Friday, April 16, 2010

Hanya sekitar diri




Seorang penulis utara tanah air Ahmad J. Husein dalam artikelnya bertajuk “ Alahai sastera Melayu” dalam akhbar ‘Kabar era Pakatan’ bilangan 1 melihat bahawa rakyat Malaysia termasuk para sasterawan sangat terpengaruh dengan segala yang dari luar, termasuk Indonesia. Kata penulis ini, ‘Orang Melayu Malaysia memang suka menyanjung apa saja yang datang dari Indonesia. Lagu, filem, drama, teater, cerpen sebagainya’.

Ungkapan itu mengingatkan saya tentang satu dua perkara@peristiwa:


Peristiwa satu:


Seorang guru wanita Melayu pernah berkata, rata-rata rakyat Malaysia sekarang sangat kasihkan diri mereka sendiri. Tambah guru yang pernah belajar di Amerika dan kini menjadikan bidang pendidikan sebagai wadah perjuangannya bahawa dalam segala hal kita mestilah fikirkan tentang diri kita terlebih dulu.

Nada ulasan guru ini bukanlah tidak bersebab. Ketika itu kami bersama Baseerah, isterinya Luqman pelajar Phd UIAM warga negara Nigeria yang ditahan di bawah ISA dan kemudiannya dieksport keluar tanpa pengetahuan isterinya. Baseerah terkapa-kapa dan terkapai-kapai tidak mengerti apakah yang perlu dibuatnya. Mujurlah melalui beberapa orang teman sekuliah, nasib ibu muda ini diketahui juga akhirnya.

Tanpa sang suami, tiada lagi makanan untuk mereka berempat. Anak-anak hanya minum air sejuk. Tatkala bertemu Baseerah, ibu muda ini masih mampu berkata itulah qada dan qadr yang perlu diterimanya kerana itulah ketentuan Allah. Saya teringat akan kisah unta yang tidak ditambat kerana kepercayaan mutlak dan bulat-bulat kepada qada dan qadr!


“Thank you very much, Malaysians are very good people...”


Pertama kali mengetahui tragedi ini, saya teringat akan Sdr Ahmad Lutfi yang sedang sakit-sakit dan masih lagi sakit-sakit, dan kepada beliaulah saya mengadu. Sdr Wan Norden telah dihantar Harakah untuk bertemu dengan ibu muda ini.


Pemerhatian kedua:


Tulisan Ahmad J Husein ini juga mengingatkan kepada satu lagi senario yang sekian lama berlegar dalam benak. Katakanlah bahasa Melayu itu digunakan dengan begitu meluas oleh SELURUH rakyat Filipina dan juga rakyat Thai, saya tidak terkejut jika rakyat Malaysia termasuk para sasterawannya akan berebut-rebut dengan bahan-bahan eksportnya kedua-dua buah negara jiran itu. Dan bahasa Melayu adalah salah satu daripada sekian banyak bahan eksportnya.


Anak-anak muda kita terlonjak-lonjak dengan budaya Barat/Amerika kerana itulah salah satu komoditinya yang dieksport Barat kepada kita. Anak-anak muda Jepun, sama seperti anak-anak muda kita juga teruja dengan segala yang Amerika walaupun di mata kita Jepun itu sangat gagah dan mantap ekonomi dan teknologinya, namun ia masih tunduk kepada Amerika.



Pemerhatian ketiga:


Tatkala meneliti rak-rak kedai buku seorang sahabat, saya temui “Beijing Doll” oleh Chun Sue yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Gambar hiasan kulit luarnya yang membawa label “Kontroversial. Dilarang di Cina” juga sudah begitu sekali mengancam. Di situ kita dapat teliti pengalaman anak gadis yang berusia tujuh belas tahun ini dalam novel pertamanya. Gaya hidup, muzik, pemikiran, budaya yang dibawanya tentulah sangat anarkis untuk sesetengah manusia kita. Katanya buku itu sangat digemari anak-anak muda di Negeri Cina.



Persoalan:


i) Dalam senario yang sedemikian kompleks, apakah terdaya kita membina pagar dan dinding untuk mengurung pemikiran seluruh umat manusia yang menghuni bumi Malaysia kita ini? Dan dengan wujudnya pagar dan tembok ajaib kita itu, maka kita pun yakin bahawa semuanya menjadi lebih aman?


ii) Apakah kita yakin bahawa semuanya akan baik-baik dan selamat jika kita hanya melihat ke dalam diri kita saja?


iii) Apakah kita belum yakin bahawa bahasa dan budaya juga alat untuk menjajah dan penjajahan juga tersebar melalui bahasa?


iv) Apakah cabaran seperti ini dihadapi hanya oleh para sasterawan dan budayawan seperti Ahmad J Hussein saja? Bagaimana dengan para ulamak kita dan bagaimana pula agaknya sikap pemerintah kita?


v) Kes Luqman dan Basheerah adalah kes nyata. Dan untuk sebuah negara yang begitu mabuk berwawasan _ demi untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020, apakah episod ini selari dengan semangat dan roh wasawan tersebut? Apa pula kata para pemikir 1Malaysia? Apakah mereka terlupa dengan manisfesto agung seorang mantan pemimpin besar mereka?


vi) Apakah tempikan “Hidup Melayu” oleh PERKASA(M) dan segala klonnya bakal mengusir semua anasir itu?




Penutup:


Kita semua perlu keluar dari ke pompong diri. Tidak ada pagar dan tembok yang mampu melindungi kita dari segala pengaruh luar. Tidak ada lagi. Tidak ada, kecuali...


Dunia kini, semakin mengecil.



No comments: