Saturday, June 19, 2010

Maka bersimpuhlah Mat J di depan Auntie@Untie

(Mat J5/14jun2010): Kisah yang kita paparkan ini hanyalah khayalan semata-mata, dan ia tak ada sangkut pautnya dengan yang hidup maupun yang telah kembali ke alam abadi...)

Idea pertemuan mendapatkan biasiswa telah dilafazkannya, atau lebih tepat dibisiknya kepada bekas ratu lompat galah negara, Auntie@Untienya. Seingatnya itulah gelaran dan panggilan yang digunanya setiap kali mereka bertemu. Sally memanggilnya begitu, maka dia juga ikut-ikut memangil wanita yang menjadi buruan sekian para jejaka satu waktu dulu, demikian. Untie juga kelihatannya tak keberatan. Betul, Untie sang mentornya itu adalah Ratu Gelanggang yang diangkat-julang oleh gabungan kelompok politik-sukan-niagawan yang cukup tersohor ketika itu.

Ya, waktu itu dialah Ratu tersohor yang dijulang, habis-habisan. Benarlah, dia baru saja sampai ke kemuncak gemilangnya sebagai Ratu Lompat Segala Galah ― Ratu, baik di padang yang lapang maupun di sudut-sudut megah yang memperagakan segala macam suara merdunya merbuk dan terkukur yang ditawan manusia dari segala ceruk belentara pula. Dan ketika itu jugalah orang-orang besarnya Umco sedang jenuh memerah kudratnya dan kecut akalnya mencari ikhtiar bagaimana mahu perolehi dana untuk mengaut sokongan.

Sang Ratu juga hadir tatkala politbiro Umco berdebat hebat, mencari kaedah dan cara mendapat duit yang mencukupi untuk menggalakkan para perwakilan sekalian supaya bekerja keras mengepung seluruh orang-orang Melayu di kawasan masing-masing.

Dia masih ingat kandungan syarah panjangnya Sang Presiden, hari itu: “Duit, biarpun datangnya dari sejuta Gunung Tahan kalau dikaut-kaut untuk dibedak-bedakkan supaya mereka mengundi calon-calon kita...Hah.....Sejuta Gunung Tahan pun bakal licin rata seperti kepalanya Yul Branner.” Demikian, ujar mantan Presiden kepada mereka, seluruh anggota politbiro, pembuat dasar Umco.

“Habis bagaimana Datuk Sri?” tanya seorang Datuk, Wak Dogol, wakil Daerah Selatan, kubu terkuat Umco di tanah besar semenanjung.

Darah Datuk Seri, Pemimpin Besar Negara, bagaikan mendidih-didih seperti kuah basinya Mi segera kegemaran Kak Fidah, diperhangat oleh api yang kelewat garang. Betapa teruknya, fikir Datuk Seri, puak-puak parasit ini ― berfikir pun mereka sudah tidak lagi betah. Memang benar, mereka sudah tidak lagi terdaya menggunakan otak anugerah Pencipta mereka untuk manfaat bangsanya. Begitulah keadaan mereka setelah menghina dan merendah-rendahkan status ‘otak-otak’nya ― sehinggakan ‘benda’ Allah itu telah sekian lama mereka humban dan perosok jauh-jauh ke dalam tubuh-tubuh bergendut lemak. Sepanjang yang diamatinya, segala parasit@ para pendukungnya, otaknya hanya jadi berguna untuk memikirkan kaedah bagaimana cara yang paling pantas dan berkesan untuk menjadi jutawan segera.

Ya, sepanjang dua puluh tiga tahun memimpin mereka, “Datuk Serilah pemimpin besar, pemikir agung terulung Melayu alaf baru”, demikianlah jerit pekik para perwakilan dalam Sidang Besar Politbiro setiap kali ia bersidang, namun Datuk Seri wira perkasa itu juga seakan-akan telah mati daya fikirnya.

Sudah tak terdaya lagi Datuk Seri Pemikir Bangsa itu meminta, merayu, menyeru, membentak, malah kadang-kadang terlanjur memaki hamun ― makian yang lengkap dengan segala carut marutnya supaya mereka, para wakil politbiro semua berusaha menjadi orang yang lebih baik untuk rakyat yang telah melantik mereka. Satu waktu, Datuk Seri pemimpin besar Negara itu tersedu-sedan lantas meratap-ratap supaya mereka semua insaf dengan menjadi pejuang bangsa yang tulen. Ternyata semuanya sia-sia― nihil belaka...Mereka sudah betul-betul menjadi singa-singa gendut yang tersita nafsu singanya. Mereka kini ayam-ayam peliharaan untuk hidangan Edlle Fried Chicken, di Wakaf Che Yeh.

“Saya masih berminat dengan biasiswanya...”

Ratu Lompat Segala Galah, RLSG tersentak. Sekilas, Mat J telah membaca rahasia badaniah yang curang itu. Untie pun pura-pura tersipu.

“Sally bagaimana? ” Khabarnya Sally, anak saudara seorang rakan karibnya, benar-benar tergila-gilakan Mat J.

“Bukan itu, Untie..biasiswanya”

“Biasiswa?” Sekali lagi Ratu pura-pura terkejut. Hatinya kembang merinin bagaikan belon Bik ditiup kencang.

Tak mengapa, fikirnya. Semua ini boleh difikirkan, disusun, atur, rancang dan dibincang semula oleh panel skrip. Kalau perlu mereka boleh bawa bersamanya segala pengarah dan penyunting skrip untuk merangka yang terbaik. Skrip yang paling mengancam yang pernah disediakan oleh panel skrip terbaik mereka.

Dalam sesi santai sambil merancang-rancang gerak kerja mereka dengan Bik, Ratu pastinya akan menyebut semula tentang biasiswa yang begitu diperlukan oleh orang yang bekerja sebagai tukang angkut sampah di kompleks musuh ketat, musuh bebuyut mereka, bertugas.

Sampah siapa yang mahu diangkutnya? Ya, sampah juga boleh dijadikan bahan skrip yang paling menarik. Tidakkah Mat J terlalu tampan untuk menjadi tukang angkut sampah? Ratu mesti berbincang lanjut dengan Bik tentang skripnya.

“Nanti, biar Untie bincang dulu dengan Bik...”

“Bik? siapakah Bik?”

Ratu Lompat Segala Galah, RLSG tersenyum lebar ― seluas pengalamannya bersama Bik tatkala mereka sama-sama mencalai di segala ceruk Lembah Pantai, mengejar segala macam lelaki yang paling layak untuk disenaraikan sebagai calon mangsa.

Bik...Bik ternyata, kaulah yang terhebat. Paling hebat.

Mat J semakin pelik, ternyata Untienya begitu asyik sekali kerisin sengeh sendirian ― Mat J teringat kerang-kerang tak terusik, kerang-kerang yang masih terdampar di dalam raga. Tak apa, Untienya begitu asyik melayan khayalnya.

Jangan biarkan bunga tahi ayam itu yang terencat separuh jalan, biarlah khayalan itu terus meranum.


No comments: