Sunday, May 23, 2010

Aduhai lemah dan malangnya intelektual kita! WB Dinsman


Dinsman (Artikel 162, 14/5)


“Mari kita berkata benar.” Itulah tajuk percakapan yang dipilih oleh Kassim Muhamad (Barajiwa) untuk diucapkan di hadapan para penulis, budayawan dan peminat seni dari Kelantan, Kedah dan Perlis yang hadir di suatu majlis diskusi buku yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Timur, Kota Bharu, pada 1 Mei lalu.


Majlis itu asalnya anjuran Seniman Paksi Rakyat dan Budayawan Bertindak untuk bercakap-cakap seni dengan anak-anak muda peminat seni di Kota Bharu, sambil membuat diskusi buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak” (KEBB) secara santai dan tidak formal. Tetapi atas cadangan Fattah Mahmood, Exco Pembangunan Insan, Belia dan NGO Kelantan, ia dibuat bersama dengan Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Dan kebetulan PPK hari itu menjadi tuan rumah kepada serombongan penulis-penulis dari Kedah (Asasi) dan Perlis, maka terjadilah majlis itu sedemikian. Alhamdulillah, suatu kebetulan yang sangat berhikmah.

Ya, Kassim Muhamad orang kuat Seniman Paksi Rakyat dan Budayawan Bertindak (BB) itu sudah sekian lama memerhati gelagat dan situasi masyarakat Malaysia hari ini. Dari pemerhatiannya itu dia membuat kesimpulan bahawa apa yang paling diperlukan sekarang ialah manusia-manusia yang berani bercakap benar.

Inilah suatu nilai kemanusiaan yang sedang pupus hari ini. Berkata benar! Sebenarnya inilah persoalan yang diungkapkan oleh kesemua lima orang pembicara dalam majlis itu – Azizi Hj Abdullah (yang datang bersma rombongan dari Kedah, dan diminta menjadi pengerusi majlis), Anbakri, saya sendiri, dan juga Ahmad Mustaffa (Adun Demit) yang hadir mewakili Fattah Mahmood merasmikan majlis itu.

Memang setiap kami memberi fokus dan membincangkan beberapa perkara lain lagi. Tetapi intipati percakapan tidaklah lari daripada soal berkata benar itu. Sesuatu yang amat jarang atau mungkin sudah lama tidak pernah diperkatakan oleh para penulis dan budayawan kita. Maka tidak hairanlah di antara soalan atau pernyataan yang terkeluar daripada penulis yang hadir, ialah:

Pertama, kalau kita berkata yang benar dengan pihak pemerintah hari ini, bagaimana pula nantinya kalau pemerintah bertukar? Apakah kebenaran juga perlu bertukar? Kedua, kalau kita menulis kebenaran yang bertentangan dengan kerajaan hari ini, di manakah karya-karya kita boleh disiarkan?

Sangat menarik. Kedua-duanya adalah soalan yang sekaligus juga adalah pernyataan. Pertama, mengenai kebenaran. Lihatlah bagaimana ia dihubungkan dengan pemerintahan. Saya tidak pasti apakah penulis yang bertanya itu sengaja hendak memprovokasi atau memang dia ikhlas berfikiran demikian. Namun apa pun, yang penting ialah mesej daripada soalan itu.

Lihatlah bagaimana ‘kebenaran’ dan ‘berkata benar’ telah dihubungkan dengan kerajaan yang memerintah. Ini adalah satu kekeliruan. Tetapi kekeliruan ini (oleh sebab disokong oleh pelbagai faktor) telah begitu lama terjadi dan telah mencair dan bersebati dengan amalan harian, hingga tidak terasa lagi ia suatu kekeliruan (bagi golongan tertentu).

Dan aneh serta tragisnya, golongan penulis dan sasterawan juga terperangkap dalam kekeliruan itu, tanpa mereka sedari.

Maka saya menyatakan dengan tegas dalam majlis itu bahawa kebenaran adalah kebenaran. Ia tidak ada hubungan dengan kerajaan yang memerintah. Siapa pun yang memerintah, kebenaran adalah sama, dan tidak berubah. Yang pentingnya kita harus kenal dan tahu apakah itu kebenaran. Kita harus kenal dan tahu yang mana yang benar dan yang mana yang salah (tidak benar).

Maka apabila Kassim Muhamad berkata “Marilah kita berkata benar”, dia seharusnya sedar bahawa dia juga perlu menjelaskan (mengajar) mereka mengenai apa yang dimaksudkan dengan “berkata benar” itu. Dan apabila kita menyedari bahawa penulis dan budayawan kita hari ini sudah menjadi begitu keliru dengan maksud “kebenaran” dan “berkata benar” – nah, anda fikirkanlah apa-apa yang berbangkit selanjutnya.

Hal ini atau hakikat mengenai kekeliruan terhadap “kebenaran” dan “berkata benar” ini, kami lanjutkan lagi wacananya dalam sepanjang perjalanan ke Johor Bahru dan balik ke Kuala Lumpur pada 9 Mei, bersama seorang pensyarah universiti yang aktif dalam sebuah NGO akademik, yang turut menyertai kami dalam suatu aktiviti budaya di Kempas, dan pulang dalam perjalanan yang berakhir jam lima pagi itu.

Mengikut pensyarah sains matematik yang aktif dalam Akademi Sains Islam Malaysia itu, hari ini terlalu sukar untuk kita temui pensyarah yang berani untuk mempertahankan kebenaran, atau ‘berkata benar’. Masing-masing terlalu memikirkan masa depan karier mereka sendiri, dan terlalu takut untuk dilihat sebagai ‘menentang kerajaan’, kerana ia boleh menyebabkan mereka tidak akan dinaikkan pangkat dan gaji.

“Bahkan kerja-kerja penyelidikan pun sangat bergantung kepada projek yang dibiayai oleh kerajaan,” katanya. “Kebanyakan penyelidikan bukan dibuat berdasarkan keperluan ilmu atau akademik, atau keperluan untuk mempertahankan kebenaran; tetapi dibuat berdasarkan keperluan kerajaan semasa atau tepatnya keperluan pemimpin tertentu.”

Contohnya penyelidikan dan seminar yang dibuat mengenai “Islam Hadhari”, atas keperluan kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Sekarang apa terjadi kepada penyelidikan tersebut?

Maka rancangan BB untuk mengadakan majlis Bicara Buku KEBB di universiti-universiti pun terpaksa dibatalkan. Sebab apa? Sebab pensyarah-pensyarah yang nampak macam “berani berkata benar” pun, rupa-rupanya takut kalau-kalau mereka akan kelihatan seperti hendak membuat sesuatu yang bertentangan dengan kemahuan pimpinan kerajaan (BN).

Malah, kata pensyarah yang turut menjual sebuah buku hasil penyelidikan yang dibuat oleh Prof. Shaharir Mohd Zain mengenai kepemimpinan dan pengurusan rumpun Melayu, di majlis ceramah di Kempas itu, “buku akademik seperti ini pun lebih banyak boleh dijual di majlis-majlis budaya di luar universiti, daripada kalangan akademik di dalam universiti.”

Maka merujuk kembali kepada soalan kedua yang diajukan oleh penulis tadi, saya katakan kepada kawan-kawan diskusi di Kempas, Johor itu, “Mereka itu sanggup menulis menafikan kebenaran kerana yang itu yang disiarkan dalam media perdana. Maksudnya, kebenaran sama sekali tidak penting bagi mereka. Yang lebih penting ialah melihat karya mereka disiarkan, walaupun harus berdusta..”

Dan fenomena yang sama berlaku di universiti. Para ilmuan kita akan membuat penyelidikan di mana ada dana yang disediakan, dan mengikut keperluan pihak yang menyediakan dana. Aduhai.. lemah dan malangnya intelektual kita!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)


No comments: