Monday, April 12, 2010
Meragi dan menggaramkan kehidupan ini
Ragi? Ya, contohnya ragi untuk tapai pulut. Dari segi berat atau isipadunya, ia tidak perlu banyak. Misalnya untuk membuat tapai pulut, raginya hanya sedikit ― dibandingkan dengan beras pulut yang mahu ditapaikan. Jika ditimbang, apakah peratus kehadiran ragi itu mencecah 0.0001%? Mungkin tidak.
Itu tapai pulut. Bagaimana pula dengan lauk peneman nasi, apakah cukup asam garamnya? Kalau melampau-lampau cilinya, masak lemak bakal kehilangan nikmat serinya sebagai masak lemak. Untuk yang agak cerewet atau peka dengan nikmat secukup rasanya, ketiadaan garam yang mencukupi tidak akan membawa apa-apa makna kepada masak lemak. Hidangan, supaya enak tidak boleh kekurangan garam sehinggakan ia tawar heber.
Ketika di sekolah menengah dulu, kita juga diajar bagaimana mahu menyediakan gas oksigennya di makmal. Ada campuran mangan dioksida, MnO2 dan potassium permanganate KClO3, pepejal hablur ungu. Sebagai pemangkin, ia tidak perlu banyak, cuma sedikit saja. Dan sebagai pemangkin atau catalyst ia amat diperlukan jika oksigen yang kita ingin racik. Ya, walaupun sedikit tapi sangat bermakna.
Dalam kehidupan sehari-hari, kita temui ramai sekali manusia yang pandai-pandai dalam masyarakat. Jika kepandaian itu diukur dengan gelung-gelung ijazah yang diusung dan gelar-gelar yang ditauliahkan oleh pelbagai institusi masyarakat, memang benarlah di Malaysia kita sekarang ini, ramai sekali manusia pandai. Dan sesekali, jika bernasib baik kita juga bertemu dengan manusia yang bijaksana yang tdak pernah bersekolah. Ini bermakna dia tidak begelar dan tidak pula berijazah namun ia sangat bijaksana.
Kesimpulannya?
Untuk meragi dan menggaramkan kehidupan ini, kita tidak selalu perlukan orang-orang bergelar dan berijazah yang berjela-jela. Kita perlukan ragi dan garam.
Bagaimanakah agaknya menterjemahkan sisi-sisi kehidupan seperti ini supaya ia menjadi bait-bait puitis?
Labels:
bahasa alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment