Friday, June 18, 2010

Pelancaran Lajnah Seni dan Budaya Pas


Dinsman (Artikel 169, 18/6)

Lajnah Seni dan Budaya PAS pun dilancarkan


11 Jun 2010 akan diingati sebagai suatu hari penting dalam sejarah perkembangan gerakan Islam di Malaysia, khasnya melalui parti politik PAS. Sebab apa? Sebab pada tarikh inilah satu lajnah atau jabatan baru dalam organisasi parti PAS, iaitu “Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat” dilancarkan.


Kenapa ia penting? Kerana ia merupakan satu komitmen rasmi sebuah parti politik yang berpaksikan perjuangan menegakkan hukum-hukum Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah, yang sudah lebih 50 tahun bergerak dalam arena politik tanpa melihat dan mengiktiraf kepentingan seni dan budaya dalam usahanya mencapai cita-cita perjuangannya. Namun 11 Jun 2010 menandakan satu perubahan baru.


Sebenarnya lajnah ini telah diumumkan pembentukannya kira-kira setahun yang lalu, iaitu dalam acara rasmi Muktamar Tahunan PAS yang ke-55, di Shah Alam. Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor dan bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) diamanahkan untuk memimpin lajnah ini.


Saya pun dijemput menghadiri mesyuarat lajnah ini, beberapa kali, dan kami telah merancang beberapa kegiatan yang perlu dibuat. Antaranya ialah persembahan kesenian sempena Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu, minggu lalu itu.


Rancangan asalnya hendak mengadakan pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) dalam bentuk muzikal. Tetapi oleh kerana pelakonnya Sabri Yunus telah komited dengan satu penggambaran filem pada waktu yang sama, rancangan itu terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan “Konsert Naskah Cinta”, yang menampilkan Dendang Anak, SN A Samad Said, Dinsman, Muadz dan Razin Mestica.


Alhamdulillah, persembahan itupun berjaya dilaksanakan dengan baik, di bawah pengurusan Nasyeed.com pimpinan Ahmad Zuwairi (Waie). Sebagai satu persembahan sulung daripada Lajnah Seni dan Budaya PAS, ia boleh dianggap suatu persembahan yang baik dan menjanjikan sesuatu yang boleh diharap dan ditunggu.


Barangkali ada orang bertanya kenapa artis-artis yang pernah mengisi pentas PAS dalam zaman Reformasi dulu seperti Ito, Zunar, Akil Hayy, Nasir Jani dan Chal tidak terlibat atau dilibatkan dalam pementasan sulung Lajnah SnB PAS ini? Jawapannya ialah seperti yang saya sebut tadi – kita tidak mempunyai waktu yang mencukupi untuk mengatur perancangan yang sedemikian.


Apa pun, seperti yang dijelaskan oleh Pengerusinya Dr Dzulkefly, yang mustahaknya pada 11 Jun itu ialah perasmiannya. Dan sempena majlis perasmian itu kita mengadakan sedikit persembahan berkenaan.


Alhamdulillah, kesudian Tok Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, hadir merasmikannya dalam moodnya yang begitu ceria, dan duduk menunggu hingga ke akhir persembahan walaupun selepas itu beliau perlu hadir di suatu majlis lagi, adalah sesuatu yang sangat menggembirakan kita.


Kehadiran ramai tokoh pimpinan PAS dalam majlis itu juga (antaranya Ketua Dewan Muslimat dan Naibnya, juga Bendahari, Dr Hatta) diharap akan dapat meniupkan angin segar seni-budaya ke dalam pimpinan induk PAS.


Sebenarnya seni dan budaya, khasnya persembahan kesenian, bukanlah sesuatu yang asing bagi PAS. Misalnya persembahan kesenian sempena muktamar tahunan, seingat saya, sudah menjadi semacam suatu tradisi bagi PAS. Tahun lalu di Shah Alam juga ada acara persembahan kesenian sempena muktamar. Tahun sebelumnya, di Ipoh, juga ada persembahan kesenian, dan saya pun terlibat membaca puisi.


Bandingkan dengan parti-parti politik lain. Umno pun tidak mengadakan persembahan kesenian sempena Perhimpunan Agung tahunannya. Begitu juga Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak ada acara persembahan kesenian sempena Kongres Agungnya.


Manakala PAS, bukan sahaja sempena muktamar tahunannya, tetapi dalam suatu acara besar menyambut jubli emas ulangtahun ke-50-nya pada tahun 2004, juga diadakan suatu persembahan kesenian, dalam skala yang agak besar, dalam dewan Putik, Kota Bharu. Akil Hayy menjadi pengacaranya, dan dia menyampaikan nyanyiannya dengan iringan gitar letrik secara live. Sesuatu yang dianggap langkah berani pada waktu itu memandangkan masih ramai ulamak yang menganggap “muzik bertali” adalah haram di sisi Islam


Acara kesenian menyambut 50 tahun PAS di Putik itu juga dianggap penting kerana adanya persembahan teater kira-kira 30 minit sebagai acara puncaknya. Fadil Dani menjadi pelakon utama dalam teater yang mengisahkan penderitaan yang dialami oleh pejuang Islam yang menjadi mangsa tahanan ISA. Teater ini diarah oleh Faizal Chal.


Sebagai pengarah keseluruhan persembahan itu, saya masih ingat suatu adegan istimewa dalam teater berkenaan. Ia menjadi adegan istimewa kerana penglibatan pelakon wanita di dalamnya. Pihak ulamak yang menjadi pakarujuk waktu itu mengatakan pelakon wanita tidak dibenarkan terlibat dalam lakonan di atas pentas. Sedangkan pihak pengarah memerlukan adegan itu. Jadi bagaimana penyelesaiannya?


Nasir Jani mengemukakan penyelesaiannya. Bagaimana? Rakamkan adegan itu di dalam video, dan pancarkan ke skrin di dalam teater. Dan itulah yang dilakukan. Samada “fatwa” itu sesuatu yang sahih untuk menjadi ikutan dalam persembahan-persembahan “teater Islam” selepas itu, saya tidak pasti.


Namun saya pasti akan berdepan dengan masalah ini apabila saya memulakan persiapan untuk pementasan “Teater Nabi Yusuf” tidak lama lagi. Dan saya fikir ini adalah antara isu-isu yang akan ditangani oleh Lajnah SnB PAS pimpinan Dr Dzulkefly Ahmad.


Semoga Lajnah SnB PAS yang baru dirasmikan dan direstui oleh Tok Guru Nik Aziz ini akan banyak memberi jawapan kepada pelbagai masalah kesenian, khasnya seni persembahan (muzik dan lakonan) yang kini memerangkap ramai para artis di dalam dilema yang dianggap sebagai “tanpa penyelesaian”.


Ternyata strategi “berdiam diri” dan mengelak daripada memberi jawapan penyelesaian yang ditunjukkan oleh PAS selama ini tidak lagi menjadi pilihan yang bijak. Dalam situasi yang terhad, PAS Kelantan mungkin telah merintis beberapa jalan yang boleh dicontohi. Tetapi dalam situasi yang lebih luas dan tak terhad, nampaknya tugas dan cabaran yang akan dihadapi oleh Dr Dzulkefly Ahmad tidaklah kecil.


Barangkali pengalaman luas Shukur Harun yang turut duduk di dalam AJK Lajnah SnB itu dapat membantu. Insya Allah.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)




No comments: