Sunday, May 23, 2010



‘Benar’ yang tiba-tiba liar


Rencana asalnya bertujuan mengumpulkan orang-orang muda sekitar ibu negeri Cik Siti Wan Kembang. Orang muda yang aktif berteater, tekun berseni foto dan sangat berminat untuk terjun dalam pelbagai kegiatan seni, budaya dan keilmuan. Ada yang guru, ada mencari rezeki sebagai pensyarah dan ada juga yang berdagang buku-buku serius lewat pasaran maya.

Mereka semua berhasrat berkumpul dan disatukan untuk berbuat sesuatu sebelum mati. Ini menjadi mungkin kerana wujudnya Budayawan Bertindak (BB), pimpinan Dinsman yang juga mengendalikan sebuah kolumn Wacana Budaya dalam setiap keluaran Harakah. Interaksi seperti ini menjadi kenyataan kerana Dinsman membuka ruang seluas-luasnya untuk semua berinteraksi dengannya ― dia bukan saja menurunkan alamat emelnya malah nombor telefon bimbitnya. Maka setiap idea yang dilontarkannya ditanggapi oleh pelbagai pihak. Menurut Dinsman terdapat pelbagai reaksi yang menarik dari seluruh pelosok negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Entah bagaimana apa yang dirancang seperti mulanya tidak menjadi kenyataan kerana kami, (BB) diminta oleh YB Fatah Mahmood, EXCO Pembangunan Insan, Belia dan NGO Kelantan agar berkerjsama dengan Asasi, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah dan PPK, Persatuan Penulis Kelantan untuk menjayakan program wacana ilmu ini. Maka hasrat BB dan juga anak-anak muda untuk bersama-sama dalam kelompok yang kecil tidak menjadi kenyataan. Yang pasti mereka sedikit kecewa. “Tak mengapa, kita ulangi dalam kesempatan yang lain, insyallah” demikianlah harapan Dinsman.

“Saya mahu mengajak sahabat-sahabat penulis kita berani bercakap benar!” kata saya pada Dinsman.

“Sungguh kebetulan, saya juga mahu bercakap sekitar tajuk itu,” kata Anbakri semasa kami bertemu di Kota Bharu.

Rupa-rupanya mesej utama Kaab bin Malik dalam teater “Menunggu Kata dari Tuhan”, MKDT sudah mulai menular ke mana-mana. Syukur. Kita sakit, negara tenat kerana sistem nilai kita nyata telah runtuh satu persatu.

Dalam kertas itu antara lain telah dilontarkan aspek ini:


“Untuk kemajuan sesebuah bangsa, pandangan yang berbeza yang jujur mestilah dihormati, digalakkan dan dibiarkan bercambah. Sebaliknya sikap mengampu pula menggambarkan kekerdilan jiwa sang pengampu, sementara sikap bermuka-muka hanya merosakkan mereka yang diampu. Kenapa? Yang diampu tidak memperolehi nikmat kata benarnya orang yang berkata-kata. Kalaulah yang diampu itu orang-orang yang berkuasa, kesannya sangatlah buruk. Tukang ampu menghimpun dosa basah di bahunya kerana tidak menyatakan perkara yang benar dan mungkin kerananya seseorang pemerintah itu mungkin menjadi penzalim!”


Dinsman telah mengupas lebih lanjut aspek ini dalam kolumn WBnya dan persoalan ini dijawab oleh Rahman Shaari dengan mengaitkan intipati persoalan kebenaran ini dengan kepimpinan politik.


Kini, ia menjadi polemik yang cukup menarik. Abdul Shukur Harun telah memberian respons dalam kolumnnya, “Cetusanidea” dalam Harakah.


Rasanya cukup bermanfaat jika persoalan ini, sama-sama kita teliti dengan lebih saksama dan mendalam.


Wallahuaklam.

No comments: