Sunday, April 18, 2010
Dari blognya Rahimidin
Saya petik (dengan izin) sesuatu yang menarik dari laman Perjalanan Salik, Rahimidin Zahari, untuk renungan bersama. Sila nikmati:
"Cintaku Sampai Ke Tulang Hitam
Malam itu tak ada kuliah di balaisah kampung kami. Jadi selepas maghribnya, ada makmun yang balik ke rumah, dan akan datang semula untuk solat Isyak. Sambil menunggu Isyak, Pak Da Him (Ibrahim Che Ahmad) mula membuka ceritanya. Pak Da Him, sekitar 76 tahun usianya, tetapi masih boleh mengayuh basikal dari kampung kami ke bandar Kota Bharu yang jaraknya sekitar 16km.
Dia sebenarnya amat banyak jasanya kepada saya. Kerana beliau bekerja di Kota Bharu, setiap bulan saya akan kirimkan majalah Dewan Sastera dan apa-apa buku yang ingin saya beli sejak tahun 1984. Saya akan tuliskan judul dan berikan wang kepadanya minta tolong belikan buku untuk saya. Dia yang memang tahu saya penulis, malam itu menceritakan kepada saya sebuah anekdot: Cintaku Sampai Ke Tulang Hitam:
Di sebuah negeri entah berantah, ada sepasang suami isteri yang sudah lama berkahwin. Kedua-duanya saling cinta mencintai, tetapi pasangan itu tidak memperolehi seorang pun cahaya mata. Pada suatu malam, si isteri bertanya kepada si suami, “sebanyak manakah cinta kanda kepada adinda?” Jawab suami, “Cinta kanda amat besar dan mendalam, sebanyak bintang di langit.” Seronoklah isterinya apabila mendapat pengakuan daripada suaminya.
Lalu bertanya pula suami kepada isterinya yang cantik itu, “sejauh manakah pula cinta dinda kepada kanda?” Jawab si isteri, “Cinta dinda kepada kanda jauh sampai ke tulang hitam.” Masing-masing berseronoklah mendengar dan menerima pengakuan cinta masing-masing. Tiba-tiba, tanpa diduga si suami terlebih dahulu meninggal dunia. Dan isteri yang setia dan cintakan suaminya itu menyimpanlah mayat suaminya, sehinggalah mayat itu mereput dan yang tinggal hanya tulang-temulangnya.
Setelah diketahui dirinya menjanda, ramailah yang berhasrat untuk masuk meminangnya. Terdapat anak-anak raja dan menteri yang teringin untuk berkahwin dengan janda muda dan cantik tersebut. Tetapi semuanya ditolak. Dia tidak sanggup memungkiri janji kepada arwah suaminya, bahawa cintanya sampai ke tulang hitam.
Beberapa bulan kemudian, muncullah seorang pemuda di kampung tersebut dengan memikul sebuah guni. Dia pun singgah di halaman rumah janda muda yang cantik pada suatu malam. Ketika itu bulan sedang mengambang di langit. Dan janda itu berada di halaman rumahnya dengan kolam yang jernih dengan kerangka tulang suaminya. Bertanyalah si janda “Apakah yang kamu bawa di dalam guni itu, wahai pemuda.” Jawab pemuda itu, “Aku membawa tulang isteriku. Aku pernah berjanji dengannya, bahawa cintaku sampai ke tulang hitam.”
Tanpa pengetahuan si janda itu, si pemuda telah mengikatkan tali antara tulang-tulang dari dalam guninya dengan tulang-tulang suami milik si janda. Kemudian tali-tali itu ditarik-tarik sehingga terdengar bunyi tulang yang berlaga-laga.
“Celaka punya tulang, tak boleh berjumpa. Mereka rupa-rupanya saling mencintai.” Kata si pemuda.
“Benar, tak kusangka tulang-tulang ini tidak boleh dipercayai.”
“Kalau begitu, kita berkahwin saja,” kata pemuda kepada si janda cantik.
Dan berkahwinlah pemuda itu dengan janda yang cantik.
“Siapa yang cerdik, pemuda atau tukang cerita?” Tanya Pak Da Him kepada saya. Ketika itu, Pak Muda, bapa saudara saya sudah bangun untuk melaungkan azan Isyak."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment