Saturday, June 12, 2010

Mat J dan teori anjakan makna


(Mat J 4/11jun2010): Kisah yang kita paparkan ini hanyalah khayalan semata-mata, dan ia tak ada sangkut pautnya dengan yang hidup maupun yang telah kembali ke alam abadi...)


Sally tercegat di muka pintu...


Memang benar, itulah perempuan yang selama tiga bulan sepuluh hari, atau lebih tepatnya mungkin sepuluh setengah hari, yang dikejar-kejarnya pagi-petang, siang-malam tanpa sedikit pun berasa jemu. Sepanjang ingatannya dan setahu Mat J, Sally juga sentiasa saja bersamanya; di meja makan, di bilik kuliah, tatkala menyuap nasi, semasa memandu, sewaktu membeli belah, saat menghirup kopi keras bertemankan tose di kedai Maideeen, Mat J selalu saja ditemani Sally.


Tiga bulan sepuluh hari, mungkin sepuluh setengah hari, ya begitulah kira-kira tempohnya dia mengejar Sally.


Kalau Mat J itu tose, Sally adalah kuahnya, kalau Sally... kalau... kalau


Ya, benar Sallylah itu.


Siapakah yang membenar dia masuk? Siapa ya? Siapa? Mungkin Tuah telah terlupa menutup pintunya, atau mungkin juga pintunya tidak berkunci atau mungkin...


“Apakah kau fikir, kau boleh lari?” Aduh...mata itu. Mata putihnya jelas jauh lebih besar dan lebih luas dari lampunya kereta mewah model terbaru atau apakah mungkin mata terjegilnya itu mampu mengalahkan benderangnya lampu stadium? Mau memakan aku nampaknya. Awas, dia masih tercegat di depan pintu yang ternganga itu, kedua-dua belah tangannya mantap mencekak pinggang. Sekali pandang macam, ya seakan-akan artis yang selalu berlebih-lebih, over-acting tatkala berlakon. Dua kali pandang tak ubah lagaknya anak yang belum lagi cukup@kurang masak diajar ibu bapanya.


Tapi bukankah aku yang begitu sekali tergila-gilakannya selama tiga bulan sepuluh setengah hari itu? Ya, aku Mat J bukannya orang lain.


Dia mendekatiku, dia mahu membacaku seperti sebuah kitab yang terbuka, dia hebat seperti Bik, dan ternyata dia memang cantik sekali...


“Joker seperti kamu ini, banyak tau dekat Chow Kit!”


“Sally, Jangan melampau! Jangan!! ”


“Bukan aku. Kamu yang melampau. Kaulah yang melampau! Melampau!! Berapakah upahnya? Berapa?”


“Tak ada....tak ada..mana ada???”


“Kau fikir, kau boleh lari?” Muka Sally semakin dekat batang hidungnya. Mungkin ada jengkol yang sudah basi. Mat J kembang kempiskan hidungnya mencari kepastian apakah itu jengkol atau apa tak mungkin itu rebung diperam? Terus terang Mat J tak faham. Yang jelas Sally belum lagi gosok giginya.


Mau saja dihumbannya perempuan ini jauh-jauh .... atau apakah lebih bagus kalau disifor (baca: C4) saja?


Mat J membuka matanya.


“Mat? Mat? Siang-siang buta ngigau? ” Ibunya tegak di sisi katilnya.


“Siang-siang buta, ngigau...malam-malam jadi kelawar!” geleng ibunya sambil beredar.


Astagfirullah....


Mimpinya selama ini ialah mendapatkan perempuan yang jelita walaupun Mat J faham bahawa takrif jelita itu sendiri berubah-ubah dari Mat ke Mat. Namun bagi Mat J, belum ada sebarang lelaki yang mengatakan dia, ya Sally itu tidak cantik― tak ada, belum ada. Kalau pun ada, itu jelas lelaki dengki kerana tertolak hasratnya untuk berkencan. Ketika di kampus dulu, memang ramai yang tergila-gilakannya, namun hanya beberapa kerat jejaka saja yang berjaya membawanya iseng-iseng keluar, sekadar keluar. Ha, yang berapa kerat itu termasuklah dia, Mat J.


Jika ada temannya yang bertanyakan, “Apakah yang kau cari, Sal?” jawapannya cukup pantas, tuntas.


“Aku? Yang terbaik dari seluruh koleksi lelaki yang ada.”


Lakonan terakhirnya, menangis semasa ditaklimatkan tentang kekejaman Zionist, pada kiraannya memanglah di antara yang terbaik. Sayang sekali ada saja bloger murahan yang terus saja, tanpa belas kasihan mengutuknya tanpa usul dan periksa. Ada yang menyebutnya itu semua air mata plastik yang dibawa dalam baldi. Melampau... memang cukup melampau pauk-puak ini. Puas juga dia belajar teknik menghimbau dan mengingat-ingat peristiwa yang paling sedih dalam kehidupan masa lalu, memang puas juga. Ada yang berpesan jangan lupa membawa bawang yang sudah dikupas dan dicincang halus.


Lebih bagus, masukkan saja garpu macam yang dibuat oleh Kassim yang tidak Selamat. Begitulah datin-datin, puan-puan sri yang penuh dan keliling pinggangnya, memberikan nasihat.


Sally merasakan dia juga seharusnya dan semestinya sehebat dan sebertenaga seperti Bik. Ya, ada kawan-kawannya yang berbisik-bisik, sebenarnya dia memang seperti Bik, dan dia memang sudah pandai berbisik-bisik dan memastikan segala arahannya di belakang pentas berjalan dengan baik dan berkesan. Ada yang berbisik-bisik bahawa dia juga mahu meniru Bik dalam mengurus segala Mat-Mat seperti Mat J.


Mat J, kekasihnya tak punya apa-apa yang boleh dibanggakan. Mat J? Itulah anak muda yang cukup percaya dan sangat yakin bahawa dalam kehidupan ini, orang tak perlu jadi pandai apatah lagi rajin untuk menjadi kaya raya. Cukup hanya dengan menggunakan taktik, teknik dan strategi saja.


Yang lebih utama, kata para pakar bidang lagi, kita mesti pandai mencari, memasang dan menggunakan@menghidupkan suis yang namanya jaringan sahabat dan kenalan. Kalau tak salah itulah yang disebut dan dikuliahkan seorang profesor sastera pencen. Inti dan pati hujah sang pakar sastera ini ialah orang politik yang bijak pasti akan lari meninggalkan partinya.


Kata sang profesor sastera ini lagi, politikawan seperti ini bukanlah pembelot tapi pengamal strategi@strategist ulung yang pandai main-main dan menukar strategi apabila perlu dan diperlukan. Maka keluarnya seseorang politikawan dari parti lamanya, lalu kemudiannya gencar mencerca teman-teman, bekas sahabat dan bekas bosnya, adalah strategi mengalih makna. Itu bukanlah belot. Bukan. Ungkapan atau istilah sebenarnya adalah taktik mengalih makna.


Benarlah, kehidupan kita sentiasa beranjak maknanya. Tak faham? Tuan kurang jelas? Maksudnya begini: Esok tak mungkin sama dengan lusa. Semalam ternyata tidak sama dengan hari ini kerana semalam telah terlepas dari jangkauan segala manusia. Dan setia yang semalam tidak sama dengan kesetiaanya hari ini. Hari yang tidak pernah terikat kepada sebarang makna. Hari adalah nafsu yang sentiasa saja beranjak selera dan maknanya.


Oleh sebab itu, kotak-kotak rahsia yang tersimpan selama ini belum boleh dibuka-buka lagi...biarlah ― yang dianjak itu lebih penting kerana itulah maknanya, sedangkan kotak-kotaknya masih utuh di dalam stor.


Yang jelas hari itu, Mat J telah belajar satu lagi teori baru kehidupan. Hidup yang anjal dan bertukar makna. Bukan main, bukan main lagi. Namun sesekali Mat J teringat dan gerun juga juga akan nasibnya tatkala dimasukkan ke dalam stor yang kekal. Tak apa, fikir Mat J, esok yang anjal masih boleh menerima taubatnya.


Mat J teringat akan ucapan penerimaan anugerahnya yang baru hanya sebaris itu...



No comments: