara fizikal, sedang Allah dia tidak nampak.


Apakah dia harus berkata benar? Inilah yang sedang difikirkan. Inilah yang payah hendak dilaksanakan. Tentu isterinya akan tersentuh hati. Akan berasa marah. Akan berlaku perang besar nanti apabila dia berkata benar. Kalau berlanjutan peperangan itu tentu rumah tangganya akan runtuh. Ini yang cuba dielakkannya. Dia tidak mahu merobohkan menara cinta yang dibina semenjak dua puluh tahun lalu. Inilah yang menjadi dilemanya semenjak menonton teater Menunggu Kata Dari Tuhan itu. Sebelum itu dia tidak pernah pun mahu berfikir untuk berkata benar. Baginya, di dunia yang penuh kepalsuan ini, kebenaran hanya satu pembohongan.



Dia merenung dirinya. Dia muhasabah dirinya. Baru dia perasaan selama ini dia sudah banyak membuat dosa. Dosa kepada isterinya, kepada masyarakatnya malah kepada Tuhannya. Sudah sampai masanya dia berkata benar. Sudah sampai masanya dia berhadapan dengan isterinya sebagai anak jantan, semata-mata mahu berkata benar. Sudah sampai juga masanya dia berani berkata benar kepada Tuhannya. Memohon keampunan daripadaNya.


“Jauh menungnya bang! Teringat kekasih lama ke?” Kaab tersentak, mematikan lamunannya apabila gemersik suara isterinya menyentak lubang telinganya. Dia terbelenggu di dalam bilah-bilah jarang serkap isterinya.

Bagaimana isterinya tahu apa yang sedang difikirkan? Kaab jadi pelik. Isterinya seolah-olah sudah mengetahui rahsia yang cuba dirahsiakannya itu. Memang benar, sudah tiga tahun dia menjalin hubungan sulit dengan bekas kekasihnya. Dia sudah menduakan isterinya. Dia bermain kayu tiga di belakang isterinya. Inilah dosanya. Dosa menduakan isterinya. Dosa kepada Tuhannya kerana bermukah dengan wanita yang bukan mahramnya.



Kaab merenung tajam wajah isterinya. Wajah polos isterinya itu dimamah sepuas-puasnya. Baru dia perasaan kejelitaan isterinya pada wajah polosnya. Selama ini dia tidak pernah memuja kejelitaan isterinya. Isterinya bagaikan belacu buruk di rumahnya. Dia mula mencari sutera di luar. Meskipun sutera itu cantik di pandang mata, tetapi itu bukan miliknya. Dia meramas, mengusap, mencium, membelai sutera itu penuh kasih dan sayang. Belacu buruk di rumahnya dibiarkan terkontang-konteng dahaga dan kehausan dalam kolam kasih yang kekontangan.



Dia cuba mahu berkata benar kepada isterinya. Dadanya sebak, tidak tertanggung lagi tekanan perasaan bersalahnya. Dia teragak-agak, mahu berkata benar atau tidak. Apakah dengan berkata benar akan menyelesaikan masalahnya atau akan menimbulkan lagi banyak masalah? Kalaupun Siti, isterinya tidak tahu rahsianya, tetapi Allah pasti tahu segala perbuatannya. Allah itu bukankah Maha Mengetahui sifatNya?


Ah! kalut! kalut! fikirannya jadi buntu. Di antara berkata benar dengan berkata bohong bersiponggang di dalam jemalanya. Sampai bila aku harus berbohong? Terlintas dalam benak fikirnya. Sampai bila harus aku tanggung dosa ini? Bisik hati kecilnya.


“Hei! Macam ada rahsia yang disembunyikan!” suara sinis isterinya menjolok kuat lubang telinganya. Ungkapan isterinya itu mendorong keazamannya untuk berkata benar. Sudah sampai masanya dia mesti berkata benar seperti Kaab dalam teater yang baru ditontoninya.


“Siti!” suaranya lemah. Tidak tergamak dia mahu meneruskan kata-katanya. Siti menongak merenung anak mata suaminya. Kaab tidak betah bertahan lama menerima tikaman sinaran mata isterinya.


Kaab sebak. Dia cuba mahu berkata-kata tetapi kerongkongnya menyekat peti suaranya. Dia cuba sedaya upaya memecahkan suaranya dan tidak semena-mena mulutnya mengeluarkan suara sebak dan garau, “Abang minta maaf pada Siti. Selama ini abang berdosa pada Siti…..” sampai di situ kata-katanya putus. Dia tidak dapat menahan tangisannya. Dia menangis teresak-esak.


“Apa yang abang telah lakukan terhadap Siti?” soal Siti lurus dan polos.


“Abang telah menduakan Siti,” esakan Kaab bertambah kencang. “Maafkan abang ya Siti,” terusnya dengan nada suara kesal.


Siti menerkam Kaab. Dia memeluk tubuh Kaab erat. Kaab hairan, pengakuannya tidak menimbulkan kemarahan isterinya. Merasai kehangatan tubuh Siti, Kaab merangkul erat tubuh mongel isterinya. Baru dirasanya betapa nikmat memeluk belacu buruk yang ditinggalkan kekontangan itu. Siti turut menangis dalam pelukan suaminya. Sambil teresak-esak Siti berkata, “Siti pun mohon ampun dan maaf daripada abang. Selama ini Siti juga berdosa kepada abang. Kita sama-sama bertaubat ya bang! Semoga Allah ampuni dosa-dosa kita.”


“Dosa kepada abang? Apa dosa Siti?” bagaikan orang bebal Kaab mengajukan pertanyaan kepada isterinya. Sepanjang yang dia ingat isterinya taat kepadanya. Tidak pernah membuat dosa padanya.


“Siti pun telah menduakan abang,” jawab Siti dengan esakan yang semakin kencang. Kaab terkejut, bagaikan halilintar menyambar tubuhnya. Kepalanya tiba-tiba bengal, seperti dipukul dengan belantan. Jemalanya semakin berat persis seton bongkah batu berada di atas pundaknya.


“Apakah ini benar?” Kaab bagaikan tidak percaya.


“Ya! sudah sampai masanya kita berkata benar,” Siti mendakap erat tubuh Kaab. Kaab menjadi serba salah. Dia cuba merenggangkan pelukannya, akan tetapi Siti masih merangkulnya kuat. Mahu ditempeling sahaja perempuan durjana itu. Tetapi apabila difikirkan bahawa dia juga turut kotor macam belacu buruk itu, dia simpan hasratnya itu. Terasa pula, dia bukan sahaja sebagai belacu buruk tetapi perca kotor yang dibuang di tempat pembuangan sampah.



Kaab tidak dapat berkata-kata. Lidahnya kelu, mulutnya bisu. Inilah musibah yang harus ditanggungnya setelah berkata benar. Kaab teringat kata-kata seorang ustaz, “perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat.”



Kaab menahan sedih. Dia bermunajat kepada Allah minta diampuni dosa-dosanya dan dosa-dosa isterinya.



Kaab melangut. Ada cahaya benderang di langit lazuardi.





No comments: